SELAMAT DATANG KE BLOG RENCAH KITA

Sunday, 15 June 2014

Bank Persatuan mahu tingkat modal saham

Bank Persatuan Malaysia Berhad menyasarkan untuk meningkatkan permodalan sahamnya kepada RM400 juta menjelang tahun depan. 

Pengerusinya, Datuk Yusra Sabar, berkata sehingga Disember tahun lalu, modal saham bank itu RM361 juta, merangkumi keahlian individu seramai 66,177 (RM325.5 juta) dan 442 koperasi (RM35.5 juta). 


“Bayaran saham minimum untuk menjadi ahli individu adalah RM500 dan bagi anggota koperasi ialah RM3,000,” katanya selepas pembukaan rasmi Bank Persatuan Cawangan Johor Baharu di Bandar Baru UDA, Johor, baru-baru ini. 

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd Latif Bandi yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 

Yusra berkata, bank itu mencatatkan pendapatan operasi RM90.1 juta tahun lalu berbanding RM76.6 juta pada tahun 2012, peningkatan 17.7 peratus dengan keuntungan RM26.3 juta. 

Katanya, sehingga akhir 31 Disember 2013, baki pembiayaan adalah sebanyak RM1.04 bilion berbanding RM876.7 juta pada tahun sebelumnya, meningkat 18.6 peratus atau RM163.3 juta. 

“Sehingga kini Bank Persatuan mempunyai 15 cawangan dan akan membuka lima cawangan di Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya. 
Beliau berkata, sepanjang tahun ini, pihaknya akan memberi tumpuan untuk mengeluarkan pembiayaan kepada sektor koperasi di seluruh negara, selain pembiayaan runcit dan korporat. 

"Kami juga akan mula menawarkan produk pembiayaan kepada bukan anggota yang dijangka mula dilaksanakan pertengahan tahun ini. 

"Kita juga menetapkan sasaran pengeluaran pembiayaan secara keseluruhan sebanyak RM500 juta sepanjang tahun," katanya.

Hikmah puasa sunat dari segi jiwa, kesihatan fizikal

Setelah menunaikan ibadah wajib, alangkah bagusnya kita menyempurnakan amalan sunat pula. Ini kerana amalan sunat boleh menutup kekurangan ibadah wajib seperti puasa sunat memenuhi kekurangan kepada puasa yang diwajibkan. 

Oleh itu, amalan sunat yang amat digalakkan perlu diterapkan dalam usaha kita mempertingkatkan amalan wajib yang difardukan. Amalan sunat juga dapat mempertingkatkan tahap keimanan serta ketakwaan kepada Allah SWT. 


Puasa sunat yang digalakkan banyak dinyatakan keutamaannya. Puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis sering dilakukan oleh Rasulullah SAW. 

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Segala amal dibentangkan (oleh malaikat ke hadrat Allah) pada tiap-tiap hari Isnin dan Khamis. Oleh itu, aku suka amalku dibentangkan semasa aku sedang berpuasa.” (Hadis hasan gharib, riwayat Tirmizi) 

Hikmah berpuasa sunat 

Selain itu, puasa sunat juga terdapat beribu hikmah dan kelebihan antaranya ialah tanda bersyukur kita terhadap Allah SWT di atas rezeki serta kurniaan nikmat diberikan. Berpuasa mampu membantu memelihara kesihatan jasmani mahupun rohani. 

Sabda Rasulullah SAW: “Berpuasalah kamu, tentu kamu akan sihat.” Sabda baginda lagi: “Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit.” 
Diriwayatkan daripada Aisyah, “Adalah Rasulullah SAW amat menjaga puasa pada hari Isnin dan Khamis.” (Riwayat Imam Tirmizi) 

Puasa mampu menyucikan diri daripada sifat mazmumah seperti tamak, sombong dan hasad dengki. Apabila seseorang itu berpuasa, ia mampu membersihkan jiwa yang kotor dan secara tidak langsung menerapkan sifat rendah diri terhadap orang lain dalam diri. 

Puasa juga mendidik jiwa dengan sifat belas kasihan terhadap orang lain yang hidup susah atau menderita. Dengan itu, kita akan merasai penderitaan hidup mereka yang kurang bernasib baik dan hidup serba kekurangan. 

Kecerdasan akal 

Puasa sunat juga dapat membantu kita memperoleh kecerdasan akal dan fikiran seperti disebut dalam satu riwayat: “Orang yang berlapar perutnya itu tajamlah fikirannya dan teranglah hatinya.” 

Menjelang kedatangan Ramadan tidak lama lagi, marilah kita membiasakan diri berpuasa sunat pada bulan Rejab dan Syaaban. Bagi yang masih ada hutang puasa Ramasan yang lalu, cepat-cepatlah mengqada puasa.

Puasa Syaaban persediaan hadapi Ramadan

Umat Islam diajar berterusan menambah kualiti ibadat

Syaaban antara bulan yang dihormati Nabi SAW kerana hampirnya ia dengan Ramadan yang jelas mendapat kemuliaan daripada Allah SWT. 


Baginda pernah bertanya sahabat dalam sabdanya: “Tahukah kamu sekalian mengapa dinamakan dengan Syaaban? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Sabda Rasulullah SAW: Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Raudatul Ulama) 
Sabda Baginda SAW: “Allah melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampunkan semua hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang yang saling membenci).” (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain)

Ada yang menyatakan cabang ganjaran kebajikan dipercambahkan kerana hampirnya Syaaban dengan Ramadan. Bagaimanapun, setiap kebajikan tetap mendapat ganjaran tanpa mengira masa dan tempat ia dilakukan. 

Nabi SAW adalah ikutan yang baik dan kita dapat melihat perubahan Baginda apabila tibanya Syaaban. 

Daripada Aisyah: “Adalah Rasulullah SAW berpuasa sehingga kami menyangka dia tidak berbuka dan Baginda berbuka sehingga kami mampu melihat dan mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi berpuasa penuh satu bulan melainkan dalam Ramadan. Aku tidak pernah melihat dia berpuasa lebih banyak selain daripada Syaaban.” (Riwayat al-Bukhari) 

Baginda telah memberi gambaran kepada umatnya bahawa banyak berpuasa pada Syaaban akan menambahkan kualiti puasa Ramadan kerana jiwa sudah dididik. 
Aisyah meriwayatkan: “Nabi SAW tidak pernah berpuasa dalam sebulan lebih banyak daripada Syaaban. Baginda juga pernah berpuasa bulan Syaaban semuanya.” (Mengikut lafaz al-Bukhari) 

Namun, dalam mengimbangi kekuatan Nabi SAW selaku manusia terulung dengan ibadat umatnya, maka Baginda meletakkan kemampuan sebagai kayu pengukur kepada amalan sunat. 

Nabi SAW bersabda: “Beramallah mengikut kemampuan kamu kerana sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga kamu sendiri yang jemu.”

Baginda SAW terus beribadat pada mana-mana bulan sekalipun tanpa menafikan Syaaban memang menjadi tumpuan. 

Kita juga tidak harus meninggalkan sabda Baginda SAW: “Allah melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampunkan semua hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang yang saling membenci).” (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain) 

Dapat disimpulkan, ibadat pada bulan Syaaban adalah kesukaan Baginda SAW. Namun solat atau puasa khusus sempena Syaaban atau bacaan Yasin sebanyak tiga kali berturut-turut memang tiada ulama meriwayatkannya. 

Ibnu Majah hanya meriwayatkan mengenai pengampunan daripada Allah SWT yang dikaitkan dengan malam Nisfu Syaaban. 

Sabda Rasulullah SAW: “Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban lalu mengampuni makhluk-Nya kecuali orang yang musyrik dan orang yang bermusuhan.” (Riwayat Ibn Majah) 

Apa yang jelas kepada kita, amalan puasa yang menjadi tumpuan Rasulullah pada Syaaban bertepatan dengan sabda Baginda apabila ditanya apakah terdapat bulan selain Ramadan yang terbaik untuk berpuasa? Maka, Nabi SAW bersabda: “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan. Nabi SAW ditanya lagi: Sedekah apakah yang terafdal? Baginda menjawab: Sedekah pada bulan Ramadan.” (Riwayat Tirmizi)

Baginda SAW banyak bersedekah pada bulan Ramadan. Puasa dan sedekah sering dikaitkan justeru bersedekah pada bulan Syaaban juga digalakkan. 

Adapun berqiamullail pada malam Nisfu Syaaban dan berpuasa pada siang harinya, ada disebut secara khusus dengan kalimat Nisfu Syaaban, dan ada yang disebut secara umum. Oleh itu, kita disarankan untuk melihat kedudukan hadis berkaitan Syaaban sama ada sahih, baik, hasan, lemah, atau ada yang direka. Semuanya menjadi perbincangan akademik ulama hadis. 

Walaupun kedudukan hadis tidak mencapai tahap hadis sahih, jika dipadankan dengan pelbagai riwayat yang banyak, ia boleh dijadikan panduan untuk menyuntik semangat motivasi beribadat. 

Imam Hasan al-Banna berkata: “Tiada halangan dibuat penyiasatan ilmiah yang bersih dalam masalah khilaf dalam suasana kasih sayang di jalan Allah dan bekerjasama ke arah mencapai perkara yang sebenar, tanpa usaha itu membawa kepada perdebatan yang tercela dan taksub kepada sesuatu pihak.”

Amal ibadah yang dilakukan secara berterusan menjadikan jiwa kita sentiasa tetap dengan kebenaran. 

Perbanyakkan memohon keampunan daripada Allah SWT kerana ramai yang masih alpa dengan segala dosa dilakukannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya supaya Ia memberi kamu kesenangan hidup yang baik sehingga ke suatu masa tertentu, dan akan memberi kepada setiap orang yang ada kelebihan akan kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya Aku bimbang kamu akan beroleh azab hari Kiamat yang besar.” (Surah Hud, ayat 3) 

Kesimpulannya, ambillah peluang untuk mencari keredaan Allah SWT dan menebus segala dosa atas segala kesalahan lalu kerana jiwa orang beriman akan lebih dekat ketika hampirnya bulan Ramadan.

Pakaian digunting sebaik keluar dari Kaabah

Berdepan dengan serangan hendap serta bom ketika solat berjemaah, bersenjata ketika bersolat dan berdakwah dalam situasi peperangan adalah antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan pendakwah bebas, Dzulkarnain Hamzah, 50. 

Mengimbau kenangan ketika bertugas sebagai guru agama Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT) yang dihantar berkhidmat dengan Batalion Malaysia (Malbatt) 1 di Battambang, Kemboja selama setahun empat bulan di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekitar 1990an, beliau berkata beramal dalam situasi perang benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal. 

“Saya sebagai tenaga pengajar bergilir-gilir ke penempatan tentera kita di Kemboja dan membantu dalam urusan keagamaan dan bertindak sebagai peniup semangat serta pembakar moral kerana cabaran di sana cukup besar,” katanya yang pernah berkhidmat dengan KAGAT selama 14 tahun. 

Cabaran moral, emosi 

Bukan itu saja, katanya, cabaran yang lebih besar apabila membabitkan moral dan emosi. Ini kerana aktiviti pelacuran boleh dilihat di mana-mana, termasuk berdekatan kawasan penempatan tentera. 

“Di sinilah, saya cuba membantu pasukan bersama dua lagi guru agama mengadakan kuliah Subuh, Zuhur, Asar dan Maghrib. Malam pula dihidupkan dengan solat malam sebagai bekalan kepada kekuatan dalaman tentera kita. Kita membantu memberikan semangat bagi mengelakkan mereka terjerumus dalam lembah maksiat,” katanya. 

Selain menjadi imam dan guru agama, Dzulkarnain juga bertugas sebagai amil mengutip zakat fitrah semasa Ramadan di penempatan pasukan Malbatt itu. 
“Ketika itu, Islam di Kemboja bukan seperti sekarang. Ramai ulama sudah dibunuh semasa rejim Pol Pot. Islam hanya tinggal nama. Masjid dijadikan kandang babi. Jadi, kita juga membantu penduduk tempatan memahami ajaran Islam termasuk mengajar agama, menjadi khatib dan menguruskan ibadat korban, selain membaiki masjid yang musnah,” katanya yang mahu berbahasa Khmer. 

Berasal dari Jasin, Melaka, bapa kepada lima cahaya mata ini, adalah antara pendakwah pertama di negara ini yang memulakan konsep hiburan menerusi dakwah dalam televisyen. 

Bercerita mengenai pengalaman pertamanya mengacarakan program Kalam Suci di Astro Oasis, beliau berkata pada awalnya beliau hanya hadir sebagai tetamu dalam program perintis itu. 

“Daripada tetamu, mereka rasakan saya lebih layak sebagai pengacara. Tetapi saya mahukan apa yang diperlukan artis termasuk kesan gema ketika mengalunkan bacaan al-Quran supaya bunyi tidak ‘kering’ dan mereka yang mengalunkan bacaan ayat suci itu lebih selesa. 

Tarik penonton 

“Macam remaja yang suka mendengar lagu Korea bukan sebab mereka faham liriknya tetapi penyanyi yang pandai menghayati lagu itu. Saya cuba bawakan konsep yang sama dalam pembacaan ayat al-Quran, apabila yang membaca ayat suci itu mampu menghayati taranumnya, maka walaupun pendengar tidak faham tetapi ia pasti menusuk ke hati,” katanya. 

Selain itu, beliau turut meminta pihak stesen televisyen menggunakan konsep perfileman dalam program agama bagi menarik penonton termasuk menggunakan lebih dari satu kamera. 

“Setiap tujuh saat mata kita akan berkelip, jika hanya menggunakan satu kamera penonton akan cepat bosan kerana statik seperti program agama sebelum ini. Justeru, apabila lebih kamera digunakan, pergerakan tetamu dapat dirakam dari pelbagai sudut yang sekali gus menjadikan program agama tidak membosankan. 

“Alhamdulillah, nampak perubahan dalam program agama yang disiarkan, bukan hanya memfokuskan pendakwah duduk dalam satu sudut saja tetapi dari pelbagai sudut. Bukan itu saja, program agama juga kini banyak diselang seli dengan lagu dan seni yang mampu menarik golongan muda,” katanya. 

Bekas pelajar Sekolah Pondok Sungai Durian Kuala Krai Kelantan dan Maahad Tahfiz Pusat Islam (kini dikenali sebagai Darul Quran) ini pernah mewakili negara dalam pertandingan antarabangsa menghafal al-Quran dan taranum di Makkah pada 1983. 

Dzulkarnain berkata, ketika berada di sana, beliau berpeluang masuk ke Kaabah bersama peserta negara lain dan hakim pertandingan itu termasuk Tan Sri Hassan Azhari. 

Berbau wangi 

“Raja Fahd ketika itu membuka pintu Kaabah dan bau di dalamnya wangi kerana bau daripada setanggi sehingga melekat ke baju. Semua peserta diminta memakai baju kebangsaan. Saya memakai baju Melayu dan samping yang ditaja Kerajaan Melaka. 

“Masa masuk ke Kaabah itu berebut-rebut kerana peserta pun beratus orang. Ibu pesan supaya jangan mendongak memandang siling Kaabah kerana bimbang sesuatu buruk berlaku tetapi saya ingkar pesanan itu dan melihat ke atas dan mendapati hanya siling,” katanya. 

Bagaimanapun, sebaik turun dari pintu Kaabah, beliau diserbu orang ramai dan ribuan yang mengambil peluang memeluknya dan menggunting baju serta sampingnya. 

“Sebaik keluar daripada rempuhan orang ramai, pakaian saya menjadi koyak seperti fakir miskin dan samping yang dipakai hanya tinggal gulungannya. Sekitar 1980an, perkara khurafat masih menebal dalam kalangan orang Islam. 

“Mereka menggunting pakaian saya kerana mahukan cebisan kain untuk tujuan khurafat,” katanya yang turut dihadiahkan kelambu Kaabah sepanjang sekaki oleh kerajaan Arab Saudi. 

Tugasnya sebagai Pengelola Jemaah Haji Swasta Rayhar Travels Sdn Bhd sejak lapan tahun lalu membolehkan beliau menunaikan haji setiap tahun, selain membawa jemaah mengerjakan umrah. 

Ramadan ibarat bonus tingkat ketakwaan

Persediaan bukan sekadar makanan, minuman, tetapi juga membabitkan perisian rohani

Sebaik-baik amalan bagi menambahkan tahap kemuliaan kita di sisi Allah SWT adalah melakukan ibadah dengan penuh tawaduk dan rendah diri. Maka sesiapa yang bertawaduk kerana Allah SWT, maka ia akan diangkat oleh Allah ke tahap yang lebih tinggi. 


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang menginginkan kemuliaan dan ketinggian, maka bagi Allah sahajalah segala kemuliaan dan ketinggian.” (Surah Fatir, ayat 10) 
Maka serulah Malaikat kepada Zakaria ketika beliau sedang beribadah seraya berkata, sesungguhnya Allah SWT telah menganugerahkan kepadamu seorang anak bernama Yahya" Surah Ali-Imran (ayat 39)

Imam Ibnu Taymiah berkata, ketika bertambahnya amalan seseorang, maka bertambahlah kemuliaannya serta darjatnya di sisi Allah SWT. Justeru, apabila hampirnya Ramadan, kita akan merasai bahang dan motivasi beribadah kerana Ramadan itu sendiri adalah bulan ibadah. 

Ramadan bonus tingkat ketakwaan

Bagi mereka yang sudah terbiasa dengan ibadah, maka Ramadan adalah bonus dan dana untuk meningkatkan ketakwaan. Mereka akan sentiasa mendapat anugerah serta pujian daripada Allah SWT.

Allah SWT telah memuji kekasihnya Ibrahim dengan firman yang bermaksud: “Sesungguhnya Ibrahim sangat lembut hatinya dan suka beribadah.” (Surah Hud, ayat 75) 
Amalan puasa Nabi Daud boleh dijadikan contoh kerana baginda banyak beribadah di samping berpuasa sehari dan berbuka sehari secara berselang seli. Baginda SAW amat menyukai amalan Nabi Daud serta menyarankan umatnya melakukan ibadah puasa.

Di samping beribadah dengan penuh khusyuk dan berharap, Allah SWT tidak akan mensia-siakan hamba-Nya kerana ibadah adalah penyambung talian hayat antara makhluk dan pencipta. Allah SWT kurniakan kepada Nabi Zakaria khabar gembira ketika sedang beribadah dengan anugerah anak soleh.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka serulah Malaikat kepada Zakaria ketika beliau sedang beribadah seraya berkata, sesungguhnya Allah SWT telah menganugerahkan kepadamu seorang anak bernama Yahya.” (Surah Ali-Imran, ayat 39) 

Demikian juga Nabi Isa yang sentiasa menjadikan ibadah sebagai rutin harian dan berkata: “Sesungguhnya Allah SWT adalah Tuhanku dan Tuhanmu, maka sembahlah ia (beribadah).” (Surah Maryam, ayat 36) 

Rasulullah pilih jadi Nabi, ahli ibadah

Baginda Muhammad SAW telah diberi pilihan oleh Allah SWT sama ada menjadi seorang Nabi dan berkuasa sebagai raja atau menjadi seorang Nabi yang banyak peluang beribadah. Maka Baginda SAW memilih seorang Nabi yang juga ahli ibadah.

Sabda Baginda SAW: “Aku lebih suka menjadi seorang Nabi yang abid (ahli ibadah) di mana aku berpuasa sehari lalu memuji Allah SWT dan berbuka sehari lalu bersyukur kepada-Nya.”

Allah SWT menyifatkan sahabat serta mereka yang beriman sebagai mereka yang banyak ibadahnya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kamu akan melihat mereka rukuk dan sujud kepada Allah SWT serta menuntut kelebihan dan keredaan-Nya. Terdapat tanda-tanda keimanan pada wajah mereka kerana terlalu banyak sujud kepada Allah SWT.” (Surah Al-Fath, ayat 29)

Alangkah indahnya jika sekalian ibadah yang dilakukan dapat disuburkan pada Ramadan mulia ini kerana Ramadan mendapat status bulan yang terbaik dalam setahun. Siang dan malamnya dipenuhi keberkatan amat luar biasa daripada malam lain.

Sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya telah datang bulan Ramadan yang diwajibkan kamu berpuasa, pintu syurga dan langit terbuka luas untuk ahli ibadah, sesiapa yang leka akan terus leka, syaitan dibelenggu dan Allah SWT memperuntukkan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.” (Riwayat Muslim)

Ibnu Arabi berpendapat pintu syurga dibuka kerana menerima banyak harapan daripada hamba kepada penciptanya, amalan semakin bertambah, ikatan iman semakin kukuh dan tahap kesabaran menjadi benteng yang kuat. 

Ditutup pintu neraka adalah simbolik kepada penghinaan terhadap syaitan serta berkurangnya statistik kemungkaran dan kemaksiatan. Ibnu Rejab berkata, segala amalan kebajikan digandakan daripada sepuluh ganjaran sehingga tujuh ratus gandaan melainkan puasa yang menerima ganjaran daripada Allah SWT tanpa had tertentu.

Mereka yang beriman akan merasa gembira dengan kedatangan Ramadan dan mereka yang gelisah ketika menjelang Ramadan hendaklah memperbanyakkan istighfar serta memohon ampun kepada Allah SWT. 

Bukan bertumpu persediaan makanan, minuman

Sebenarnya persediaan menyambut Ramadan bukanlah tertumpu kepada makanan dan minuman, malah ia adalah persediaan iman, kesabaran dan ketaatan. Hanya mereka yang benar-benar menghayati konsep puasa dapat menuai hasil lumayan pada Ramadan.

Ketika Nabi Musa bermunajat, baginda berkata: “Wahai Tuhanku, adakah di sana manusia yang lebih mulia dariku? Allah SWT menjawab: Wahai Musa, ada di kalangan hamba-Ku yang datang pada akhir zaman di mana mereka memuliakan bulan Ramadan dan aku amat hampir dengan mereka ketika itu. Wahai Musa, ketika kita berbicara, sebenarnya kita dipisahkan oleh 70,000 hijab atau pendinding, akan tetapi apabila mereka berpuasa, aku akan menyingkap semua hijab untuk mereka.”

Oleh itu, kita hendaklah berdoa supaya Allah SWT memberikan kesempatan untuk bertemu Ramadan ini kerana kita tidak mengetahui bilakah akan berakhirnya hayat kita. Kita amat mengharapkan anugerah kesihatan yang baik supaya dapat melaksanakan ibadah secara maksimum di bulan mulia.

Selangor berdepan krisis air berulang

Mersing: Selangor bakal berdepan krisis air berulang jika tiada persediaan rapi dilakukan bagi menghadapi fenomena El Nino yang dijangka Ogos ini.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr James Dawos Mamit, tidak menolak kemungkinan negeri itu boleh mengalami gangguan bekalan air bersih susulan cuaca panas dan kering berterusan. 


Katanya, reka bentuk dan struktur empangan di Selangor yang agak berbeza iaitu bertingkat menyebabkannya tidak dapat menyimpan kuantiti air yang banyak bagi memenuhi permintaan pengguna. 
Struktur empangan bertingkat yang tidak membolehkan air disimpan dengan banyak menyebabkan negeri itu (Selangor) mengambil air dari sumber di hilir sungai” James Dawos Mamit, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar

“Memang ada potensi (Selangor) menghadapi gangguan air ketika kemarau berikutan El Nino. Struktur empangan bertingkat yang tidak membolehkan air disimpan dengan banyak menyebabkan negeri itu mengambil air dari sumber di hilir sungai,” katanya selepas pelancaran Projek Konservasi Kima atau nama saintifiknya Tridacna di Pusat Taman Laut Pulau Tinggi, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Taman Laut Negara, Dr Sukarno Wagiman dan Pengurus Kanan Malakoff Corporation Berhad, Yuha Ismail.

Sedia hadapi El Nino

Dawos berkata, kerajaan bersedia menghadapi fenomena El Nino dengan mengenal pasti beberapa kawasan yang sering dilanda kebakaran terbuka. 
“Jabatan Alam Sekitar (JPS) sudah memulakan penilaian dan pemantauan bagi mengenal pasti kawasan berpotensi mengalami kebakaran dan mengambil langkah pencegahan awal,” katanya.

Mengenai Projek Konservasi Kima, Dawos berkata, Tridacna Garden yang diwujudkan di taman laut itu adalah projek perintis kementerian bagi mengumpul dan mengawal populasinya terancam serta pupus.

“Sehingga kini, kita mempunyai 100 contoh merangkumi empat spesies iaitu Tridacna Gigas, Derasa, Squamosa dan Maxima.

“Kima adalah antara enam spesies hidupan laut yang dikategorikan sebagai paling terancam selain dugong, ikan lumba-lumba, yu, penyu dan kerang,” katanya.

“Jika projek ini menunjukkan perkembangan positif, kementerian akan mencadangkan ia diperbanyakkan di beberapa taman laut di Tioman atau Redang," katanya.



Maklum balas rakyat jadikan Bajet 2015 lebih baik

Ipoh: Bajet 2015 yang bakal dibentangkan pada 10 Oktober depan akan menjadi lebih baik sekiranya kerajaan menerima lebih banyak maklum balas dan pandangan daripada rakyat biasa.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata maklumat rakyat pada peringkat akar umbi membolehkan kerajaan merancang, khususnya aspek pembangunan dan pelbagai perkara yang diperlukan rakyat. 


Katanya, setakat ini, kerajaan menerima banyak maklum balas daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak profesional. 
Input dari segi memorandum banyak kita dapat, tetapi itu pandangan NGO dan profesional yang mungkin lain daripada pandangan rakyat biasa yang hidup dalam suasana seharian” Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Kewangan Kedua

“Input dari segi memorandum banyak kita dapat, tetapi itu pandangan NGO dan profesional yang mungkin lain daripada pandangan rakyat biasa yang hidup dalam suasana seharian.

“Kadangkala apabila kita nak kita tingkatkan pendidikan, di luar bandar mungkin permasalahannya lain. Sarawak umpamanya, pelajar dari rumah panjang yang mahu pergi ke sekolah memakan masa satu hari, jadi di Sarawak mereka perlukan sekolah.

“Soal imbangan penduduk berpendapatan rendah di bandar dan luar bandar juga bukan mudah untuk diatasi kerana ia memakan masa, jadi rakyat yang ada pendapat perlu beri maklumat pada kita kerana jika kita (kerajaan) boleh dapat lebih banyak maklumat daripada rakyat maka lebih baik,” katanya selepas melancarkan Pusat Khidmat Bergerak Barisan Nasional (BN) Parlimen Tambun di sini, semalam.

Tumpuan kurangkan defisit 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebelum mempengerusikan Majlis Konsultasi Bajet 2015 di Kuala Lumpur, baru-baru ini dilaporkan berkata, Bajet 2015 adalah bajet pengembangan serta menyediakan peruntukan bagi program dan projek yang masih berbaki dalam tempoh RMKe-10, namun tidak mengetepikan defisit negara dengan menjangka dapat mengurangkan defisit fiskal kepada 3.5 peratus tahun ini dan mencapai bajet seimbang pada tahun 2020.

Ahmad Husni berkata, tumpuan untuk mengurangkan defisit negara kerana tidak mahu negara terus dibebani hutang.

Beliau berkata, bagaimanapun pengurangan defisit tidak boleh dibuat secara drastik bagi mengelak masalah, termasuk pendapatan rakyat dan peluang pekerjaan baru terjejas hingga boleh menyebabkan pertumbuhan ekonomi menguncup.

151 kertas siasatan kes seleweng diesel dibuka

Kuala Pilah: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membuka 151 kertas siasatan kes penyelewengan diesel melalui Ops Titik sejak dilancarkan 15 Mei lalu hingga kelmarin.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek, berkata nilai keseluruhan diesel dan bahan kes yang disita berjumlah RM8.06 juta. 


Katanya, kelmarin sahaja, dua kes dilaporkan di Selangor dengan nilai sitaan RM116,006 manakala pada Jumaat lalu, lapan kes iaitu empat di Kelantan, dua di Negeri Sembilan dan satu kes masing-masing di Sabah dan Sarawak dengan nilai sitaan RM186,560. 
Semua kes terbabit sedang diperhalusi. Kita akan pastikan pihak bertanggungjawab dalam penyelewengan itu dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukuman setimpal” Hasan Malek, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

“Semua kes terbabit sedang diperhalusi. Kita akan pastikan pihak bertanggungjawab dalam penyelewengan itu dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukuman setimpal.

Kenal pasti individu terbabit

“Kita sudah mengenal pasti individu dan syarikat yang terbabit dalam kegiatan ini dan akan membuat lebih banyak serbuan serta tangkapan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM) cawangan negeri di sini, semalam.

Di Alor Setar, Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 20,000 liter minyak diesel bernilai kira-kira RM40,000 dalam serbuan di sebuah bengkel membaiki jentera berat di Jalan Putra, Mergong, kelmarin. 
Berikutan itu, empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan, terdiri daripada pemilik bengkel, operator pam, pemandu lori dan pemandu pacuan empat roda. 

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Langkawi, Asisten Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata serbuan dilakukan jam 2 petang selepas mendapati ada aktiviti memindahkan minyak bersubsidi itu dari tangki sebuah lori tanah yang baru memasuki bengkel berkenaan.

Katanya, pasukannya melakukan intipan di kawasan bengkel itu sejak jam 9 pagi dan mendapati sesuatu mencurigakan sebelum serbuan dilakukan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, mereka dipercayai menyeleweng minyak bersubsidi untuk diseludup ke negara jiran dan menjadikan bengkel itu sebagai transit pemindahan bahan api berkenaan,” katanya.

Pemilik bengkel berumur 59 tahun turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang alasan munasabah dan menga ku tidak memiliki dokumen sah untuk menyimpan diesel.




UMNO Kelantan mahu sertai Jawatankuasa Hudud

Pegawai Kerajaan Pusat diharap turut dipilih 

Kota Bharu: Badan Perhubungan UMNO Kelantan akan memohon kepada Jawatankuasa Teknikal Hudud Peringkat Kebangsaan, supaya turut menamakan beberapa pegawai perkhidmatan Kerajaan Pusat di negeri itu menganggotai jawatankuasa berkenaan. 


Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata walaupun kerajaan negeri akan memilih beberapa individu bagi menganggotai jawatankuasa berkenaan, UMNO negeri berharap keanggotaannya tidak hanya berpihak kepada wakil dari kerajaan negeri saja.



MH370: 'Kita teruskan pencarian'

Najib jamin kerajaan komited dalam usaha mencari pesawat

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak terus memberi komitmen kerajaan dalam usaha mencari pesawat MH370 walaupun selepas kapal terbang itu hilang lebih 100 hari. 

Perdana Menteri, yang dipetik melalui laman sosial Twitter berkata, semua ahli keluarga dan penumpang pesawat itu akan diingati dengan usaha pencarian tidak akan terhenti setakat ini sahaja. 
Kita mengenang mereka yang di dalam pesawat dan keluarga mereka. Malaysia kekal komited dalam usaha mencari. Ahli keluarga dan penumpang pesawat itu akan diingati dengan usaha pencarian tidak akan terhenti setakat ini” Najib Razak, Perdana Menteri

“Pada hari ke-100 MH370 hilang, kita mengenang mereka yang di dalam pesawat dan keluarga mereka. Malaysia kekal komited dalam usaha mencari,” katanya.



DENGGI RAGUT 75 NYAWA

PUTRAJAYA - Sebanyak 75 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan di seluruh negara sejak Januari hingga 7 Jun lepas, meningkat 241 peratus berbanding 22 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes denggi yang dilaporkan dalam tempoh tersebut juga menunjukkan peningkatkan iaitu 38,411 kes, meningkat 252 peratus berbanding 10,910 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Terbaru tiga kematian dilaporkan sepanjang minggu lepas iaitu seorang lelaki berusia 45 tahun dari Kuala Lumpur dan dua wanita masing-masing berumur 40 dan 53 tahun dari Selangor dan Kedah.

"Sejumlah 360 lokaliti wabak dilaporkan di 13 buah negeri dan daripada itu terdapat 55 lokaliti titik panas iaitu 49 lokaliti di Selangor, tiga di Negeri Sembilan, serta masing-masing satu di Kelantan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pada minggu ke-23 (1 Jun-7 Jun) sejumlah 1,586 kes telah dilaporkan dan menurun 10 peratus (169 kes) berbanding 1,755 yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Sempena musim cuti persekolahan yang akan berakhir pada minggu ini, beliau menyarankan kepada pihak pengurusan sekolah supaya memastikan kawasan persekitaran sekolah adalah bersih dan bebas daripada tempat pembiakan aedes.

"Ubat pembunuh jentik-jentik (abate) boleh digunakan di tempat-tempat yang berpotensi untuk pembiakan aedes seperti pam tandas, pasu bunga, kolam hiasan dan sebagainya.

"Semburan aerosol juga boleh dilakukan di dalam kelas sebelum sesi persekolahan bermula bagi membunuh nyamuk aedes dewasa," katanya.