Wednesday, 18 June 2014
Piala Dunia: Peminat menangis tidak dapat tanda tangan Messi
BELO HORIZONTE : Pihak keselamatan Brazil, hari ini menahan seorang lelaki kerana menyelinap masuk ke kem latihan pasukan Argentina gara-gara terlalu ghairah mahu mendapatkan tanda tangan penyerang negara itu, Lionel Messi.
Lelaki warga Brazil berusia 33 tahun itu dilihat melompat masuk ke padang ketika lebih 200 wartawan yang turut berada di lokasi sama sedang berkumpul untuk sidang akhbar pasukan itu di stadium Amerika berhampiran Belo Horizonte.
Minggu lalu, lelaki sama itu juga dilihat menerima kemeja-T daripada Messi selepas tamat kem latihan.
Lelaki itu memberitahu polis dia mahu mendapatkan baju yang ditandatangani dan turut dilihat menangis selepas pasukan keselamatan membawanya keluar.
Piala Dunia: Croatia nyala impian belasah Cameroon 4-0
MANAUS: Croatia menyalakan harapan untuk layak ke pusingan kedua Piala Dunia selepas membelasah Cameroon 4-0 dalam saingan Kumpulan A, awal pagi ini.
Cabaran mereka turut dibantu dengan kepincangan pihak lawan yang bermain dengan bekalan 10 pemain selepas Alex Song dilayangkan kad merah pada lewat babak pertama yang menyaksikan wakil Afrika tersingkir awal kali ini.
Ivica Olic meletakkan Croatia di hadapan pada minit ke-11 dan Ivan Perisic menyambar bola hasil kesilapan penjaga gol Cameroon, Charles Itandje untuk meluru meledakkan gol kedua pada minit ke-48.
Mario Mandzukic yang tidak dikawal menanduk masuk gol ketiga pada minit ke-61 dan menambah gol keempat pada minit ke-73.
Cameroon yang hanya memenangi satu perlawanan selepas lima kali membuat kemunculan dalam Piala Dunia bertambah perit selepas terpaksa bermain dengan bekalan 10 pemain.
Alex dilayangkan kad merah gara-gara menyiku Mandzukic di belakang dan juga tanpa Samuel Eto'o yang tercedera.
Brazil dan Mexico masing-masing sudah mengutip empat mata dari Kumpulan A dan kemenangan bagi Croatia ke atas Mexico, Isnin ini boleh bantu mereka mara ke kelompok 16 terakhir pada edisi kali ini.
Piala Dunia: Sepanyol sambung badi juara bertahan
RIO DE JANEIRO: Sepanyol menjadi negara keempat menyambung badi selaku juara bertahan yang tersingkir awal dalam sejarah kejohanan Piala Dunia setakat ini.
Apa pun, skuad yang dikenali dengan jolokan La Roja itu juga unik apabila muncul juara bertahan pertama tewas pada dua perlawanan awal secara berturut-turut.
Sebelum itu, tuan rumah edisi kali ini, Brazil pernah menerima nasib sama pada tahun 1966, disusuli Perancis pada 2002 serta Itali pada 2006.
Kekalahan 2-0 La Roja kepada Chile awal pagi tadi bermakna Sepanyol sah tidak akan mara ke peringkat kalah mati bermula 29 Jun ini, biarpun masih berbaki satu lagi perlawanan menentang Australia, Selasa depan.
Pada 1962, Brazil memenangi piala bola sepak paling berprestij itu untuk kali kedua selepas mengalahkan Czechoslovakia 3-1 di pentas final, namun mereka gagal meneruskan rentak sama pada saingan seterusnya di England.
Kegagalan itu antara lain berpunca daripada kecederaan yang dialami dua tonggaknya ketika itu, Pele dan Garrincha. Brazil diundi bersama Hungary dan Portugal.
Nasib malang Brazil itu kemudian diwarisi pasukan Perancis yang sebelum itu menang menewaskan Brazil pada final Piala Dunia 1998, berlangsung di Paris.
Senegal yang membuat penampilan sulung ketika itu berjaya melakukan kejutan pada aksi pembukaan Piala Dunia 2002, menewaskan The Les Bleus itu dengan jaringan tipis, 1-0.
Diundi dalam Kumpulan A, Perancis juga gagal memperoleh tiga mata penting selepas sekadar mencatat keputusan seri, 0-0 menentang Uruguay.
Lebih parah apabila penyerangnya, Thierry Henry dibuang padang selepas menerima kad merah sebelum pasukan itu menamatkan kempen Piala Dunia 2002 dengan kekalahan 2-0 kepada Denmark.
Itali, yang menjuarai Piala Dunia 2006 berkunjung ke Afrika Selatan yang menjadi tuan rumah ketika itu untuk mempertahankan gelaran dimilikinya pada 2002.
Biarpun diundi bersama pasukan bukan pilihan iaitu Paraguay, New Zealand dan Slovakia, Azzurri terkandas di peringkat kumpulan.
Mereka hanya mencatatkan seri, 1-1 menentang Paraguay dan New Zealand, sebelum dikalahkan Slovakia dengan jaringan 3-2.
Jackie Chan undang Cusack, Brody berlakon filem epik
Bintang Hollywood, John Cusack dan Adrien Brody, masing masing bakal membintangi filem perang epik berjudul Dragon Blade, terbitan Jackie Chan. Filem terbabit dianggarkan bernilai sekitar RM210 juta.
Sudah pun menamatkan penggambarannya di Hengdian World Studio, filem itu akan memulakan penggambaran seterusnya di bandar bersejarah di China iaitu Dunhuang dan Padang Pasir Gobi.
Ia disahkan sendiri oleh Chan ketika wartawan menemuinya pada Festival Filem Antarabangsa Shanghai, baru-baru ini.
Filem arahan Daniel Lee itu ialah inspirasi daripada kisah sejarah kehilangan sekumpulan askar Rom yang mengembara ke China sekitar abad ke-48 sebelum Masihi.
“Saya benar-benar teruja untuk berada dalam filem yang akan dilakonkan oleh dua bintang paling dihormati hari ini. Ia memberi saya keyakinan selepas sekian lama kami memperuntukkan masa dan kewangan untuk membuat kajian di samping menghasilkan skrip.
“Ia adalah untuk membangunkan industri bertaraf dunia,” katanya.
Filem berkenaan turut dibintangi pelakon dari Korea Selatan, Choi Si-Won yang juga ahli kumpulan Super Junior.
Dalam filem berkenaan, Cusack akan memainkan watak sebagai Lucius, iaitu Jeneral yang menerajui sekumpulan 1,000 askar Rom menuju ke Dinasti Han di China.
Brody pula melakonkan watak Tiberius yang membunuh pegawai Rom dan mengejar Lucius bersama pasukannya. Manakala Chan melakonkan watak komander yang bekerjasama dengan Lucius bagi melindungi sempadan dan kedaulatan China.
PETRONAS pindahkan 28 pekerja ke Dubai
Kuala Lumpur: PETRONAS menukarkan 28 daripada 166 pekerjanya di Iraq ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) berikutan keadaan keselamatan di negara itu sekarang.
Dalam satu kenyataan semalam, syarikat minyak nasional itu berkata, daripada 28 pekerja itu 18 adalah warga Malaysia.
Bagaimanapun, seramai 95 pekerja yang dikategorikan sebagai kakitangan kritikal masih berada di Iraq untuk menguruskan operasi dan semuanya berada dalam keadaan selamat.
Dalam proses ditukar
“Pekerja yang masih tinggal sedang dalam proses untuk ditukarkan,” kata kenyataan itu.
PETRONAS berkata, syarikat berkenaan sedang memantau situasi berkenaan dengan teliti, serta sentiasa berhubungan dengan Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Malaysia di Jordan.
Sedia hadapi kemungkinan
Ia juga sudah mengenal pasti usaha mengurangkan kesannya dan bersedia mengambil segala langkah yang perlu sekiranya keadaan bertambah buruk.
PETRONAS mempunyai kepentingan dalam empat medan minyak di Iraq iaitu Garraf, Majnoon, Badra dan Halfaya di bahagian selatan dan timur Iraq.
SIAPA PULANG AWAL?
Aksi kedua Uruguay, England jadi penentu pasukan mana terpaksa ucap selamat tinggal
Sao Paulo: Sama ada Uruguay atau England, pasukan yang kalah ketika aksi di Arena de Sao Paulo, awal pagi esok, terpaksa mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada Brazil.
Ini kerana aksi kedua bagi Uruguay dan England dalam Kumpulan D itu menjadi penentu pasukan mana pulang awal kerana sebelum ini mereka tewas pada perlawanan pertama masing-masing.
Uruguay dimalukan Costa Rica 1-3, manakala England yang mempamerkan prestasi bagus, tewas kepada Itali 1-2, Ahad lalu.
Jurulatih England, Roy Hodgson memperjudikan nasibnya apabila tetap menyenarai Wayne Rooney yang masih ketandusan gol sebagai penyerang utama manakala jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez membuat perubahan dengan menurunkan empat pemain baru termasuk kemungkinan Luis Suarez pada perlawanan hidup mati itu.
ADVERTORIAL: Transformers kembali selamatkan bumi
Sudah empat tahun selepas kejadian ‘Transformers: Dark of the Moon’, di mana Bandaraya Chicago hampir musnah dalam pertarungan epik antara Optimus Prime, Megatron dan Sentinel Prime, keadaan bumi beransur pulih seperti sedia-kala.
Namun manusia tidak lagi mempercayai Transformers.
Di bawah arahan seorang pegawai kerajaan, Harold Attinger, pihak tentera ditugaskan untuk memusnahkan semua Transformers, baik Autobots mahupun Deceptions.
Ekoran itu, Autobots termasuk Optimus Prime dan Bumblebee telah mengambil langkah menyembunyikan diri.
Namun ‘kehilangan’ mereka dari mata dunia tidak lama apabila seorang mekanik, Cade Yeager membeli sebuah trak berkarat dengan tujuan menjual bahagiannya untuk mengumpul duit bagi membayar yuran kolej anaknya, Tessa.
Apabila mereka mendapati trak berkenaan sebenarnya ketua Autobot, Optimus Prime, tanpa disangka mereka mengundang kehadiran kerajaan, Autobots dan Decepticons ke dalam hidup mereka.
Pada masa yang sama, sekumpulan saintis di bawah kelolaan seorang ahli perniagaan telah mencipta Transformers mereka sendiri tetapi robot-robot ini telah berpaling menentang mereka.
Kini, Cade, Tessa serta teman lelakinya, Shane dan Optimus harus bergabung tenaga dengan Autubots yang tinggal dan bersemuka pihak Decepticons, tak lupa juga spesies Transformers baru, bagi menyelamatkan Bumi.
Masih mengekalkan Michael Bay di kerusi pengarah, ‘Transformers: Age of Extinction’ dibintangi barisan pelakon baru termasuk Mark Wahlberg, Stanley Tucci, Nicola Peltz, Kelsey Grammer, Jack Reynor, Sophia Myles dan Li Bingbing.
Watak-watak Transformers seperti Optimus Prime, Bumblebee, Ratchet dan Brains turut kembali. Siri terbaharu dalam francais Transformers ini juga melihat penampilan Dinobots.
Buat yang tidak tahu, Dinobots adalah sekumpulan Transformers, sebahagian dari puak Autobot.
‘Transformers: Age of Extinction’ akan berada di pawagam bermula 26 Jun ini.
YB DAP, 15 PENYOKONG UMNO KENA DAKWA
18 lagi turut didakwa hasut, ceroboh DUN Pulau Pinang
Putrajaya: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima dari DAP, Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji atau RSN Rayer, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abd Rahman dan dua individu lagi akan didakwa mengikut Akta Hasutan 1948, hari ini.
Selain itu, bekas Ketua UMNO Bayan Baru, Datuk Mohd Ridzwan Bakar dan 14 lagi termasuk seorang masih bebas akan didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang bagi kesalahan menceroboh masuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 21 Mei lalu.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, dalam kenyataannya semalam, berkata keputusan melakukan pendakwaan itu dibuat selepas mempertimbangkan undang-undang dan fakta berhubung kejadian terbabit serta keterangan yang ada.
Piala Dunia: Rooney dicabar bantu England atasi Uruguay
SAO PAULO : Penyerang Manchester United, Wayne Rooney harus bangkit menjelmakan prestasi sebenar apabila bertembung Uruguay, awal pagi esok bagi mengelakkan dirinya terus menjadi mangsa kritikan penyokong sendiri.
Ia berikutan kegagalan memastikan kemenangan skuad The Three Lions itu pada aksi pertama kempen Piala Dunia bagi Kumpulan D, selepas tewas kepada Itali 2-1 di Manaus, Sabtu lalu.
Kemenangan ke atas Uruguay pimpinan Luiz Suarez di Sao Paulo nanti penting bagi membuka peluang juara Piala Dunia 1966 itu untuk beraksi di pusingan kedua bermula 29 Jun ini.
Berdepan pasukan Amerika Selatan itu ternyata bukan mudah apa lagi dengan kelibat penyerang berbisa Uruguay itu yang bermain untuk Liverpool itu bakal diturunkan selepas dilaporkan sudah cergas sepenuhnya daripada kecederaan.
Biarpun dikritik, jurulatihnya, Hodgson Roy tetap optimis dengan keupayaan dimiliki Rooney dan memberi jaminan pemain berusia 28 tahun itu akan tetap diturunkan semula.
“Kami mempunyai perspektif yang sangat jelas mengenai apa yang Rooney mampu lakukan.
“Kami masih berharap sesuatu yang luar biasa daripada dia,” katanya ketika ditemubual BBC hari ini.
Piala Dunia: Tamparan buat Belanda tanpa van Persie temu Chile
PORTO ALEGRE: Selepas menjaringkan tiga gol untuk Belanda daripada dua perlawanan pertama Piala Dunia, Robin van Persie akan digantung satu perlawanan selepas mengutip kad kuning kedua ketika menewaskan Australia 3-2 dalam aksi Kumpulan B, awal pagi ini.
Ini bererti bintang Manchester United itu akan tersisih apabila pasukan bergelar Oranje itu menentang Chile pada 23 Jun ini yang bakal menentukan sama ada mereka bakal muncul juara kumpulan.
Tanpanya, nama Arjen Robben disebut-sebut sebagai calon pengganti terbaik kerana sudah menjelmakan aksi menakjubkan untuk Belanda setakat ini.
Namun, pada hakikatnya Belanda pasti bergelut tanpa sentuhan Van Persie - antara bintang yang tersohor dalam kancah Piala Dunia kali ini.
“Piala Dunia adalah kejohanan terhebat dalam dunia dengan semua pemain terbaik dan ia pasti sukar. Menentang Australia memang amat sukar sekali dan begitu juga perlawanan berikut,” kata Van Persie.
Dalam perlawanan itu, pemain tonggak Australia, Tim Cahill juga dilayangkan kad kuning kedua tapi ia tidak akan banyak mengubah nasib mereka kerana wakil Asia itu sudah tersingkir selepas menempah dua kekalahan berturut-turut.
Pemain berusia 34 tahun itu juga dilabel berjaya menjaringkan antara gol tercantik dalam sejarah Piala Dunia apabila rembatan menakjubkan pada babak pertama berjaya menyamakan kedudukan ketika menentang Belanda.
“Saya rasa tepat dalam rembatan dan saya meledak masuk dengan baik sekali,” katanya.
Bantu Gen- Y sertai pasaran modal
Bursa Malaysia mengharapkan bantuan pelabur komuniti bagi melonjakkan penyertaan Generasi Y (Gen-Y), golongan yang lahir pada 1980-an dan awal 1990-an, dalam pasaran modal.
"Kami mempunyai cabaran yang saya mahu dapatkan bantuan anda untuk membantu memulihkan (ini).
"Kebanyakan golongan belia, Gen-Y Malaysia, tidak menyertai pasaran, sama ada sebagai pelabur atau pilihan kerjaya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Tajuddin Atan dalam ucaptamanya pada Anugerah Perhubungan Pelabur (IR) Malaysia Ke-4, di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata, setakat ini bursa telah menyediakan beberapa inisiatif untuk membabitkan generasi muda dan mencetuskan minat mereka dalam pasaran modal.
Pada April tahun ini, ia memperkenalkan Bursa Marketplace, destinasi dalam talian dan komuniti bagi pelabur runcit untuk memperoleh maklumat tepat serta objektif tentang pasaran.
Bursa itu juga melancarkan Bursa Malaysia Fantasy Football Trader Challenge minggu lalu bagi membolehkan pelabur mengguna pemain Piala Dunia, untuk memahami dengan lebih baik penggunaan perkakas pelabur serta peniaga.
Tajuddin berkata, Malaysia memiliki bilangan kedua tertinggi peserta baharu menyertai bidang pekerjaan di dunia dalam kalangan pasaran global utama.
Beliau percaya hanya dengan penyertaan generasi muda, kemapanan jangka panjang pasaran dapat dicapai.
"Kami ingin mempelawa anda menjadi sebahagian daripada usaha ini untuk mendidik dan membangunkan pengetahuan Gen-Y beralih daripada menabung bagi masa depan, kepada melabur bagi masa depan," katanya.
Terdahulu, Tajuddin berkata, amalan terbaik IR boleh menyumbang kepada saham sesebuah syarikat mencapai nilai adil.
"Pengiktirafan yang akan diberikan kepada syarikat dan IR hari ini akan meningkatkan lagi kepentingan IR dalam operasi sesebuah syarikat," katanya.
MALAYSIA TANGGA KE-19 NEGARA PALING MESRA PELABUR
Mendahului negara maju lain apabila melonjak daripada kedudukan ke-24
MALAYSIA muncul antara 20 negara paling mesra pelabur di dunia bagi tempoh antara 2014 hingga 2018, demikian mengikut Ranking Persekitaran Perniagaan (BER) terkini yang dikeluarkan oleh unit penyelidikan majalah ekonomi antarabangsa, The Economist Intelligence Unit (EUI).
Laporan yang diterbitkan bulan lalu itu meletakkan Malaysia di kedudukan ke-19 daripada 82 negara sebagai tempat terbaik untuk menjalankan perniagaan.
Malaysia mendahului beberapa negara maju lain di dunia seperti United Kingdom, Perancis, Korea Selatan dan Jepun, mencatatkan peningkatan apabila melonjak lima tempat berbanding kedudukan ke-24 bagi tempoh 2009 hingga 2013.
Mueller bagaikan tak percaya
Pemain Terbaik: Jerman mudah belasah Portugal dalam aksi pembukaan Kumpulan G
Salvador: Thomas Mueller dan rakan sepasukannya yang lain seolah tidak percaya ketika melihat papan mata yang terpapar Jerman sedang mendahului Portugal 2-0 ketika permainan baru berlangsung 32 minit, awal pagi semalam.
Penyerang Jerman itu meledak hatrik termasuk satu daripadanya menerusi sepakan penalti untuk kemenangan 4-0 ke atas Portugal selain turut terbabit dalam insiden yang menyebabkan Pepe dilayangkan kad merah pada minit ke-37.
“Kami melihat ke atas (papan mata) dan berasa cukup teruja. Apa pun masih banyak perlawanan perlu diharungi dan ternyata cuaca cukup panas sepanjang perlawanan,” kata Mueller yang beraksi bersama Bayern Munich.
Pepe berang
Suasana menjadi lebih panas apabila Mueller mendakwa Pepe pada mulanya menampar mukanya ketika perebutan bola dan kemudian ketika dia terduduk, pemain pertahanan Portugal itu datang untuk ‘menanduk’ kepalanya lalu dilayangkan kad merah oleh pengadil.
Namun Pepe berang kerana menganggap Mueller sengaja ‘berlakon’ selepas dihantuk kepalanya.
“Saya mahu melihat semula insiden itu di televisyen. Saya hanya harap saya kelihatan okey. Saya rasa sakit selepas tamparan pertamanya itu tetapi apa berlaku selepas itu saya tak berapa ingat, sama ada kepala bertembung kepala atau tidak.
“Saya tidak berniat nak menipu. Saya pun tak pasti bagaimana saya keluar daripada insiden itu,” kata Mueller.
Pemenang Kasut Emas Piala Dunia 2010 itu turut mengakui langsung tidak berniat untuk mencetuskan perbalahan dengan Pepe dan insiden itu tidak akan membuatkannya gentar untuk berdepan mana-mana pemain pertahanan lawan selepas ini.
“Saya sudah berpengalaman dengan banyak perlawanan antarabangsa sepanjang empat tahun lalu dan saya bukan seorang yang akan cepat berasa takut,” jelas Mueller yang genap berusia 25 tahun pada 13 September ini.
Thomas Müller
Tarikh lahir: 13 September 1989
Asal: Weilheim, Jerman Barat
Tinggi: 1.86m
Posisi: Penyerang/pemain tengah
Kelab: Bayern Munich
Pasukan kebangsaan: Sejak 2010
Penampilan: 50 kali
Jaringan: 20
HIDUP MATI LA ROJA
Del Bosque tetap enggan menekan butang panik dan berusaha persiapkan pasukan temu Chile, awal pagi esok
Rio de Janeiro: Aksi Sepanyol dengan Chile pada perlawanan kedua Kumpulan B di Stadium Maracana, awal pagi esok, umpama pertembungan ‘hidup mati’ buat juara bertahan itu, tetapi jurulatihnya, Vicente del Bosque tetap enggan menekan butang panik.
Pengendali yang juga arkitek merencanakan kejuaraan Piala Dunia 2010 dan Euro 2012 buat Sepanyol mengakui selepas kalah 1-5 kepada Belanda pada perlawanan pertama, pasukannya berdepan cabaran besar untuk memenangi baki dua aksi seterusnya termasuk dengan Chile.
Prestasi sekolah meningkat
PEMBENTANGAN LAPORAN TAHUNAN 2013 PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (PPPM) 2013-2025: Dua belas inisiatif utama catat kejayaan memuaskan
Putrajaya: Dua belas inisiatif utama di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang diberi tumpuan oleh Kementerian Pendidikan sepanjang tahun lalu, mencatat pencapaian memberangsangkan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ada di antara keseluruhan 25 inisiatif di bawah PPPM yang diberi tumpuan oleh kementerian itu sepanjang tahun lalu, turut mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.
Ketika membentangkan laporan tahunan 2013 PPPM, di sini semalam, beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, walaupun pelan itu dilancarkan secara rasmi pada 6 September tahun 2013, pelaksanaan beberapa inisiatif sudah dimulakan pada awal tahun berkenaan lagi.
Tak boleh merokok di R&R lebuh raya
Larangan di kawasan berbumbung berkuat kuasa akhir tahun
Ipoh: Kawasan berbumbung dan tertutup di sekitar kawasan Rehat dan Rawat (R&R) semua lebuh raya diwartakan sebagai kawasan larangan merokok mulai akhir tahun ini.
Pewartaan juga membabitkan kawasan lingkungan 300 meter dan R&R kecuali kawasan meletak lori dan kenderaan berat.
Kawasan berbumbung membabitkan kawasan makan, tandas, gerai jualan, riadah serta laluan pejalan kaki berbumbung di semua lebuh raya.
Piala Dunia: Scolari kecewa Brazil gagal kutip tiga mata dan layak awal
FORTALEZA: Brazil yang terlalu menaruh harapan ke atas kelibat Neymar mengemudi kemenangan mereka kini terpaksa akur apabila hanya mampu seri 0-0 dengan Mexico dalam saingan Kumpulan A di Stadium Arena Castelao di Fortaleza, awal pagi tadi.
Ini bererti anak didik Luiz Felipe Scolari harus mencari mata pada perlawanan terakhir kumpulan mereka menentang Cameroon pada 24 Jun ini, begitu juga Mexico yang menentang Croatia.
“Ada peluang untuk kami cuba cari kemenangan tapi ia sukar,” kata Scolari.
“Ini bukan satu keputusan baik kerana kemenangan boleh bantu kami layak. Sekarang kami harus hormat pasukan lain.”
Scolari juga seperti tidak mahu menyalahkan cara permainan Brazil mereka apabila berkata itulah apa yang mereka lakukan sejak 20 perlawanan lalu.
“Kami berdepan pasukan yang baik dan kami harus mengerti hakikat itu,” katanya.
Brazil mengilhamkan segala-galanya dalam perlawanan ini tapi gagal menembusi benteng Mexico yang degil, tambahan kehebatan penjaga gol lawan, Guillermo Ochoa kali ini.
Paulinho dan Neymar nyaris membocori gawang lawan tetapi usaha masing-masing dinafikan Ochoa yang turut menepis tandukan padu Thiago Silva pada minit-minit terakhir permainan.
Ini adalah kali pertama Mexico seri dengan Brazil dalam Piala Dunia. Tiga pertemuan lalu berakhir dengan kemenangan untuk Brazil (5-0, 4-0 dan 2-0).
Guru pondok, guru pondok antara 1,000 terima tajaan haji
PUTRAJAYA: Seramai 1,000 jemaah termasuk dua Tok Batin dan lapan guru pondok hari ini menerima surat tawaran menunaikan fardu haji 2014/1435H di bawah Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) 2014/1435H.
Majlis penyerahan surat tawaran disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.
Selain tajaan haji, mereka turut menerima wang saku RM1,000 setiap seorang, kain pasang, kain pelekat dan kurma.
Dalam ucapannya, Najib berkata program tersebut adalah bagi menghargai jasa imam dan pengerusi jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK) di seluruh negara yang dianggap tidak ternilai.
"Tuan-tuan banyak jasa dan khidmatnya. Bukan senang jadi imam. Peranan imam dan ketua kampung besar dalam masyarakat kita. Kedua-dua institusi ini saya anggap amat penting sebagai teras kesejahteraan sosial dalam negara," katanya.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hassan Malek, Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Najib berkata program itu juga akan diteruskan pada masa akan datang, dengan kemungkinan memberi peluang kepada bilal dan tok siak di seluruh negara.
"Insya-Allah kalau ada rezeki kita akan teruskan pada masa akan datang. Mungkin kita akan cari bilal dan tok siak pula supaya yang lain dapat merasai nikmat menunaikan rukun Islam kelima," katanya.
Najib berkata kemakmuran negara hasil pengurusan yang baik oleh kerajaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia akan dipulangkan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk termasuk program-program seperti ini.
"Saya amat berharap tuan-tuan menunaikan ibadat haji dengan penuh ketertiban dan disiplin. Jagalah nama baik negara jangan lupa doakan untuk negara aman, makmur dan kesejahteraan kita bersama," katanya.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyempurnakan pelancaran program Ramadan Al-Mubarak peringkat nasional serta pengagihan kurma dan air zam zam di masjid seluruh negara.
IPG Kota Bahru dipilih pusat latih guru untuk Sekolah Dalam Hospital - Muhyiddin
SELAYANG: Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu, Kelantan dipilih sebagai pusat latihan khusus pada masa akan datang bagi melatih guru-guru sebelum mereka ditempatkan di Sekolah Dalam Hospital (SDH) di hospital terpilih seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan Kementerian Pendidikan membuat perancangan lebih tersusun dan komprehensif untuk melatih guru-guru dengan kemahiran khusus bagi tujuan penempatan di SDH.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, IPG berkenaan pada masa ini sememangnya sudah sedia menjalinkan kerjasama dengan bantuan tenaga pakar daripada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan dalam aspek latihan guru SDH.
"Kurang daripada tiga tahun sejak dilancarkan pada Julai 2011, kita sudah mempunyai 10 SDH membabitkan tiga fasa berbeza dan pada fasa empat pula, kita merancang untuk menambah tiga lagi SDH di Negeri Sembilan, Sabah serta Sarawak.
"Setakat ini, kita mempunyai seramai 80 tenaga pengajar dan 18 orang kakitangan pembantu pengurusan yang sedang berkhidmat di 10 SDH berkenaan," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian SDH Fasa Dua dan Tiga di Hospital Selayang, di sini, sebentar tadi.
ASNB umum dividen 6.60 sen seunit bagi ASD
KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.60 sen seunit untuk Amanah Saham Didik (ASD) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2014.
Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata kadar pengagihan penapatan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM317.46 juta, peningkatan 4.5 peratus berbanding RM303.73 juta yang dibayar tahun lalu.
Sehingga 16 Jun 2014, tabung ASD memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM437.94 juta.
Keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM255.14 juta atau 58.3 peratus, manakala pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM129.82 juta atau 29.6 peratus.
5 mayat tragedi bot karam ditemui di Kuala Langat
SHAH ALAM: Sehingga jam 3 petang, lima mayat mangsa bot karam di perairan Kuala Langat ditemui manakala 32 lagi masih hilang.