SELAMAT DATANG KE BLOG RENCAH KITA

Monday, 16 June 2014

PETRONAS taja biasiswa RM100j

Seri Iskandar: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) terus melebarkan sayap dan komitmennya melahirkan modal insan berkualiti menerusi bidang pendidikan melalui Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP).
Tahun ini, syarikat multinasional minyak dan gas ulung negara itu menaja biasiswa berjumlah hampir RM100 juta kepada 316 pelajar pintar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran bermula dari program persediaan hingga ke peringkat ijazah sarjana muda di dalam dan luar negara.
Daripada jumlah itu, seramai 148 ditawarkan program di luar negara manakala 168 melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh, dekat sini.
Mereka termasuk 15 pelajar daripada Pusat PERMATApintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bakal mengikuti bidang teknikal dan bukan teknikal seperti Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Petroleum, Kejuruteraan Petroleum Geosains dan Geofizik, Kejuruteraan Kimia, Geologi, Elektrik dan Elektronik, Perakaunan, Ekonomi, Undang-Undang dan Sains Aktuari.
Penyerahan tajaan biasiswa itu disampaikan Timbalan Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh pada majlis khas di Dewan Canselor UTP, 8 Jun lalu.
Turut hadir Naib Presiden Kanan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Raiha Azni Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Canselor UTP, Ir Datuk Abdul Rahim Hashim; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UKM, Datin Noor Azziah Mohd Awal; Ketua Jabatan Pengurusan Modal Insan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Ungku Haslina Ungku Mohamed Tahir dan Pengarah Pusat PERMATApintar Negara, UKM, Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak.
Manfaat 21,000 pelajar
Dengan penganugerahan terbaharu itu, PETRONAS sudah menyediakan lebih RM2.8 bilion melalui program berkenaan sejak tahun 1975, dengan lebih 21,000 pelajar mendapat manfaatnya sekali gus meningkatkan bakat mahir dalam pelbagai bidang disiplin ilmu di negara ini.
Pembangunan modal insan
Raiha Azni dalam ucapannya pula berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 1947, PETRONAS menekankan perkembangan pendidikan dan keupayaan warga muda dengan PESP menjadi antara satu usaha utama untuk menyumbang ke arah pembangunan modal insan yang mapan di negara ini.
“Komitmen ini turut memainkan peranan sebagai kunci utama pembangunan syarikat khususnya tetapi berupaya memacu kemajuan rakyat secara umumnya. Bagi menggarap dan mencatat kecemerlangan yang lebih memberangsangkan, PETRONAS akan terus memberi komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menggerakkan syarikat untuk mencapai visinya sebagai sebuah syarikat minyak dan gas multinasional yang bersepadu sepenuhnya yang bercirikan ‘global champion’,” katanya.
PESP sebagai anugerah
Penerima biasiswa, Mohammad Ruhzain Rezqie Mohammad Zain, 18, dari Kelantan menyifatkan PESP sebagai anugerah kepada pelajar dan tawaran biasiswa terbaik di negara ini, sekali gus mendorongnya untuk menerima tawaran berkenaan berbanding tawaran daripada pihak lain.
Anak penanam cendawan dari Taiping, Tan Rui Qiong, 18, yang akan mengikuti kursus persediaan sebelum melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat dalam bidang geologi berkata, beliau gembira sebaik mengetahui terpilih sebagai penerima biasiswa PETRONAS.
Anak peniaga restoran, N Dharshana, 18, berkata beliau yakin dengan PETRONAS impiannya dalam bidang Kejuruteraan Petroleum akan dapat direalisasikan.

Tradisional Kelantan hidangan nasi yang dibuat dengan bahan-bahan segar dan lazat

Jalan Semarak perjalanan ke bekerja untuk 6 bulan lalu, saya akhirnya mengambil keputusan untuk menyemak pasar basah / Selera medan melihat-sama bangunan di persimpangan Jalan Semarak dan Jalan Padang Tembak pada waktu pagi. Ia ternyata menjadi satu lagi penemuan makanan yang baik.


Selera Semarak berfungsi kebanyakannya Melayu dan makanan Mamak, saya memutuskan untuk memesan kerabu nasi dari gerai kedua di sebelah kanan pintu masuk


Bagi mereka yang tidak biasa dengan nasi kerabu, ia adalah satu hidangan tradisional Kelantan dengan nasi tandatangan biru. Warna diperolehi dari tunas bunga rama-rama kacang (kembang telang), yang juga memberikan ia aroma yang berbeza. 
Kacang panjang dicincang, kubis, sambal kelapa dan keropok (keropok udang) membentuk seluruh hidangan. Saya menambah satu ketul peha ayam goreng untuk mengukur baik. 


Saya benar-benar menyukai sambal kelapa walaupun ia terbukti agak pedas. Aroma nasi biru dan kesegaran sayur-sayuran yang dibuat ini hidangan cukup hebat. Bagi kira-kira RM 5 termasuk ayam, ini adalah pasti salah satu yang lebih baik sarapan saya pada masa-masa kebelakangan ini.



address: Selera Semarak, Jalan Semarak, Kementah, Kuala Lumpur | Opening hours: Open for breakfast and lunch | GPS coordinates: 3.175878,101.720737 | Halal

Bible: MB akan menghadap Sultan Selangor esok

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Mestika, di sini pagi esok. 

Abdul Khalid berkata, pertemuan itu bagi membincangkan status kitab Bible yang dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Januari lalu. 


"Kerajaan negeri akan menghadap memohon pandangan tuanku dalam perkara ini. Kita mungkin bagi cadangan kepada tuanku untuk dipertimbangkan, sama ada Bible ini perlu disimpan JAIS atau dipulangkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini.
 

80 penjawat awam ditahan terbabit rasuah lima bulan pertama 2014

MELAKA: Seramai 80 penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan rasuah bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini. 

Menurut laman web rasmi SPRM, jumlah itu menunjukan peningkatan berbanding 65 tangkapan dalam tempoh sama tahun lepas. 

Kumpulan sokongan merupakan golongan yang paling ramai ditahan iaitu 67 orang diikuti kumpulan pengurusan dan profesional sebanyak 13 orang. 


Tiada penjawat awam daripada kumpulan pengurusan tertinggi ditahan, menurut laman web berkenaan. 

Dalam tempoh sama, SPRM juga menahan 127 orang awam dengan 36 orang daripadanya merupakan pekerja sektor swasta.

230 cadangan perbaiki kelemahan

Kuala Lumpur: Jabatan Audit Negara menyenaraikan 230 syor bagi membantu Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan kerajaan negeri, menambah baik serta memperbaiki kelemahan yang dikesan menerusi Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2.
Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata ia membabitkan 55 syor kepada Kerajaan Persekutuan; 31 syor kepada Badan Berkanun Persekutuan dan 144 syor kepada kerajaan negeri.
“Kelemahan yang dikesan kebanyakannya membabitkan kecekapan dan pematuhan penjawat awam terhadap peraturan kewangan kerajaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.
Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2 dibentangkan di Parlimen semalam, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Ambrin berkata, dalam Laporan Siri 2 itu, sebanyak 57 pengauditan prestasi dan 18 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan dilaksanakan pada peringkat Persekutuan, negeri dan Badan Berkanun Persekutuan.
“Pengauditan yang dilaksanakan merangkumi bidang pembinaan, penyelenggaraan, penguatkuasaan undang-undang, perolehan, pengurusan aset, program peningkatan sosioekonomi, infrastruktur dan pengurusan syarikat,” katanya.
Ambrin berkata, Kementerian Kewangan mengeluarkan Laporan Maklum Balas ke atas Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2 yang memberikan ulasan serta tindakan terkini daripada Ketua Perkhidmatan terhadap isu-isu yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara.
Setiap tahun, Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan prestasi yang bertujuan menilai sejauh mana pelbagai aktiviti dan projek kerajaan telah dirancang, dilaksanakan dan dipantau dengan cekap dan berkesan serta sejauh mana objektif asal program atau aktiviti dan projek itu tercapai.
Ia juga bertujuan menilai sejauh mana wang awam dibelanjakan dengan berhemat, tanpa berlakunya pemborosan dan pembaziran serta mendapat nilai faedah terbaik bagi perbelanjaan yang dibuat.
Bagi pengauditan syarikat kerajaan pula, Jabatan Audit Negara membuat penilaian terhadap aspek analisis penyata kewangan, pengurusan aktiviti syarikat dan tadbir urus korporat.
Kandungan dan sinopsis laporan siri 2 itu boleh dilayari orang ramai menerusi laman web Jabatan Audit Negara di http://www/audit.gov.my mulai semalam dan sebarang pertanyaan atau pandangan mengenai laporan itu boleh dialamatkan kepada Warkah Untuk Ketua Audit Negara.

PESALAH TRAFIK DIBAWA KE BALAI

Ops Warta kesan pesalah trafik mulai semalam hingga 27 Jun
Kuala Lumpur: Pesalah trafik yang mempunyai waran tangkap berikutan tidak menjelaskan bayaran saman tertunggak mereka, mula ditahan dan dibawa ke Balai Polis sebaik Operasi Warta (Ops Warta) bermula semalam.
Sepanjang Ops Warta yang akan berakhir 27 Jun ini, polis akan melakukan sekatan jalan raya tiga kali iaitu pada waktu pagi, petang dan malam.
Waran tangkap akan diserahkan kepada mereka yang berjaya dikesan dan akan dibawa ke balai untuk tindakan seterusnya.

Penunjuk perasaan bakar bendera AS sebelum perlawanan Piala Dunia

NATAL: Penunjuk perasaan anti Piala Dunia membakar bendera Amerika Syarikat berdekatan stadium di utara Brazil di mana Naib Presiden AS, Joe Biden yang dijadual menghadiri perlawanan sulung Piala Dunia negara itu, awal pagi ini.

Penunjuk perasaan itu turut membakar bendera Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sambil melaungkan bantahan “imperialisme”.
Bantahan itu hanya membabitkan berpuluh orang sahaja dan mereka tidak mengancam pegawai keselamatan yang membuat halangan kira-kira 2 kilometer dari pintu masuk stadium.

Tunjuk perasaan anti Piala Dunia turut berlaku di Curitiba, selatan Brazil yang menjadi gelanggang perlawanan antara Iran dan Nigeria.

Bantahan besar-besaran terhadap perbelanjaan tinggi penganjuran Piala Dunia Brazil sudah bermula sejak tahun lalu tetapi ia semakin teruk sejak kejohanan berprestij itu bermula pagi Jumaat lalu.

Piala Dunia: Scolari minta penyokong Brazil sabar ketika temu Mexico

FORTALEZA: Jurulatih skuad Brazil, Luiz Felipe Scolari memberi amaran kepada penyokong pasukan supaya tidak mengharapkan bakal merakamkan kemenangan mudah ke atas Mexico dalam perlawanan kedua Piala Dunia Kumpulan A, awal pagi esok.
Amaran itu diutarakan pengendali tuan rumah itu dengan tujuan agar ia dapat mengurangkan tekanan kepada juara lima kali itu.
Sokongan daripada puluhan ribu penyokong Brazil yang bakal memenuhi Arena Corinthians pada perlawanan pertama mereka di Sao Paulo membantu pasukan bangkit dari ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-1 ke atas Croatia, Jumaat lalu.
“Kami ada penyokong yang sentiasa bersama kami dan kami mempunyai satu pasukan yang bagus, setiap hari semakin bagus,” katanya pada sidang media dia Castelao arena menjelang perlawanan kedua, awal pagi esok.
“Tapi saya mahu beritahu rakyat Brazil jangan mengharapkan kita mudah layak ke pusingan seterusnya. Kita akur Mexico memiliki skuad yang bagus,” katanya.

Piala Dunia: Jepun harus main ikut kekuatan - Honda

ITU (Brazil): Pemain tonggak Jepun, Keisuke Honda, berkata mereka harus mengawal permainan jika mahu menyalakan impian layak ke pusingan kedua Piala Dunia selepas tewas dalam perlawanan pembukaan.
Honda membantu jaguh Asia itu mendahului ketika menentang Ivory Coast, Sabtu lalu tetapi pasukan lawan diketuai Didier Drogba bangkit meledakkan dua gol untuk menang 2-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C.
“Kawalan bola adalah kekuatan kami,” kata pemain berusia 28 tahun itu yang sudah menyumbang 23 gol antarabangsa untuk Jepun hasil 57 perlawanan setakat ini.
“Apabila anda ada bola anda hanya harus menyimpannya lebih lama. Apabila kita hilang bola kita harus cuba merampas semula. Itu falsafah kami," katanya.
Honda berkata, walau pun kalah, skuad Jepun tetap cergas dan yakin dapat mengubah nasib mereka di Brazil.
Jepun layak ke kelompok 16 terakhir di Afrika Selatan empat tahun lalu sebelum tewas kepada Paraguay dalam penentuan sepakan penalti.

7 rempuh pagar surau kena tahan

Nilai: Tujuh pemuda berusia 20 hingga 23 tahun ditahan polis kerana merempuh pagar serta memecahkan cermin surau Pangsapuri Sri Palma Villa dekat Mantin di sini, pagi kelmarin. 

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, suspek yang dipercayai mabuk berang apabila perbuatan mereka minum arak di sebuah pondok berhampiran surau terbabit ditegur seorang jemaah yang berada dalam kawasan berkenaan. 


Suspek yang tidak berpuas hati kemudian menaiki sebuah van lalu merempuh pintu pagar surau terbabit sebelum membaling botol arak dan batu ke arah surau menyebabkan beberapa cermin pecah. 

Imam surau itu, Sulaiman Mohamad, 51, berkata rakannya yang menegur perbuatan kumpulan itu mengalami luka ringan pada tangan akibat terkena serpihan kaca dan menghubungi polis untuk bantuan.

“Polis yang tiba tidak lama kemudian berjaya mengesan kumpulan terbabit sebelum menahan mereka bersama seorang wanita,” katanya ketika ditemui.

Berpunca salam faham

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdullah Roning, berkata kejadian itu berpunca daripada salah faham dan tidak membabitkan isu perkauman atau keagamaan. 
“Kita menganggapnya kes terpencil dan selesai susulan penahanan semua suspek.

“Polis berharap kes berkenaan tidak dimanipulasi mana-mana pihak kerana jelas tidak membabitkan isu keagamaan dan perkauman,” katanya.

Semua suspek direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut. 

Difahamkan beberapa suspek yang ditahan dipercayai positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau.



Ganguan seks di tempat kerja


Peragut pulangkan beg mangsa ditahan

Segamat: Seorang peragut ditahan polis ketika memulangkan beg tangan mangsa sebagai pertukaran mendapatkan kembali beg sandang miliknya yang dirampas kenalan wanita itu, dalam kejadian di sebuah kafe dekat Segamat, petang kelmarin. 

Kejadian berlaku jam 2 petang kelmarin, apabila mangsa meletakkan beg tangan di atas meja ketika minum bersama kenalan lelakinya di kafe berkenaan. 


Keadaan itu diambil kesempatan suspek yang memasuki kafe terbabit dengan memakai topi keledar untuk meragut dan melarikan beg tangan mangsa. 

Rampas beg sandang suspek 

Rakan mangsa bertindak mengejar sehingga berhasil menarik beg sandang lelaki terbabit, tetapi suspek sempat melarikan diri dengan motosikal yang diletakkan berhampiran kafe berkenaan. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi, berkata kira-kira dua jam kemudian, mangsa menerima panggilan telefon daripada peragut itu. 

“Menerusi perbualan telefon itu, suspek sedia memulangkan beg tangan mangsa yang mengandungi wang tunai RM200 dan beberapa dokumen lain. 
Setuju bertemu tukar beg 

“Suspek meletakkan syarat supaya mangsa mengembalikan beg sandang miliknya itu sebelum pertemuan pertukaran itu dipersetujui di hadapan sebuah bank dekat Jalan Genuang di sini,” katanya. 

Mohd Kamil berkata, ketika suspek menghubunginya, mangsa sudah membuat laporan polis mengenai kejadian ragut terbabit. 

“Suspek ditahan sejurus tiba di lokasi. Ketika datang bertemu mangsa, suspek ditemani isteri dan dua anaknya berusia tiga dan tujuh tahun,” katanya.



2 maut terkena tembakan

Anggota PGA, pengawal keselamatan dikatakan bergelut

Sandakan: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan seorang pengawal keselamatan maut terkena tembakan selepas bergelut di kawasan tapak pembinaan di Taman Casa San Uno, Batu 4, dekat sini, semalam. 


Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mayat Lans Koperal Madaini Awang dari Batalion 15 PGA, ditemui dengan kesan tembakan di kepala, manakala mayat Ibni Hasyim, 65, mempunyai kesan tembakan di kepala dan bahu. 

Empat das tembakan

Pekerja pembinaan dikatakan mendengar empat das tembakan sebelum bergegas ke lokasi dan terkejut apabila melihat kedua-dua lelaki terbabit terbaring serta tidak bernyawa berhampiran pagar utama tapak pembinaan berkenaan.



Jobs Hospital In Abu Dhabi


Thailand tingkat ronda siber

Bangkok: Tentera Thailand mengukuhkan peranannya sebagai pelindung diraja dengan meningkatkan ‘rondaan siber’ bagi membasmi kritikan terhadap raja berikutan rampasan kuasa bulan lalu. 

Junta melumpuhkan mana-mana pembangkang yang mahu menggulingkan kerajaan dilantik, dengan mengenakan tindakan tegas terhadap penghinaan kepada kerabat diraja menerusi pemantauan yang dibuat di internet. 


“Membanteras penghinaan terhadap kerabat diraja adalah keutamaan kami,” kata Ketua bahagian pengawasan jenayah teknologi polis, Mejar Jeneral Phisit Pao-in kepada AFP. 

Seramai 20 anggota polis dikerah dalam 15 pasukan pemantau siber perkhidmatan awam, bagi membanteras penghinaan terhadap raja di internet. 

Tingkat pemantuan 

“Sejak rampasan, kami diminta untuk meningkatkan pemantauan dan fokus terhadap ancaman keselamatan negara,” kata Phisit. 

Di bawah peraturan kontroversi penghinaan raja, sesiapa yang disabitkan bersalah menghina Raja Bhumibol Adulyadej, permaisuri, kerabat atau waris mereka akan berhadapan dengan penjara sehingga 15 tahun bagi setiap kesalahan. 
Phisit berkata, pasukannya mahu berbincang dengan suspek untuk mengubah sikap mereka, manakala aktivis yang ‘keras kepala’ akan berhadapan dengan dakwaan. 

Bagi kebanyakan rakyat Thailand, menghormati raja, patriotisme dan taat kepada agama adalah amat berkait rapat di mana raja mendapat status paling mulia. 

Pengambilalihan tentera berlaku ketika negara itu berada di ambang terakhir pemerintahan raja berusia 86 tahun yang sudah memerintah lebih enam dekad. 

Perbincangan secara terbuka mengenai penggantinya adalah mustahil di Thailand kerana undang-undang anti penghinaan raja. 

Tetapi pewaris takhtanya, Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn belum mendapat sokongan popular yang sama taraf dengan bapanya yang mencatat sejarah sebagai raja yang paling lama memerintah di dunia. 



Guna laser tumbuh semula gigi

Washington: Saintis telah menemui kaedah baharu untuk membaiki kerosakan gigi. Konsep penggunaan cahaya laser untuk menarik sel-sel stem badan sendiri dikatakan mampu memberikan hasil terbaik dalam bidang pergigian.

Penyelidik menggunakan kuasa cahaya laser rendah menarik sel stem gigi untuk membentuk dentin iaitu tisu keras seperti tulang yang membentuk keseluruhan struktur gigi. Kajian itu membabitkan uji kaji menggunakan tikus dan sel manusia. 


Bukan seluruh gigi 
Ia akan menjadi kemajuan besar dalam bidang pergigian jika kita boleh tumbuhkan semula gigi dan bukan gantikannya” David Mooney, Profesor Kejuruteraan Bio Universiti Harvard

Bagaimanapun, mereka tidak menumbuhkan keseluruhan gigi kerana pada bahagian enamel ia amat sukar untuk dilakukan. 

Kaedah ini juga dikatakan mampu mengurangkan rawatan pada akar gigi, proses yang lebih menyakitkan untuk membuang saraf mati dan pembiakan bakteria daripada dalam gigi.

Penyelidik Institut Penyelidikan Pergigian dan Craniofacial Kebangsaan, sebahagian daripada Institut Kesihatan Amerika Syarikat, Praveen Arany, berkata sebagai seorang doktor gigi terlatih beliau berasakan kaedah baharu itu mampu memberikan kesan terbaik dalam industri klinikal pergigian.

“Kami berharap ujian klinikal manusia akan mendapat kelulusan dalam masa terdekat,” katanya. 
Profesor Kejuruteraan Bio Universiti Harvard, David Mooney, berkata, model rawatan mereka tidak memperkenalkan sesuatu yang baharu kepada badan dan laser adalah rutin yang digunakan dalam bidang perubatan dan pergigian, jadi halangan untuk terjemahan klinikal adalah rendah.

“Ia akan menjadi satu kemajuan besar dalam bidang pergigian jika kita boleh menumbuhkan semula gigi dan bukannya menggantikannya,” katanya. 

Menggunakan kaedah pertumbuhan semula yang sedia ada, ahli sains mesti mengambil sel stem dari badan, memanipulasi di makmal dan meletakkan ia kembali ke dalam badan. Ia satu teknik yang mudah merangsang sel yang sedia ada. 



Bieber berjaya pujuk bekas kekasih

Walaupun beberapa kali beliau bersikap curang dengan wanita lain, Justin Bieber nampaknya berjaya memenangi semula hati Selena Gomez. 

Pasangan penyanyi itu bukan saja dilaporkan kembali intim, bahkan masing-masing difahamkan sangat menyayangi antara satu sama lain. 


Sumber memberitahu HollywoodLife.com, baru-baru ini, Bieber, yang teruk ‘dibelasah’ peminat akibat penyiaran dua video yang menyaksikan dirinya menuturkan kata-kata berunsur perkauman, meminta belas ihsan Gomez saat dirinya berdepan saat menekankan itu. 

Khabarnya, Bieber benar-benar memerlukan wanita muda berkenaan di sisinya pada saat yang genting sebegitu. 

Bieber juga dilaporkan bijak bermain dengan kata-kata manis, hinggakan Gomez sanggup melupakan masalah silam mereka. 

Menurut sumber, Bieber memberitahu Gomez dirinya benar-benar merindui bekas kekasihnya itu, selain menyatakan gadis berkenaan satu-satunya insan yang amat memahami dirinya. 

Bahkan, Bieber juga dilaporkan berjaya meyakinkan Gomez untuk terbang ke Kanada bagi meraikan sambutan ulang tahun hari lahir bapanya, Jeremy Bieber, pada 7 dan 8 Jun lalu. 
“Kata Bieber, sambutan hari lahir bapanya takkan sempurna tanpa kehadiran Selena kerana gadis itu ialah sebahagian daripada keluarga mereka. Bieber juga memberitahu Selena, beliaulah satu-satunya rakan sejiwanya dan dirinya bagai kehilangan tanpa gadis terbabit di sisi. 

“Itulah kata-kata yang Selena ingin dengar selama ini, walaupun mungkin beliau pernah mendengarnya sebelum ini. Mereka saling gilakan antara satu sama lain,” kata sumber terbabit.



Gandingan baharu Hattan

Penyanyi Biso Bonar tak halang Adam ceburi bidang muzik, asalkan tidak abai pelajaran 

Peminat sedia maklum, lagu berjudul Gadis Jolobu yang menjadi siulan ramai ketika ini ialah nyanyian paduan suara antara Datuk Hattan dan artis rap yang kian mencipta nama, Waris. 


Begitupun, Hattan tidak risau sekiranya teman gandingannya itu tak mampu untuk menemaninya pada sesuatu acara. Kini, beliau mempunyai pilihan lain iaitu anak bujangnya sendiri, Adam Eiman, 16. 

Kemunculan mereka menghiburkan peminat pada program Mega Akhir Kilauan Emas 4 di Bukit Jalil baru-baru ini sememangnya menarik perhatian penonton. Bukan sekadar khalayak yang berada di Dewan Sri Putra, bahkan penonton di rumah juga membuka mata terhadap gandingan dua beranak ini.



Pekerja ladang ternakan edar ganja dihukum gantung

ALOR SETAR: Seorang pekerja ladang ternakan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah mengedar 1,997.24 gram ganja, dua tahun lepas. 

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhi hukuman itu terhadap Naim Muhammad Zaki, 27, setelah mendapati keterangan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. 


"Saya telah mempertimbangkan keterangan pembelaan dan mendapati ia tidak boleh dipercayai kerana ia direka untuk mengetepikan pertuduhan dan tidak menimbulkan apa-apa keraguan yang munasabah," katanya hari ini. 

Naim didakwa melakukan kesalahan itu di tepi warung laksa Mambo, Taman Sejahtera, Lunas di Kulim pada 5.15 petang, 14 Mac 2012. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 39 B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori. 

Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan, Salim Soib@Hamid dan tertuduh diwakili peguam Muhamad Asri Abdul Hamid. 

Piala Dunia: Ronaldo sudah cergas 100 peratus temu Jerman

SALVADOR: Cristiano Ronaldo menegaskan dia cergas 100 peratus dan bersedia membantu Portugal menamatkan rentetan kekalahan kepada Jerman dalam perlawanan penting Kumpulan G, awal pagi esok.

Penyerang berusia 29 tahun dan pemenang anugerah Ballon d’Or mengalami kecederaan di lutut baru-baru ini, tetapi dia dilihat kembali turun ke gelanggang menjalani sesi latihan terakhir di sini, semalam. 


“Saya sudah berlatih sejak beberapa hari lalu, yang mana saya tidak boleh lakukan jika saya cedera,” katanya. 

“Saya mahu berada pada tahap kecergasan 110 peratus, tapi saya sudah cergas 100 peratus dan bersedia untuk membantu pasukan kebangsaan.

“Jelas sekali, saya ingin bermain tanpa rasa sakit tetapi sepanjang kerjaya saya, saya sentiasa mengalami kecederaan namun saya bersedia untuk bermain,” katanya.



Konsert amal biaya kebajikan PERKEP dapat sambutan

JOHOR BAHRU: Konsert amal Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membiayai keperluan kebajikan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, malam tadi mendapat sambutan baik daripada orang ramai. 

Hasil kutipan konsert cetusan idea Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Iskandar itu antaranya akan disalurkan bagi membeli alat bantuan kurang upaya, sumbangan kepada keluarga polis yang meninggal dunia semasa bertugas dan yang menjadi mangsa bencana alam. 


Turut berangkat, Raja Zarith Sofiah dan turut hadir Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dan Pengerusi PERKEP Johor, Datin Bibi Zakiah Meraslam. 

Tunku Abdul Jalil menerusi mesej yang dipertontonkan kepada hadirin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk penaja kerana menyokong usaha mengumpul dana berkenaan. 

"Saya terkilan kerana tidak dapat hadir, namun, Alhamdulillah kerana sehingga kini kami telah berjaya meraih dana yang mencukupi bagi membantu anggota PERKEP yang memerlukan," kata beliau yang pernah berkhidmat dalam PDRM. 

Konsert lebih dua jam itu membariskan penyanyi termasuk Amy Search, Nash, Ziana Zain, Anuar Zain, Adira, Najwa Latiff dan Nomad dengan dihoskan Azlee Senario. 
Majlis turut bertafakur beberapa minit bagi mengenang perjuangan dan pengorbanan anggota PDRM dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah pada Februari 2013. 
Sementara itu, Mohd Mokhtar mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas keprihatian Tunku Abdul Jalil terhadap keluarga PDRM menerusi penganjuran konsert julung kali itu. 

"Terima kasih juga kepada seluruh masyarakat dan penderma kerana kami sememangnya memerlukan sokongan anda bagi membantu keluarga PDRM," katanya. 

Sasaran Malaysia layak Piala Dunia 2014 dikritik di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Sebahagian Ahli Parlimen hari ini mengkritik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang gagal menunaikan janjinya apabila sasaran pasukan negara untuk layak ke Piala Dunia 2014 tidak menjadi kenyataan. 

Perkara itu dibangkitkan Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar) yang mempersoalkan kemampuan pasukan bola sepak negara yang masih gagal mencapai sasaran berkenaan ketika pertandingan berprestij itu sedang berlangsung di Brazil. 


Menjawab pertanyaan itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata beliau tidak mempunyai jawapan tentang perkara itu kerana sasaran terbabit diletakkan oleh FAM yang sepatutnya bertanggungjawab menjadikannya sebagai kenyataan. 

Bagaimanapun, Khairy berkata, beliau yakin pasukan negara akan berupaya beraksi di Piala Dunia suatu masa nanti melalui program pembangunan bola sepak yang dilaksanakan kementeriannya, namun tidak mahu meletakkan sasaran khusus seperti FAM. 

"Saya bukan Presiden FAM dan tidak boleh menjawab perkara ini, cuma kita berharap melalui pelan pembangunan bola sepak yang dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kita akan layak ke Piala Dunia, namun tidak mahu meletakkan sasaran bila? Nanti saya kena jawab pula nanti, macam hari ini," katanya dalam persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini. 

Khairy berkata: "Melalui pelan pembagunan ini kita kena bermula semula dari awal. Kita sudah bincangkan sebelum ini saiz bukanlah halangan, contohnya pasukan kegemaran saya Argentina pagi tadi masih mampu mencipta kemenangan walaupun saiz pemainnya tidak begitu besar." 

Katanya, masalah yang dihadapi negara sehingga masih belum berupaya melayakkan diri ke Piala Dunia adalah disebabkan tidak memberi tumpuan kepada aspek pembangunan bola sepak. 
Malah beliau yang pernah menjadi Timbalan Presiden FAM menyedari bahawa peruntukan untuk tujuan pembangunan bola sepak cukup kecil, begitu juga persatuan negeri lebih memberi tumpuan kepada soal pembayaran gaji pemain senior. 

Sementara itu, menjawab mengenai pembangunan infrastrukrur sukan bagi tujuan Sukan Malaysia (SUKMA) yang berlangsung di Perlis baru-baru ini, beliau berkata ia tidak akan dijadikan gajah putih sebaliknya akan digunakan bagi pembangunan sukan khususnya melatih bakat baharu. 

Katanya, sehingga kini hanya Kelantan saja yang belum menganjurkan Sukma kerana negeri itu tidak pernah mengemukakan permohonan penganjuran sukan terbabit yang boleh dijadikan sebagai batu loncatan pembinaan infrastruktur sukan peringkat negeri. 

RM84.31 juta diagih kepada bekas tentera tidak berpencen

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM84.312 juta diagihkan kepada 77,737 bekas angota tentera yang tidak berpencen di seluruh negara melalui program Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini. 

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata jumlah itu juga meliputi pemberian sumbangan secara sekali bayaran sebanyak RM1,000 setiap seorang kepada 6,575 balu dan duda bekas tentera yang tidak berpencen. 


"Pemberian sumbangan ini adalah sebagai pengiktirafan dan penghargaan kerajaan ke atas jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan semasa berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara. 

"Sebahagian baki daripada peruntukan yang telah disediakan untuk tujuan ini yang tidak digunakan telah pun dipulangkan pada Kementerian Kewangan," katanya menjawab soalan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing) mengenai jumlah perbelanjaan bagi melaksanakan bantuan secara sekali bayaran kepada veteran ATM tidak berpencen. 

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut) mengenai cadangan menjadikan sumbangan itu sebagai bantuan tetap setiap tahun, Abdul Rahim berkata kerajaan sentiasa mengambil maklum mengenai perkara itu tetapi ia perlu mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan terlebih dahulu. 

Katanya, kerajaan sentiasa prihatin terhadap kepentingan golongan veteran ATM, antaranya dengan menubuhkan pelbagai agensi termasuklah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera. 

"Selain itu, kerajaan turut menyediakan pelbagai bantuan lain seperti bantuan kesihatan khususnya bantuan perubatan, bantuan pendidikan sekolah dan institusi pengajian tinggi (kepada anak bekas tentera), bantuan bencana alam, bantuan sara hidup dan perumahan khususnya kepada bekas tentera yang memiliki rumah yang daif," katanya. 

Rasuah: Bekas pemeriksa loji didenda lebih RM1.8 juta

MELAKA: Seorang bekas pemeriksa penyelenggaraan loji kimia hari ini dijatuhi hukuman denda lebih RM1.8 juta dan penjara berjumlah sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas lapan tuduhan rasuah dan 13 tuduhan pengubahan wang haram antara tahun 2006 hingga 2010. 

Hakim Ahmad Sazali Omar turut mengarahkan hukuman penjara ke atas T Gauthaman, 45, berjalan serentak, menjadikan tertuduh menjalani hukuman penjara empat tahun. 


Tertuduh boleh dipenjara lebih tujuh tahun lagi sekiranya gagal membayar denda tersebut. 

Ahmad Sazali turut membenarkan permohonan Gauthaman untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga proses rayuan di Mahkamah Tinggi selesai. 

Mahkamah juga menaikkan jumlah jaminan terhadap tertuduh daripada RM100,000 kepada RM130,000 dengan seorang penjamin. 

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Heikal Ismail daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork. 

Pada 28 Mei lalu, Ahmad Sazali menyabitkan Gauthaman atas lapan tuduhan rasuah dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan melampaui keraguan yang munasabah. 
Tertuduh didapati bersalah menerima suapan berjumlah RM341,922 daripada Ghang Min Goo sebagai upah bagi membantu Syarikat Soo Min Inc mendapatkan tawaran kerja membekal dan membaiki peralatan di BP Chemical (M) Sdn Bhd. 

Gauthaman juga disabitkan atas tuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dan menggunakan wang hasil aktiviti haram untuk membayar deposit membeli sebuah kereta dan polisi insurans hayat. 

Tertuduh melakukan semua kesalahan itu di Maybank dan HSBC Jalan Hang Tuah di sini dan Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad cawangan Melaka di Plaza Mahkota antara 3 Februari 2006 dan 6 Mei 2010.