SELAMAT DATANG KE BLOG RENCAH KITA

Saturday, 14 June 2014

KPDNKK serbu kilang mi sanggul

Bukit Mertajam: Kilang membuat mi sanggul di Sama Gagah dekat sini, semalam diserbu oleh anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kerana tidak menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang sah.

Produk mi sanggul keluaran kilang berkenaan yang banyak dijual di utara Semenanjung, hanya menggunakan lambang bulatan ditulis perkataan HALAL.

Serbuan pada jam 3 petang itu dibuat susulan aduan orang ramai yang ragu-ragu dengan logo halal pada bungkusannya.

Selain mi sanggul, kilang berkenaan turut mengeluarkan mi teow dan mi suah yang juga menggunakan logo halal tidak diiktiraf JAKIM mengikut Akta Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

Tempat kotor

Menurut sumber, sebelum dibungkus, mi sanggul dijemur di tempat terbuka, sekali gus menyebabkan ia terdedah kepada kekotoran atau pencemaran.
“Ketika serbuan, beberapa pekerja sedang melakukan kerja pembungkusan dan mereka meneruskan kerja secara selamba walaupun penguatkuasa membuat pemeriksaan.

“Ada mi sanggul sudah siap dibungkus dan ada yang masih dijemur di tempat terbuka," katanya.

Pemerhatian pada bungkusan mi sanggul mendapati, logo halal yang tertera tidak lagi digunakan ketika ini kerana tidak diiktiraf oleh JAKIM. Susulan itu, sebanyak 100 paket mi sanggul, 50 bungkus mi teow dan 64 paket mi suah dirampas.
Kilang itu pernah diserbu penguat kuasa KPDNKK sebelum ini atas kesalahan sama tetapi masih degil dan terus menggunakan logo halal tidak diiktiraf JAKIM.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Pulau Pinang, Abdul Rosik Yakub ketika dihubungi mengesahkan serbuan berkenaan.

Beliau berkata, tindakan diambil mengikut APD 2011 kerana menyalahgunakan logo halal dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun.

Katanya, pihaknya menjalankan pemeriksaan di premis makanan seluruh negeri bagi memastikan pengeluar hanya menggunakan logo halal diiktiraf JAKIM.

No comments:

Post a Comment