Kuala Lumpur: Kerajaan akan terus berusaha membantu meringankan beban rakyat melalui penguatkuasaan Akta Kawalan Harga yang lebih ketat terutama menjelang Ramadan dan Syawal, kata Datuk Seri Najib Razak.
“Menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba dan disusuli pula dengan Syawal, kerajaan akan terus berusaha untuk membantu meringankan beban rakyat melalui penguatkuasaan Akta Kawalan Harga yang lebih ketat,” kata Perdana Menteri dalam laman Facebook beliau, semalam.
Najib turut berkongsi berita BERNAMA bertajuk ‘Kerajaan Laksana Pelbagai Program Bantu Rakyat Tangani Kenaikan Kos Sara Hidup – Muhyiddin’ di laman Facebook dan Twitternya.
Bantu atasi kos sara hidup
Menurut berita itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan melaksanakan pelbagai program untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.
Sementara itu, hasrat Malaysia untuk menjamin daya saing global, Najib berkata kerajaan perlu bersungguh-sungguh mempertimbangkan dan melaksanakan pelbagai langkah untuk memastikan kesejahteraan rakyat pada pelbagai peringkat supaya lebih tepat mencerminkan kesejahteraan sebenar negara.
“Kemajuan mapan sesebuah negara dalam dunia global dan berdaya saing hari ini tidak boleh diukur semata-mata dengan prestasi KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) sahaja,” katanya.
Perdana Menteri berkata, pertumbuhan pesat Malaysia ke arah mencapai status negara maju mestilah selari dengan status kesejahteraan rakyat.
“Dalam penjelmaan intipati 1Malaysia, kita secara kolektif mesti memastikan semua rakyat Malaysia dapat maju bersama-sama dalam masyarakat yang saksama,” katanya.
No comments:
Post a Comment