Putrajaya: Proses kelulusan permit pekerjaan bagi pegawai dagang asing dipendekkan kepada lima hari bekerja bermula semalam, berbanding lebih sebulan sebelum ini, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri menjelaskan, proses itu dapat dipercepatkan melalui kewujudan Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat (ESD), Jabatan Imigresen, yang akan menjadi pusat sehenti untuk pegawai dagang berurusan secara atas talian.
“Melalui proses yang baharu diperkenalkan ini, pelabur dan perniagaan utama di negara ini akan menikmati kemudahan yang ditambah baik bagi urusan kelulusan permit pekerjaan. Sebelum ini, syarikat perlu menunggu lebih sebulan untuk mendapatkan kelulusan permit pekerjaan.
“Jabatan Imigresen komited untuk melaksanakan proses terbabit dalam tempoh lima hari bekerja bagi syarikat berdaftar dengan ESD,” katanya ketika merasmikan ESD, di sini semalam. Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; timbalannya, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif, Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), Johan Mahmood Merican.
ESD, yang bertujuan menarik dan mengekalkan bakat asing tertinggi di negara ini, menawarkan perkhidmatan bersepadu merangkumi keperluan pegawai dagang, termasuk Pas Pekerjaan, Tanggungan, Lawatan Sosial, Lawatan Profesional dan Residen- Bakat. Ia dilaksanakan melalui kerjasama antara KDN, Jabatan Imigresen dan TalentCorp.
Thursday, 19 June 2014
5 hari lulus permit kerja
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment