SELAMAT DATANG KE BLOG RENCAH KITA

Monday, 16 June 2014

Thailand tingkat ronda siber

Bangkok: Tentera Thailand mengukuhkan peranannya sebagai pelindung diraja dengan meningkatkan ‘rondaan siber’ bagi membasmi kritikan terhadap raja berikutan rampasan kuasa bulan lalu. 

Junta melumpuhkan mana-mana pembangkang yang mahu menggulingkan kerajaan dilantik, dengan mengenakan tindakan tegas terhadap penghinaan kepada kerabat diraja menerusi pemantauan yang dibuat di internet. 


“Membanteras penghinaan terhadap kerabat diraja adalah keutamaan kami,” kata Ketua bahagian pengawasan jenayah teknologi polis, Mejar Jeneral Phisit Pao-in kepada AFP. 

Seramai 20 anggota polis dikerah dalam 15 pasukan pemantau siber perkhidmatan awam, bagi membanteras penghinaan terhadap raja di internet. 

Tingkat pemantuan 

“Sejak rampasan, kami diminta untuk meningkatkan pemantauan dan fokus terhadap ancaman keselamatan negara,” kata Phisit. 

Di bawah peraturan kontroversi penghinaan raja, sesiapa yang disabitkan bersalah menghina Raja Bhumibol Adulyadej, permaisuri, kerabat atau waris mereka akan berhadapan dengan penjara sehingga 15 tahun bagi setiap kesalahan. 
Phisit berkata, pasukannya mahu berbincang dengan suspek untuk mengubah sikap mereka, manakala aktivis yang ‘keras kepala’ akan berhadapan dengan dakwaan. 

Bagi kebanyakan rakyat Thailand, menghormati raja, patriotisme dan taat kepada agama adalah amat berkait rapat di mana raja mendapat status paling mulia. 

Pengambilalihan tentera berlaku ketika negara itu berada di ambang terakhir pemerintahan raja berusia 86 tahun yang sudah memerintah lebih enam dekad. 

Perbincangan secara terbuka mengenai penggantinya adalah mustahil di Thailand kerana undang-undang anti penghinaan raja. 

Tetapi pewaris takhtanya, Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn belum mendapat sokongan popular yang sama taraf dengan bapanya yang mencatat sejarah sebagai raja yang paling lama memerintah di dunia. 



No comments:

Post a Comment