Interaksi dengan peminat secara langsung dan kecanggihan aplikasi yang mampu mengubah penampilan menjadi lebih cantik serta tampan, mendorong selebriti tempatan merakamkan aksi selfie.
Ramai artis tempatan yang dihubungi HIP, mengakui sering melakukan selfie kerana menganggap ia kaedah paling mudah dan berkesan untuk berinteraksi dengan peminat.
Melalui reaksi diterima, amalan selfie menjadi satu keseronokan dan cara paling mudah menarik perhatian peminat bagi artis muda atau pendatang baharu dunia seni.
Namun, bagi artis senior, mereka lebih berhati-hati ketika merakamkan aksi selfie atau berkongsi maklumat di laman sosial bagi mengelak kontroversi atau tohmahan peminat.
Thursday, 19 June 2014
Selfie kerana peminat
Hukum mati kerana bunuh pegawai perancang keluarga
Beijing: China semalam menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang lelaki kerana membunuh dua pegawai perancang keluarga, lapor media, dalam kes yang menonjolkan ketegangan disebabkan had kelahiran negara itu.
Mahkamah di wilayah Guangxi mendapati He Shenguo bersalah menikam kedua-dua mangsa sehingga mati di bandar raya Dongxing, Julai lalu, menurut penyiar CCTV.
“Beliau menjadi bapa kepada anak keempat secara tidak sah,” lapor penyiar itu.
China mengehadkan pasangan cuma mempunyai seorang anak menurut peraturan yang diperkenalkan pada lewat tahun 1970-an.
Guna permit, denda
Pihak berkuasa menggunakan permit, denda dan dalam sesetengah kes memaksa pemandulan dan pengguguran saat akhir untuk menguatkuasa undang-undang, kadang-kadang secara kejam, terutama di kawasan miskin seperti Guangxi.
Beliau tidak membayar denda yang dikenakan terhadapnya kerana memiliki anak lebih, menurut laporan tahun lalu, sambil menambah bahawa beberapa orang cedera dalam serangan itu.
China berkata, peraturan itu, dikenali sebagai dasar satu anak, mengatasi masalah kekurangan makanan dan meletakkan asas bagi perkembangan ekonomi negara itu.
Pengkritik menegaskan peraturan berkenaan menyumbang kepada ketidakseimbangan jantina di China, dengan hampir 118 kanak-kanak lelaki dilahirkan untuk 100 perempuan pada 2012.
Parti Komunis November lalu berkata pasangan dibenarkan memiliki dua anak jika salah seorang ibu bapa adalah anak tunggal.
Pengkritik menyifatkan ia tidak cukup untuk menangani masalah demografik yang semakin meningkat di China, termasuk penduduk warga tua, kerana tidak ramai pasangan layak mendapat pengecualian itu.
Sebelum ini China melaksanakan polisi bertujuan mengurangkan populasi penduduk (yang kini berjumlah lebih 1.3 bilion orang).
Bagaimanapun, polisi satu anak ini dikecualikan di Hong Kong, Macau dan Tibet selain ke atas pasangan yang hidup di kawasan pedalaman dan pasangan dari kalangan etnik minoriti.
Pasangan yang tinggal di kawasan pedalaman diberi kelonggaran untuk memiliki anak kedua jika anak pertama adalah perempuan.
Sijil sakit untuk dijual
Beijing: Perbezaan waktu selama 11 jam antara China dan Brazil memberi peluang lumayan kepada beberapa peniaga yang cuba mencari keuntungan di China dengan menjual sijil sakit palsu kepada peminat bola sepak yang berjaga sepanjang malam untuk menonton Piala Dunia.
Satu carian di internet oleh AFP bagi ‘Beijing’ dan ‘khidmat sijil sakit’ menghasilkan 49,500 keputusan menerusi enjin pencarian Baidu kelmarin di mana penjual menyediakan salinan sijil sakit hospital dengan cap rasmi dan tandatangan doktor dalam ‘katalog produk’ mereka. Dokumen berkenaan mudah didapati di China di mana rasuah adalah biasa dan pelbagai jenis barangan palsu dijual.
Bagaimanapun platform internet dari pelanggan kepada pelanggan yang terbesar di negara itu, Taobao melarang pencarian ‘Piala Dunia’ dan ‘sijil sakit’ selepas kebanjiran tawaran sijil sakit itu sejak beberapa hari lalu, lapor Beijing Youth Daily minggu ini.
Amat dipercayai
Peniaga bagaimanapun meneruskan perniagaan mereka menerusi Sina Weibo yang sama seperti Twitter dan halaman rangkaian sosial lain.
“Piala Dunia kembali dan perbezaan masa yang besar boleh menjejaskan peminat bola sepak China menonton semua perlawanan. Saya dengan itu melancarkan khidmat penyediaan sijil sakit untuk memenuhi permintaan,” kata seorang pengguna di internet.
Piala Dunia: Hanya keajaiban mungkin bantu England layak pusingan kedua
SAO PAULO: Impian England dalam Piala Dunia boleh dikatakan berakhir selepas Luis Suarez menjadi wira Uruguay menewaskannya 2-1 di Sao Paulo, awal pagi tadi.
Penjaring utama Liverpool itu meledakkan dua gol di Stadium Corinthians Arena walaupun Wayne Rooney berjaya menjaringkan gol sulungnya dalam kancah Piala Dunia kali ini.
Keputusan itu menyaksikan England tidak mengumpul sebarang mata selepas tewas 1-2 kepada Itali dalam perlawanan pertama. Namun, England masih mempunyai harapan tipis untuk ke pusingan kalah mati - tetapi mengharapkan ehsan Itali.
England berharap Itali menang ketika berdepan Costa Rica malam ini dan Uruguay minggu depan. Jika berlaku sebaliknya, England tidak mampu menyaingi mata yang dipungut oleh Uruguay dan Costa Rica.
Bagaimanapun, England masih perlu menundukkan Costa Rica dengan jaringan gol yang besar di samping berharap menduduki tangga kedua dalam kumpulan D berdasarkan perbezaan gol.
JAKIM mahu kuasa penuh Akta Halal
Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yakin pemantauan dan penguatkuasaan pensijilan halal di negara ini akan lebih berkesan apabila agensi itu diberi kuasa penuh melalui Akta Halal yang bakal digubal tidak lama lagi.
Pengenalan akta itu nanti bukan bermakna Akta Perihal Dagangan yang ada kini tidak berkesan, sebaliknya ia memperkemaskan lagi peranan JAKIM dalam memantau dan menguatkuasakan undang-undang melalui enakmen baharu.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, berkata draf akta itu sudah digubal oleh jawatankuasa khas yang dilantik jabatan berkenaan sebelum dikemukakan kepada Kabinet.
Dapat sijil terlebih dulu “Akta Halal akan memastikan semua produk yang masuk negara ini mendapat pensijilan halal terlebih dulu, bukan saja makanan, produk farmasi atau kosmetik, tetapi diperluaskan lagi.
Sekarang kita hanya guna Akta Perihal Dagangan yang memperuntukkan denda sehingga RM5 juta jika sabit kesalahan, tapi melalui akta baharu nanti, dendanya lebih tinggi.
5 hari lulus permit kerja
Putrajaya: Proses kelulusan permit pekerjaan bagi pegawai dagang asing dipendekkan kepada lima hari bekerja bermula semalam, berbanding lebih sebulan sebelum ini, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri menjelaskan, proses itu dapat dipercepatkan melalui kewujudan Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat (ESD), Jabatan Imigresen, yang akan menjadi pusat sehenti untuk pegawai dagang berurusan secara atas talian.
“Melalui proses yang baharu diperkenalkan ini, pelabur dan perniagaan utama di negara ini akan menikmati kemudahan yang ditambah baik bagi urusan kelulusan permit pekerjaan. Sebelum ini, syarikat perlu menunggu lebih sebulan untuk mendapatkan kelulusan permit pekerjaan.
“Jabatan Imigresen komited untuk melaksanakan proses terbabit dalam tempoh lima hari bekerja bagi syarikat berdaftar dengan ESD,” katanya ketika merasmikan ESD, di sini semalam. Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; timbalannya, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif, Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), Johan Mahmood Merican.
ESD, yang bertujuan menarik dan mengekalkan bakat asing tertinggi di negara ini, menawarkan perkhidmatan bersepadu merangkumi keperluan pegawai dagang, termasuk Pas Pekerjaan, Tanggungan, Lawatan Sosial, Lawatan Profesional dan Residen- Bakat. Ia dilaksanakan melalui kerjasama antara KDN, Jabatan Imigresen dan TalentCorp.
Liat bayar PTPTN jejas pelajar baharu
Kuala Lumpur: Lebih 50,000 pelajar baharu di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) bagi sesi Julai, September dan Disember depan, berdepan kemungkinan tidak mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Difahamkan masalah itu berlaku berikutan kegagalan sebahagian besar peminjam membayar balik pinjaman sehingga agensi itu berdepan kekurangan dana yang teruk, sekali gus tidak dapat membuat pusingan semula untuk diagihkan kepada pelajar baharu.
Sumber PTPTN memberitahu,walaupun Kementerian Kewangan meluluskan dana RM4 bilion untuk tahun ini, namun ia hanya cukup untuk membiayai 75 peratus peminjam baharu dan peminjam sedia ada, manakala baki 25 peratus lagi tidak akan mendapat pinjaman.
Piala Dunia: Suarez kini dibuai mimpi indah
SAO PAULO: Luis Suarez kehilangan kata-kata terbaik apabila ditanya perasaannya selepas meledakkan dua gol membantu Uruguay menewaskan England 2-1 dalam saingan Kumpulan D, sebentar tadi.
“Saya pernah mimpi detik seperti ini,” katanya bintang Liverpool itu kepada TV Brazil.
“Saya sedang menikmati setiap saat memikirkan kejayaan penting ini selepas melalui segala kritikan selama ini.”
Suarez menjaringkan satu gol pada setiap babak permainan di Corinthians Arena hasil kelekaan pertahanan The Three Lions untuk membantu pasukan negaranya menghampiri tiket ke pusingan kedua.
Uruguay harus menewaskan Itali dalam perlawanan terakhir kumpulan untuk menjamin tiket itu.
Sementara itu, rakan sepasukannya, Edinson Cavani berkata mereka menyudahkan satu tugasan sempurna untuk mengutip tiga mata berharga ini.
“Setiap pemain melakukan tugasan dengan baik dan pasukan beraksi penuh sempurna. Kami bekerja keras dari minit pertama dan ini memberikan kami kemenangan,” katanya.
Nora bengang
Penyanyi kecewa Voices of Ummi jadi mangsa cetak rompak, kutipan kononnya disalurkan kepada badan amal
Jumaat lalu, penyanyi Nora Ariffin meluahkan rasa kecewa di laman Facebook (FB) mengenai album Voices Of Ummi yang menjadi mangsa cetak rompak.
Sebagai bukti, penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Di Persimpangan Dilema itu menyertakan gambar cakera padat (CD) cetak rompak di laman sosialnya.
Lebih mengecewakan, Nora mengesyaki pihak terbabit cuba melindungi kegiatan mereka atas alasan agama dan dakwah dalam melariskan album cetak rompak berkenaan.
“Saya terkejut sebaik dimaklumkan rakan kongsi mengenai kes terbabit. Mengikut ceritanya, beliau pergi bersolat di sebuah masjid di ibu kota. Kebetulan, ketika itu ada orang berniaga di situ.
Malaysia paling banyak cabaran laksana TPPA
Malaysia negara paling banyak mengharungi cabaran untuk mencapai persetujuan bersama dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) berbanding 11 negara lain.
Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata negara lain turut menghadapi cabaran tersendiri yang berbeza mengikut situasi masing-masing.
"Kita ada banyak isu untuk dibincangkan dalam perjanjian ini seperti kedudukan Bumiputera, perolehan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan," katanya sambil menegaskan semua cabaran itu bagi memastikan kepentingan negara tetap terpelihara.
"Namun, TPPA ini bukan kita sahaja yang ada masalah, negara lain seperti Amerika Syarikat juga ada masalah seperti dasar buruh, cuma yang berbeza ialah tahap kesukarannya dan Malaysia antara negara yang mempunyai paling banyak masalah," jelasnya.
Mustapa berkata demikian kepada media selepas menyampaikan taklimat mengenai program Sesi Capaian: Memahami Komuniti Ekonomi Asean (AEC), Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan TPPA di Putrajaya, semalam.
Beliau berkata, kerajaan telah menetapkan red line atau perkara yang tidak akan dikompromikan untuk dibincangkan dalam perjanjian berkenaan bagi menjaga kedaulatan negara, iaitu sistem raja berperlembagaan negara ini.
"Ketika mula terbabit dengan perjanjian TPPA ini, kita telah menetapkan bahawa tidak akan ada sebarang perubahan terhadap sistem perlembagaan kita," katanya.
Namun, Mustapa berkata, buat masa ini kerajaan masih melihat pembabitan Malaysia dalam perjanjian itu mampu memberi manfaat besar kepada negara, termasuk akses lebih mudah kepada pasaran global serta mampu menjadikan negara lebih kompetitif dan berdaya saing.
Malaysia menyertai perbincangan TPPA pada Oktober 2010, negara kesembilan dalam perbincangan itu yang sudah masuk hampir empat tahun, dengan penyertaan secara sukarela dalam perbincangan itu kini meliputi 12 negara.
klia2 MAHB SASAR 38 PERATUS USAHAWAN BUMIPUTERA
Jalin kerjasama dengan TERAJU tingkat penyertaan di premis peruncitan
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyasar untuk meningkatkan sehingga 38 peratus penyertaan usahawan Bumiputera di premis peruncitan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) menjelang akhir tahun ini, daripada 35 peratus ketika ini.
Langkah itu sebahagian daripada usaha pengendali klia2 itu menyahut saranan kerajaan supaya 20 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama mengambil bahagian dalam Pelan Pemeriksaan Ekonomi Bumiputera.
Lima sebab Sepanyol bungkus awal
RIO DE JANEIRO: Sepanyol muncul negara juara yang kelima terkeluar daripada saingan pusingan awal selepas tewas 2-0 kepada Chile di Maracana awal pagi tadi.
Berikut lima sebab mengapa juara Piala Dunia 2010 dan Euro 2012 itu gagal menyerlah kali ini.
Masih mengharapkan pemain lama
Selepas tewas 5-1 kepada Belanda, pengurusnya Vicente del Bosque terpaksa menggugurkan pemain bintang Xavi Hernandez serta Gerard Pique dan digantikan dengan Pedro Rodriguez dan Javi Martinez. Walaupun ia dilihat untuk memperkukuhkan pasukan, ia sepatutnya dilakukan lebih awal. Koke, pemain tengah Atletico Madrid, yang penuh bertenaga dan semangat pula lewat ditampilkan dalam pasukan.
Keputusan terus memberi kepercayaan kepada penjaga gol, Iker Casillas terbukti satu kesilapan. Tambahan pula, kapten pasukan yang hebat sebelum ini bukan lagi pemain tetap untuk kelabnya Real Madrid, tetapi Del Bosque sepatutnya mempunyai banyak pilihan lain walaupun penjaga gol kedua, Victor Valdes cedera.
Pertahanan yang longgar
Jika dia dipersalahkan, Casillas juga mungkin akan menyalahkan barisan pertahanan yang sepatutnya mengawal dan melindunginya setiap kali kubu mereka diserang. Lagipun, kejayaan Sepanyol pada 2010 dan Euro 2012 banyak bergantung kepada kehebatan pertahanannya mengekang asakan lawan.
Inspirasi Carles Puyol tiada kali ini. Gandingan pertahanan tengah, Pique and Sergio Ramos amat cemerlang beberapa tahun lalu, tetapi gagal menyerlah kali ini. Keputusan menurunkan Javi Martinez pula terbukti gagal ketika menentang Chile. Kegagalan mengekang kepelbagaian formasi Belanda dan Chile menyebabkan Sepanyol dibolosi tujuh gol hanya dalam dua perlawanan.
Pemilihan Diego Costa
Apabila Del Bosque memujuk Diego Costa mewakili negara angkatnya dan mengenepikan negara asal Brazil, amat jelas bahawa bintang Atletico Madrid itu akan menjadi pemain dalam kesebelasan utama. Bagaimanapun, Sepanyol tidak membantu penyerang tengah itu menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan itu.
Dia seorang pemain yang memerlukan ruang setiap kali mendapat bola untuk merobek gol lawan, tetapi malangnya dia kelihatan seperti ‘dungu’ ketika berdepan dengan pertahanan Chile. Dia tidak selesa dalam posisi itu sehingga rakyat Brazil sendiri bersorak memarahinya kerana memilih bermain untuk Sepanyol.
Gagal berubah daripada tiki-taka
Sepanyol tersilap langkah kerana terlalu mempercayai sistem itu yang amat berjaya dalam banyak kejohanan lalu. Corak permainan pasukan La Roja digerakkan seperti cara permainan Barcelona sehingga mencipta banyak kejayaan di bawah pengurus Pep Guardiola.
Namun, kejatuhan Barcelona dan bagaimana pasukan Bayern Munich kendalian Guardiola diratah oleh Real Madrid dalam separuh akhir Liga Juara-juara baru-baru ini, memberi isyarat bahawa era kehebatan tiki-taka telah pun berakhir.
Ia terbukti apabila rentak permainan Chile yang memberi tekanan kepada Sepanyol, menyebabkan pemainnya gagal membuat hantaran tepat dan tidak mampu mengawal bola seperti ia melekat di kaki yang selama ini menjadi kehebatan sebenar Sepanyol.
Bermain di Amerika Selatan
Pasukan Eropah memang sukar untuk menang Piala Dunia di benua Amerika dan ia tidak pernah berlaku. Kejatuhan Sepanyol sebenarnya telah bermula di Maracana setahun lalu apabila tewas 3-0 kepada Brazil dalam perlawanan akhir Piala Konfederasi dan kemerosotan berterusan ketika tewas kepada Chile.
Setiap pasukan Amerika Selatan dalam kempen kali ini mendapat sokongan daripada peminat dari benua itu. Kekalahan 5-1 kepada Belanda, menyebabkan Sepanyol memerlukan kemenangan ketika menentang Chile, tetapi penonton di Maracana menyokong Chile sehingga menyebabkan mereka seolah-olah bertarung sebagai tuan rumah.
PAC dakwa kaedah pengedaran diesel bersubsidi banyak kelemahan
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendakwa kaedah pengedaran minyak diesel bersubsidi yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mempunyai banyak kelemahan yang boleh dieksploitasi.
Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata keadaan itu dilihat boleh membawa kepada banyak ketirisan sehingga berlaku penyalahgunaan diesel bersubsidi dan penyeludupan bahan itu.
"Sebagai contoh, sekarang mereka gunakan 'fleet card' yang diberikan kepada pengguna kategori tertentu yang boleh membeli diesel bersubsidi menggunakan kad itu di stesen-stesen petrol.
"Tetapi, kad ini mungkin boleh digunakan oleh sesiapa sahaja tanpa had dan ini menyebabkan pihak yang menggunakannya dapat menikmati diesel bersubsidi dengan lebih," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau mendengar taklimat Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah mengenai perancangan kedua-dua kementerian itu untuk mengatasi masalah penyalahgunaan dan penyeludupan diesel bersubsidi.
PAC memanggil kedua-dua kementerian itu berikutan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Mei lepas mengenai kes membabitkan pegawai penguat kuasa yang mempunyai jumlah wang yang banyak dalam akaun bank dipercayai hasil aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi.
Nur Jazlan berkata PAC bagaimanapun tidak berpuas hati dengan penjelasan Alias hari ini berhubung perancangan KPDNKK untuk menangani masalah itu dan bercadang memanggil semula ketua setiausaha itu bagi memberi penjelasan lanjut.
PAC juga mahu mendapatkan penjelasan terperinci daripada kementerian itu berhubung kaedah penggunaan teknologi maklumat (IT) dan data dalam menjalankan penguatkuasaan.
"Jika mereka guna cara lama untuk membuat pengawasan berdasarkan aduan orang ramai dan menggunakan ramai pegawai penguatkuasaan, ini akan melibatkan belanja yang besar bagi membayar gaji dan kos operasi.
"Tetapi, jika ada penggunaan IT dengan cara mengumpulkan data kementerian, mungkin ini boleh merekod transaksi dan seterusnya mempunyai maklumat yang besar untuk membuat penguatkuasaan," katanya.
Pada sesi taklimat itu, PAC juga turut diberitahu mengenai penggunaan sistem teknologi nano bagi memantau pengedaran diesel bersubsidi yang dilaksanakan KPDNKK selama empat tahun sebelum ia diberhentikan.
Nur Jazlan berkata KPDNKK menjelaskan sistem itu terpaksa dihentikan berikutan kegagalannya mengesan diesel bersubsidi selain memerlukan kos tinggi untuk dilaksanakan.
18 kawasan di sekitar KL alami gangguan bekalan air tidak berjadual
KUALA LUMPUR: Sejumlah 17,500 akaun pengguna Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) di 18 kawasan sekitar ibu kota mula mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Kenyataan Syabas hari ini menyebut gangguan bekalan air itu disebabkan penurunan paras air di kolam-kolam utama yang menerima bekalan air daripada Loji Rawatan Air Sungai Langat.
Ia berkata masalah itu timbul berikutan permintaan air yang tinggi yang telah melebihi kapasiti bekalan.
Kawasan yang terlibat adalah Jalan Lapangan Terbang Lama (TUDM), Sungai Besi, Chan Sow Lin, Wisma Putra, Belemy, Kerayung, Jalan Sanpeng, Dataran FNN, seluruh Taman Seputeh dan Bukit Seputeh.
Selain itu, kawasan lain adalah Jalan Syed Putra, Taman Segar, Pandan Perdana, Pandan Indah, Taman Kencana, Maju Jaya, Lembah Maju dan Taman Tayton View.
"Pengguna di kawasan yang tidak terjejas dengan gangguan bekalan air itu diminta sentiasa menggunakan air secara berhemah bagi mengelakkan pembaziran," katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian paip pecah atau bocor supaya menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas iaitu PUSPEL di talian bebas tol 1-800-88-5252.
Muhyiddin nafi letak jawatan
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan beliau akan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam masa terdekat.
Muhyiddin berkata, beliau tidak pernah membincangkan isu itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Berikutan itu Muhyiddin berkata beliau akan terus berkhidmat selaku Timbalan Perdana Menteri selagi Perdana Menteri mahu mengekalkannya.
Muhyiddin ditanya pemberita mengenai khabar angin kononnya beliau akan melepaskan jawatan itu dalam tempoh terdekat ini.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan upacara penutupan Persidangan Majlis Sains Asia Ke-14 di sini, sebentar tadi.
Masa depan...
Assalamualaikum.... nk tanya... dlm masa yang singkat apa yang perlu dilakukan untuk persiapan hari raya yg akn menjekma nanti.... mohon share idea...