SELAMAT DATANG KE BLOG RENCAH KITA

Friday, 20 June 2014

Hodak mahu pemain fokus

Johor Bahru: Bojan Hodak mengingatkan pemainnya supaya tidak beraksi dalam keadaan tertekan apabila menyambut kunjungan Kelantan pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, malam ini.
Pertembungan itu sangat penting buat Johor Darul Ta'zim (JDT) yang perlu diterjemahkan dengan kemenangan selepas dipalit kekalahan 2-1 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Selasa lalu, bagi memastikan tangga teratas kekal dalam dakapan mereka.
Strategi lebih ampuh
Begitupun, Hodak terpaksa memikirkan strategi lebih ampuh selepas beberapa tonggak utama tidak dapat diturunkan pada perlawanan terakhir di laman sendiri termasuk Aidil Zafuan Abd Radzak yang digantung akibat kad merah pada aksi menentang ATM.
"Bukan saja kami kehilangan Aidil Zafuan, malah Mahali Jasuli yang mengalami kecederaan, manakala Daudsu Jamaluddin pula terpaksa diketepikan kerana penggantungan satu perlawanan serta penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan akibat demam.
"Ia jelas beri cabaran kepada saya untuk mengatur taktikal ampuh berdepan Kelantan yang tampak semakin konsisten dan memiliki kesebelasan mantap. Saya jangkakan pertembungan antara JDT dan Kelantan ibarat final,” katanya ketika ditemui di Padang Seri Gelam, dekat sini, semalam.
Dalam pada itu, Hodak juga sedang memikirkan pengganti Izham Tarmizi seandainya penjaga gol utama JDT itu tidak dapat diturunkan. Dia memiliki pilihan sama ada Norazlan Razali dan Muhammad Al-Hafiz Hamzah bagi mengisi tempat berkenaan.
Disamping tiga mata, jurulatih ini juga mahu memastikan rekod bersih JDT di laman sendiri tidak tercalar dan yakin `pemain ke-12’ iaitu penyokong skuad itu mampu menjadi pencetus kebangkitan untuk melakar kemenangan.
"Kita memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri dan kesempatan itu harus digunakan.Saya tidak mahu bergantung kepada keputusan pasukan lain kerana tumpuan lebih kepada JDT sendiri.

Ujian sebenar

Salvador: Walaupun Perancis kini menguasai takhta, pertembungan dengan Switzerland, awal pagi esok akan menjadi penentu pasukan mana yang benar-benar hebat dan lebih layak menerajui Kumpulan E.
Kedua-dua pasukan membuka langkah bergaya dalam perlawanan sulung, dengan Les Bleus membenam cabaran Honduras 3-0, manakala Switzerland mencuri kemenangan pada akhir permainan ke atas Ecuador, 2-1.
Apa pun, dengan Switzerland menghuni ranking keenam dunia, berbanding Perancis ke-17, pertemuan itu pasti menjadi ujian getir buat Les Bleus, umpama buku dengan ruas.
Ini kerana Les Blues perlu memperlihatkan kehebatan mereka, memandangkan pada perlawanan pertama bertemu Honduras, cabaran yang diterima tidak terlalu hebat. Tindakan kurang cerdik, Wilson Palacios, bukan saja membolehkan Les Bleus untuk mendapat tendangan penalti, malah sekali gus menamatkan cabaran perlawanan itu.
Hanya kemenangan yang berpihak kepada Switzerland atau Perancis, menyaksikan salah satu pasukan itu melayakkan diri ke pusingan kalah mati.

Piala Dunia: Jepun sia-siakan peluang raih mata penuh

NATAL: Greece yang terpaksa bermain dengan 10 orang mengikat Jepun apabila seri tanpa jaringan pada perlawanan Kumpulan C sebentar tadi sekali gus masih berpeluang untuk melayakkan diri ke pusingan 16 terakhir.

Kedua-dua pasukan meraih satu mata tetapi belum mencukupi untuk mengukuhkan kemaraan dari kumpulan berkenaan yang dikuasai Colombia dengan dua kemenangan.
Colombia sudah mengesahkan kemaraan ke peringkat 16 terakhir dalam Kumpulan C manakala Ivory Coast di tempat kedua dengan tiga mata.

Pemain tengah Greece dan kapten pasukan, Kostas Katsouranis diperintah keluar padang selepas minit ke-38 akibat dilayangkan kad kuning kedua yang menyebabkan pasukannya terpaksa bertahan pada sebahagian besar babak kedua perlawanan.

Mereka bertahan habis-habisan bagi menyekat serangan bertali arus Jepun tetapi skuad Negara Matahari Terbit itu ketiadaan penyudah terbaik walaupun menguasai permainan.

Piala Dunia: Gerrard menyesal kesilapan gol kedua Uruguay

SAO PAULO: Kapten England, Steven Gerrard menyesal di atas kesilapan olehnya yang membuka ruang kepada Uruguay merakamkan gol kemenangan, awal pagi tadi.

Pemain tengah berusia 34 tahun itu turut menyuarakan betapa faktor kekurangan pengalaman menyentap cabaran pasukan. Pada firasatnya mereka kini memerlukan satu keajaiban untuk terus kekal dalam perjuangan di Piala Dunia kali ini.
Gerrard tersalah agak ketika menanduk bola dari tengah sebelum ia disambar oleh Suarez - rakan sepasukannya di Liverpool - untuk merembat masuk gol kedua - sekali gus mengesahkan kemenangan 2-1 untuk Uruguay dalam saingan Kumpulan D.

“Saya cuba mencari ketepatan ketika menanduk dan saya gagal,” katanya yang beranggapan satu mata untuk England mungkin satu keputusan yang adil selepas menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki 15 minit ditamatkan.

Keputusan itu menyaksikan England gagal mengutip sebarang mata ketika Itali, Costa Rica dan Uruguay masing-masing sudah menghimpun tiga mata. Tapi andai Itali menewaskan Costa Rica dan Uruguay, England mungkin akan layak.

Apa pun, Gerrard berkata jaringan yang membocori gawang England adalah kehambaran benteng pasukan sendiri.

“Kami harus bertanggungjawab sebagai satu pasukan di atas kekalahan ini,” katanya.
Dia turut menambah tiada apa yang menghairankan kejayaan Suarez menjaringkan dua gol dalam perlawanan itu.

“Kami tahu. Ia bukan satu kejutan,” katanya. “Setiap pemain mengerti kemampuan Suarez. Dia memiliki dua peluang dan mengautnya dengan baik. Dia masih berbisa seperti dulu walaupun tidak beraksi lima minggu.”

Saya tak akan letak jawatan - Roy Hodgson

SAO PAULO: Pengendali England, Roy Hodgson menegaskan beliau tidak bercadang untuk meletakkan jawatan ekoran persembahan terburuk skuad negara itu dalam tempoh 56 tahun beraksi di Piala Dunia.

Sebaliknya, Hudgson yakin masih ada masa depan yang cerah buat skuad England kecualilah majikannya, Persatuan Bola Sepak England ingin berbuat sesuatu terhadap kedudukannya.
Awal pagi tadi, England tumpas buat kali kedua dalam kempen peringkat kumpulan Piala Dunia apabila dikecewakan 1-2 oleh Uruguay di Sao Paulo.

“Saya turut kecewa, namun saya tidak fikir saya perlu berundur, tidak," kata pengendali berusia 66 tahun itu kepada stesen penyiaran Britian, ITV.

Hodgson berkata, gol kemenangan Uruguay menerusi Luis Suarez yang juga gol keduanya pada perlawanan itu adalah satu 'kemusnahan' kepada England selepas
Wayne Rooney menyamakan kedudukan.

“Kami bercaya kami boleh melakukan yang terbaik selepas berusaha keras menyamakan kedudukan 1-1.
"Kami fikir kami boleh meneruskan perlawanan untuk sekurang-kurangnya seri namun gol kedua Suarez memusnahkan impian itu. Saya tidak tahu apa lagi untuk diucapkan ketika ini," katanya.

Tarikh lihat anak bulan Ramadan 27 Jun

KUALA LUMPUR: Tarikh dan masa melihat anak bulan Ramadan untuk menetapkan permulaan puasa ialah pada petang Jumaat, 27 Jun bersamaan 29 Syaaban.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan pada Jumaat berkata Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan Puasa melalui radio dan televisyen.
Menurut pejabat itu, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan akan melihat anak bulan Ramadan di Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Manjong, Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.
Lokasi lain ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu di Terengganu; Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putera Semerak, Kota Baharu di Kelantan.
Tempat lain pula ialah di Tanjong Lubang, Miri; Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah; Bukit Tanjung Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang; Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.

Muhyiddin gesa lebih banyak sekolah tubuh kelab menjenayahkan perang

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa lebih banyak sekolah di negara ini menubuhkan Criminalise War Club (CWC) (kelab menjenayahkan perang) untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelajar bahawa perang itu ialah jenayah terhadap kemanusiaan.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan berkata, pelajar perlu diberi kesedaran bahawa sebagai pemimpin masa depan, mereka perlu berani dan aktif dalam memenuhi agenda menjenayahkan perang melalui kegiatan dan program yang bermakna untuk menggalakkan keamanan dan keharmonian dalam negara.
"Peperangan mencabuli setiap hak seorang kanak-kanak seperti hak untuk bersama keluarga, hak kepada pendidikan, hak terhadap kesihatan, hak untuk dididik dan dilindungi. Kita bimbang bahawa jika peperangan tidak dianggap sebagai jenayah, lebih banyak kanak-kanak akan menjadi mangsa pada masa akan datang.
"Saya amat berharap lebih banyak sekolah akan melancarkan penubuhan CWC di seluruh negara," katanya dalam ucapan pelancaran CWC Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya di sini hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching.
Muhyiddin turut memberi penghargaan kepada pengasas dan Pengerusi CWC, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang menjayakan usaha mulia ini untuk melindungi para pelajar negara daripada peperangan, dengan penubuhan CWC.
Yang turut hadir ialah pemegang amanah Kuala Lumpur Foundation to Criminalise War, Tunku Datuk Dr Sofiah Jewa, dan Pengerusi Perdana Global Peace Foundation Tan Sri Norian Mai.
Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya menubuhkan CWC ketiga di negara ini. Dengan kebenaran Kementerian Pendidikan untuk menubuhkan CWC pada 19 Oktober 2012, CWC pertama dilancarkan di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban pada 11 April tahun lepas, diikuti dengan pelancaran kelab itu di Cempaka International School pada September.
CWC bertujuan untuk membina sebuah komuniti yang mempunyai pengetahuan mendalam, kesedaran dan pemahaman mengenai kesan peperangan, terutama terhadap wanita dan kanak-kanak.
Sementara itu, Siti Hasmah berkata pelajar sebagai pemimpin hari esok, perlu memahami sepenuhnya Piagam CWC bagi menyemarakkan lagi keamanan dan persahabatan baharu dengan semua, tanpa mengira kaum dan agama.
Beliau berkata Malaysia menikmati keamanan dan kestabilan yang membolehkan ia menjadi sebuah negara membangun. Bagaimanapun, pada masa sama, kanak-kanak tidak mengetahui impak konflik, bantahan dan rusuhan.
"Ini sebabnya mengapa kita mempunyai CWC, untuk mengajar mereka bahawa mereka perlu menjauhkan diri daripada peperangan dan pembunuhan dan konflik dalam sebarang bentuk.
"Saya gembira dengan penubuhan CWC di Sekolah Sultan Alam Shah kerana ia menunjukkan bahawa terdapat pihak yang memahami misi kita, apa yang kita cuba untuk capai dan mengapa pentingnya untuk mempunyai CWC di sekolah-sekolah di negara ini.
"Saya yakin bahawa Sekolah Sultan Alam Shah akan memainkan peranan utama bukan sahaja untuk mengerakkan sepenuhnya CWCnya sendiri tetapi membuka jalan bagi sekolah-sekolah lain mencontohinya," katanya.
Siti Hasmah juga mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin dan Kementerian Pendidikan yang membantu dalam menyusun sebuah buku panduan bagi tujuan menggerakkan kelab berkenaan.