Malaysia negara paling banyak mengharungi cabaran untuk mencapai persetujuan bersama dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) berbanding 11 negara lain.
Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata negara lain turut menghadapi cabaran tersendiri yang berbeza mengikut situasi masing-masing.
"Kita ada banyak isu untuk dibincangkan dalam perjanjian ini seperti kedudukan Bumiputera, perolehan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan," katanya sambil menegaskan semua cabaran itu bagi memastikan kepentingan negara tetap terpelihara.
"Namun, TPPA ini bukan kita sahaja yang ada masalah, negara lain seperti Amerika Syarikat juga ada masalah seperti dasar buruh, cuma yang berbeza ialah tahap kesukarannya dan Malaysia antara negara yang mempunyai paling banyak masalah," jelasnya.
Mustapa berkata demikian kepada media selepas menyampaikan taklimat mengenai program Sesi Capaian: Memahami Komuniti Ekonomi Asean (AEC), Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan TPPA di Putrajaya, semalam.
Beliau berkata, kerajaan telah menetapkan red line atau perkara yang tidak akan dikompromikan untuk dibincangkan dalam perjanjian berkenaan bagi menjaga kedaulatan negara, iaitu sistem raja berperlembagaan negara ini.
"Ketika mula terbabit dengan perjanjian TPPA ini, kita telah menetapkan bahawa tidak akan ada sebarang perubahan terhadap sistem perlembagaan kita," katanya.
Namun, Mustapa berkata, buat masa ini kerajaan masih melihat pembabitan Malaysia dalam perjanjian itu mampu memberi manfaat besar kepada negara, termasuk akses lebih mudah kepada pasaran global serta mampu menjadikan negara lebih kompetitif dan berdaya saing.
Malaysia menyertai perbincangan TPPA pada Oktober 2010, negara kesembilan dalam perbincangan itu yang sudah masuk hampir empat tahun, dengan penyertaan secara sukarela dalam perbincangan itu kini meliputi 12 negara.
Thursday, 19 June 2014
Malaysia paling banyak cabaran laksana TPPA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment