Seri Iskandar: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) terus melebarkan sayap dan komitmennya melahirkan modal insan berkualiti menerusi bidang pendidikan melalui Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP).
Tahun ini, syarikat multinasional minyak dan gas ulung negara itu menaja biasiswa berjumlah hampir RM100 juta kepada 316 pelajar pintar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran bermula dari program persediaan hingga ke peringkat ijazah sarjana muda di dalam dan luar negara.
Daripada jumlah itu, seramai 148 ditawarkan program di luar negara manakala 168 melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh, dekat sini.
Mereka termasuk 15 pelajar daripada Pusat PERMATApintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bakal mengikuti bidang teknikal dan bukan teknikal seperti Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Petroleum, Kejuruteraan Petroleum Geosains dan Geofizik, Kejuruteraan Kimia, Geologi, Elektrik dan Elektronik, Perakaunan, Ekonomi, Undang-Undang dan Sains Aktuari.
Penyerahan tajaan biasiswa itu disampaikan Timbalan Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh pada majlis khas di Dewan Canselor UTP, 8 Jun lalu.
Turut hadir Naib Presiden Kanan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Raiha Azni Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Canselor UTP, Ir Datuk Abdul Rahim Hashim; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UKM, Datin Noor Azziah Mohd Awal; Ketua Jabatan Pengurusan Modal Insan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Ungku Haslina Ungku Mohamed Tahir dan Pengarah Pusat PERMATApintar Negara, UKM, Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak.
Manfaat 21,000 pelajar
Dengan penganugerahan terbaharu itu, PETRONAS sudah menyediakan lebih RM2.8 bilion melalui program berkenaan sejak tahun 1975, dengan lebih 21,000 pelajar mendapat manfaatnya sekali gus meningkatkan bakat mahir dalam pelbagai bidang disiplin ilmu di negara ini.
Pembangunan modal insan
Raiha Azni dalam ucapannya pula berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 1947, PETRONAS menekankan perkembangan pendidikan dan keupayaan warga muda dengan PESP menjadi antara satu usaha utama untuk menyumbang ke arah pembangunan modal insan yang mapan di negara ini.
“Komitmen ini turut memainkan peranan sebagai kunci utama pembangunan syarikat khususnya tetapi berupaya memacu kemajuan rakyat secara umumnya. Bagi menggarap dan mencatat kecemerlangan yang lebih memberangsangkan, PETRONAS akan terus memberi komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menggerakkan syarikat untuk mencapai visinya sebagai sebuah syarikat minyak dan gas multinasional yang bersepadu sepenuhnya yang bercirikan ‘global champion’,” katanya.
PESP sebagai anugerah
Penerima biasiswa, Mohammad Ruhzain Rezqie Mohammad Zain, 18, dari Kelantan menyifatkan PESP sebagai anugerah kepada pelajar dan tawaran biasiswa terbaik di negara ini, sekali gus mendorongnya untuk menerima tawaran berkenaan berbanding tawaran daripada pihak lain.
Anak penanam cendawan dari Taiping, Tan Rui Qiong, 18, yang akan mengikuti kursus persediaan sebelum melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat dalam bidang geologi berkata, beliau gembira sebaik mengetahui terpilih sebagai penerima biasiswa PETRONAS.
Anak peniaga restoran, N Dharshana, 18, berkata beliau yakin dengan PETRONAS impiannya dalam bidang Kejuruteraan Petroleum akan dapat direalisasikan.
Monday, 16 June 2014
PETRONAS taja biasiswa RM100j
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment