Kuala Lumpur: Jabatan Audit Negara menyenaraikan 230 syor bagi membantu Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan kerajaan negeri, menambah baik serta memperbaiki kelemahan yang dikesan menerusi Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2.
Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata ia membabitkan 55 syor kepada Kerajaan Persekutuan; 31 syor kepada Badan Berkanun Persekutuan dan 144 syor kepada kerajaan negeri.
“Kelemahan yang dikesan kebanyakannya membabitkan kecekapan dan pematuhan penjawat awam terhadap peraturan kewangan kerajaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.
Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2 dibentangkan di Parlimen semalam, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Ambrin berkata, dalam Laporan Siri 2 itu, sebanyak 57 pengauditan prestasi dan 18 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan dilaksanakan pada peringkat Persekutuan, negeri dan Badan Berkanun Persekutuan.
“Pengauditan yang dilaksanakan merangkumi bidang pembinaan, penyelenggaraan, penguatkuasaan undang-undang, perolehan, pengurusan aset, program peningkatan sosioekonomi, infrastruktur dan pengurusan syarikat,” katanya.
Ambrin berkata, Kementerian Kewangan mengeluarkan Laporan Maklum Balas ke atas Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2 yang memberikan ulasan serta tindakan terkini daripada Ketua Perkhidmatan terhadap isu-isu yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara.
Setiap tahun, Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan prestasi yang bertujuan menilai sejauh mana pelbagai aktiviti dan projek kerajaan telah dirancang, dilaksanakan dan dipantau dengan cekap dan berkesan serta sejauh mana objektif asal program atau aktiviti dan projek itu tercapai.
Ia juga bertujuan menilai sejauh mana wang awam dibelanjakan dengan berhemat, tanpa berlakunya pemborosan dan pembaziran serta mendapat nilai faedah terbaik bagi perbelanjaan yang dibuat.
Bagi pengauditan syarikat kerajaan pula, Jabatan Audit Negara membuat penilaian terhadap aspek analisis penyata kewangan, pengurusan aktiviti syarikat dan tadbir urus korporat.
Kandungan dan sinopsis laporan siri 2 itu boleh dilayari orang ramai menerusi laman web Jabatan Audit Negara di http://www/audit.gov.my mulai semalam dan sebarang pertanyaan atau pandangan mengenai laporan itu boleh dialamatkan kepada Warkah Untuk Ketua Audit Negara.
Monday, 16 June 2014
230 cadangan perbaiki kelemahan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment