BARU
saja beberapa hari memulakan tugas di pejabat selepas bercuti panjang
sempena Aidilfitri baru-baru ini, sudah berjela-jela cerita gosip yang
berjaya Zubir kumpulkan, hanya menunggu saat dan ketika yang sesuai saja
untuk dikongsi bersama pembaca yang sentiasa memberi sokongan.
Seperti kelazimannya, sebelum Zubir bercerita panjang lebar
mengenai inti pati gosip minggu ini, biarlah Zubir mulakan dulu dengan
kisah seorang pegawai perhubungan awam (PR) yang berlagak diva, perasan
dirinya umpama aktor sehebat Brad Pitt! Walhal dirinya hanya PR di
sebuah sektor korporat di ibu kota, jauh sekali PR atau pengurus kepada
artis atau selebriti popular tanah air.
Segala-galanya bermula apabila Zubir dan teman wartawan
hiburan mendapat undangan menghadiri tayangan khas filem muzikal
pengembaraan pertama Malaysia, Magika, terbitan KRU Studios Sdn Bhd di
e@Curve, Mutiara Damansara, Selangor pada 21 September lalu. Berdasarkan
maklum balas dan komen daripada karyawan seni yang menonton filem
berkenaan, insya-Allah Magika bakal mencatat kutipan box-office!
Sebaik selesai tayangan filem berkenaan, semua tetamu terutama pihak
media massa diundang ke bilik khas untuk menghadiri sidang media
membabitkan pengarah Magika, Edry Abdul Halim bersama barisan pelakon
utamanya seperti Ziana Zain, Mawi, Diana Danielle, M Nasir, Ning
Baizura, Vanidah Imran, Sharifah Aleya dan Sharifah Amani.
Namun, ketika pihak wartawan sibuk menemuramah artis terbabit, Zubir
perhatikan gelagat seorang PR yang berjalan ke hulu ke hilir, mundar
mandir di celah artis seolah-olah ingin mencuri perhatian tetamu yang
hadir! Bersama pakaian ala-ala artis dan berjalan umpama model catwalk,
kemunculannya ketika sidang media itu, menyakitkan banyak mata yang
memandang! Bukan Zubir saja, tapi teman wartawan lain juga naik ‘rengsa’
dengan gelagat overnya itu!
Mamat ni bukannya ada kepentingan
dalam sidang media berkenaan, tapi menyibuk saja menonjolkan diri untuk
bersama artis. Dia ni asal saja ada artis, tiba-tiba nak menempel
tumpang glamor! Itulah sebabnya Zubir panggil dia Brad Pitt Malaysia,
perasan diri popular, walhal kehadiran diri anda pada sidang media itu
tak pernah diperlukan! Hello kawan, dah dapat undangan menonton premier
Magika pun dah cukup baik, tak perlu berlagak persis artis Hong Kong!
Tolonglah, tak perlu guna alasan dapat undangan ke sidang
media premier Magika daripada si polan itu, si polan ini, hakikatnya
anda hanya PR yang bukan syarikat hiburan dan bukannya kerjaya anda pada
malam berkenaan ada kena mengena membantu artis mahupun pihak media,
sebaliknya macam hendak menagih glamor semata-mata, jadi tak perlulah
berlagak atau perasan hebat!
Baiklah, cukup cerita mengenai
PR yang gila glamor itu. Sekarang Zubir ingin mengimbas kembali ingatan
pembaca mengenai gosip bekas anggota Elite, Siti Zaidatul Fiza Abdul
Halim atau Fiza, 29 yang didakwa berkawan rapat dengan jurukamera drama
bersiri, Syahjihan dikenali sebagai Malek Marwi, 35. Hubungan Fiza dan
Malek mendapat tentangan daripada anak Malek sendiri iaitu aktres cilik
popular, Erin Malek, 16.
Gosip mengenainya pernah dipaparkan di
ruangan ini menerusi artikel berjudul ‘Erin Malek berang bapa, Fiza
berkawan rapat’ terbitan B*POP 5 September lalu. Menerusi kenyataan Erin
sebelum ini, dia mendakwa bapanya berkawan dengan Fiza, namun Malek
sudah pun meminta maaf di atas kesilapannya kerana mengabaikan
perhatiannya terhadap keluarga, lebih-lebih lagi ke atas Erin yang
memang rapat dengan dirinya.
Erin juga pernah memaklumkan
kepada Zubir, ketika cuti sempena Aidilfitri baru-baru ini, dia
sekeluarga termasuk Malek menghabiskan percutian di Phuket, Thailand
kerana dia dan bapanya akan menjalani aktiviti selam skuba. Justeru,
Zubir menganggap, keluarga berkenaan sudah kembali bahagia apabila Malek
sudah pun melupakan Fiza untuk kembali bersama isterinya, Liza dan
anak-anaknya.
Namun, tanggapan Zubir meleset sama sekali.
Menurut cerita sumber yang rapat dengan keluarga berkenaan, sebaik saja
pulang dari Phuket, Malek tiba-tiba menghilangkan diri dari rumah!
Mulai 17 September lalu, Malek keluar rumah tanpa pengetahuan isteri dan
anak-anaknya. Lebih menarik, kira-kira jam 1.50 petang, kelibat Fiza
muncul di luar kediaman Malek di Pandan Mewah Height lalu menjemputnya
pergi! Fiza dan Malek dilihat meninggalkan kawasan perumahan itu sekitar
jam 2 petang.
Sehingga berita ini ditulis pada 22 September
lalu, Malek tidak pulang ke rumah, tanpa mengirimkan sebarang khabar
berita kepada keluarganya. Zubir difahamkan, Malek sengaja meninggalkan
telefon bimbitnya di rumah agar dia tidak dihubungi. Sejak keluar dari
rumah, keluarganya terputus hubungan dengan Malek. Menurut sumber, Malek
dan Fiza khabarnya bercuti di Pulau Pinang dan Perlis sepanjang tempoh
kehilangan jurukamera berkenaan.
“Erin tertekan apabila Malek
tergamak keluar rumah meninggalkan keluarga. Fikirannya bertambah buntu
apabila ada ura-ura ibu bapanya mungkin akan berpisah. Aku hairanlah,
kenapa Malek dan Fiza masih berhubungan, sedangkan masing-masing ada
keluarga sendiri. Fiza pula khabarnya sanggup meninggalkan anak-anaknya
di rumah mentua, semata-mata ingin bersama Malek, dia bagi alasan
shooting, tolonglah jangan main drama!,” cerita sumber berkenaan kepada
Zubir, baru-baru ini.
Difahamkan, sebelum keluar rumah, Malek
sempat meninggalkan sekeping nota, memaklumkan dia minta maaf dengan
isteri kerana keluar rumah tanpa pengetahuan Liza, selain berkecil hati
kerana mendakwa anak-anak seolah-olah tidak mempedulikannya lagi.
“Semua itu alasan Zubir! Yang pasti, Malek dan Fiza masih ada hubungan
istimewa. Sekalipun kau pernah tulis kisah mereka di dalam ruangan
gosip, namun kedua-duanya tidak pernah mengendahkannya, dia orang berdua
ni memang keras hati! Kalau Malek nak kahwin dengan Fiza, mustahil
kerana dia masih isteri Farriq,” tambah sumber berkenaan.
Zubir
tak mahu komen lebih-lebih, insya-Allah pada masa akan datang, Zubir
akan minta penjelasan daripada pakar agama apa hukumnya Fiza dan Malek
boleh berbuat sesuka hati mereka!
ZUBIR: Bintang AF8 hebat
mengata rakan wartawan yang pernah mengkritik perangai divanya sebelum
ini, tapi apabila bertemu, siap cium tangan!