SELAMAT DATANG KE BLOG RENCAH KITA

Wednesday, 18 June 2014

Mueller bagaikan tak percaya

Pemain Terbaik: Jerman mudah belasah Portugal dalam aksi pembukaan Kumpulan G
Salvador: Thomas Mueller dan rakan sepasukannya yang lain seolah tidak percaya ketika melihat papan mata yang terpapar Jerman sedang mendahului Portugal 2-0 ketika permainan baru berlangsung 32 minit, awal pagi semalam.
Penyerang Jerman itu meledak hatrik termasuk satu daripadanya menerusi sepakan penalti untuk kemenangan 4-0 ke atas Portugal selain turut terbabit dalam insiden yang menyebabkan Pepe dilayangkan kad merah pada minit ke-37.
“Kami melihat ke atas (papan mata) dan berasa cukup teruja. Apa pun masih banyak perlawanan perlu diharungi dan ternyata cuaca cukup panas sepanjang perlawanan,” kata Mueller yang beraksi bersama Bayern Munich.
Pepe berang
Suasana menjadi lebih panas apabila Mueller mendakwa Pepe pada mulanya menampar mukanya ketika perebutan bola dan kemudian ketika dia terduduk, pemain pertahanan Portugal itu datang untuk ‘menanduk’ kepalanya lalu dilayangkan kad merah oleh pengadil.
Namun Pepe berang kerana menganggap Mueller sengaja ‘berlakon’ selepas dihantuk kepalanya.
“Saya mahu melihat semula insiden itu di televisyen. Saya hanya harap saya kelihatan okey. Saya rasa sakit selepas tamparan pertamanya itu tetapi apa berlaku selepas itu saya tak berapa ingat, sama ada kepala bertembung kepala atau tidak.
“Saya tidak berniat nak menipu. Saya pun tak pasti bagaimana saya keluar daripada insiden itu,” kata Mueller.
Pemenang Kasut Emas Piala Dunia 2010 itu turut mengakui langsung tidak berniat untuk mencetuskan perbalahan dengan Pepe dan insiden itu tidak akan membuatkannya gentar untuk berdepan mana-mana pemain pertahanan lawan selepas ini.
“Saya sudah berpengalaman dengan banyak perlawanan antarabangsa sepanjang empat tahun lalu dan saya bukan seorang yang akan cepat berasa takut,” jelas Mueller yang genap berusia 25 tahun pada 13 September ini.


Thomas Müller
Tarikh lahir: 13 September 1989
Asal: Weilheim, Jerman Barat
Tinggi: 1.86m
Posisi: Penyerang/pemain tengah
Kelab: Bayern Munich
Pasukan kebangsaan: Sejak 2010
Penampilan: 50 kali
Jaringan: 20

No comments:

Post a Comment