KUALA LUMPUR: Keadaan trafik di ibu kota khususnya di Jalan Hang Tuah dan Jalan Imbi dijangka sesak petang ini, susulan kejadian tanah mendap di simpang empat Jalan Imbi, pagi tadi.
Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berkata akibat kejadian itu, laluan kedua-dua arah di Jalan Hang Tuah dan Jalan Imbi ditutup dan aliran trafik dari Jalan Hang Tuah ke Jalan Imbi dilencong ke Jalan Pudu.
Setakat ini keadaan trafik bergerak perlahan dan masih terkawal, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.
Sementara itu, jurucakap Trafik Polis Kuala Lumpur berkata laluan di kawasan berkenaan kini dikawal oleh polis trafik.
Dalam kejadian 9.30 pagi tadi, sebahagian struktur terowong bawah tanah seliaan DBKL di simpang empat Jalan Imbi runtuh sedalam lima meter selepas berlaku mendapan tanah dipercayai berpunca daripada paip air bawah tanah yang pecah.
Wednesday, 2 July 2014
Jalan mendap: Trafik di Jalan Imbi perlahan namun terkawal - DBKL
Perunding bergelar ‘Datuk’ didakwa guna dokumen palsu jual beli tanah
SHAH ALAM: Seorang perunding bergelar 'Datuk' hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menggunakan dua dokumen palsu dalam urusan jual beli tanah di kawasan Dengkil, Sepang, pada Mac lalu.
Ariffin Ab Hamid, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim G Ramesh.
Lelaki itu didakwa bersama-sama seorang bekas juruukur Jabatan Tanah dan Galian Selangor, Mohamad Yaacob Markom, 55, menggunakan dua dokumen palsu sebagai cagaran berharga iaitu surat kuasa wakil dan perjanjian jual beli antara Prestasi Tulin Sdn Bhd dan Sunshine Haven Sdn Bhd dengan tujuan memindahkan hak milik hartanah terbabit kepada Sunshine Haven.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di pejabat Tetuan Abdul Aziz & Associates beralamat di No: 68A, Jalan Nova U5/N, Nova Business Centre, Subang Bestari di sini, kira-kira jam 11.30 pagi pada 7 Mac lalu.
Jika sabit kesalahan, Ariffin boleh dihukum mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.
Di mahkamah sama pada 11 Jun lalu, Mohamad Yaacob turut mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.
Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Ariffin berikutan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan itu adalah kesalahan yang tidak boleh diikat jamin.
Bagaimanapun, peguam Khadzar Yusof yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan jumlah jaminan yang berpatutan atas alasan tertuduh memberi kerjasama baik kepada polis sepanjang siasatan.
"Tertuduh juga menyerah diri sukarela di Balai Polis Sepang hari ini bila dipanggil oleh pegawai penyiasat. Anak guam saya tidak bercadang untuk melarikan diri dan tambahan pula seorang lagi tertuduh (Mohamad Yaacob) dibenarkan diikat jamin sebelum ini," katanya.
Hakim Ramesh kemudian membenarkan Ariffin dibebaskan dengan jaminan RM13,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 8 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di Balai Polis Seksyen 15 di sini pada hari Ahad ketiga setiap bulan sehingga kes selesai.