SELAMAT DATANG KE BLOG RENCAH KITA

Wednesday, 18 June 2014

Piala Dunia: Scolari kecewa Brazil gagal kutip tiga mata dan layak awal

FORTALEZA: Brazil yang terlalu menaruh harapan ke atas kelibat Neymar mengemudi kemenangan mereka kini terpaksa akur apabila hanya mampu seri 0-0 dengan Mexico dalam saingan Kumpulan A di Stadium Arena Castelao di Fortaleza, awal pagi tadi.

Ini bererti anak didik Luiz Felipe Scolari harus mencari mata pada perlawanan terakhir kumpulan mereka menentang Cameroon pada 24 Jun ini, begitu juga Mexico yang menentang Croatia.
“Ada peluang untuk kami cuba cari kemenangan tapi ia sukar,” kata Scolari.

“Ini bukan satu keputusan baik kerana kemenangan boleh bantu kami layak. Sekarang kami harus hormat pasukan lain.”

Scolari juga seperti tidak mahu menyalahkan cara permainan Brazil mereka apabila berkata itulah apa yang mereka lakukan sejak 20 perlawanan lalu.

“Kami berdepan pasukan yang baik dan kami harus mengerti hakikat itu,” katanya.

Brazil mengilhamkan segala-galanya dalam perlawanan ini tapi gagal menembusi benteng Mexico yang degil, tambahan kehebatan penjaga gol lawan, Guillermo Ochoa kali ini.
Paulinho dan Neymar nyaris membocori gawang lawan tetapi usaha masing-masing dinafikan Ochoa yang turut menepis tandukan padu Thiago Silva pada minit-minit terakhir permainan.

Ini adalah kali pertama Mexico seri dengan Brazil dalam Piala Dunia. Tiga pertemuan lalu berakhir dengan kemenangan untuk Brazil (5-0, 4-0 dan 2-0).

No comments:

Post a Comment