SELAMAT DATANG KE BLOG RENCAH KITA

Monday, 16 June 2014

RM84.31 juta diagih kepada bekas tentera tidak berpencen

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM84.312 juta diagihkan kepada 77,737 bekas angota tentera yang tidak berpencen di seluruh negara melalui program Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini. 

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata jumlah itu juga meliputi pemberian sumbangan secara sekali bayaran sebanyak RM1,000 setiap seorang kepada 6,575 balu dan duda bekas tentera yang tidak berpencen. 


"Pemberian sumbangan ini adalah sebagai pengiktirafan dan penghargaan kerajaan ke atas jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan semasa berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara. 

"Sebahagian baki daripada peruntukan yang telah disediakan untuk tujuan ini yang tidak digunakan telah pun dipulangkan pada Kementerian Kewangan," katanya menjawab soalan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing) mengenai jumlah perbelanjaan bagi melaksanakan bantuan secara sekali bayaran kepada veteran ATM tidak berpencen. 

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut) mengenai cadangan menjadikan sumbangan itu sebagai bantuan tetap setiap tahun, Abdul Rahim berkata kerajaan sentiasa mengambil maklum mengenai perkara itu tetapi ia perlu mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan terlebih dahulu. 

Katanya, kerajaan sentiasa prihatin terhadap kepentingan golongan veteran ATM, antaranya dengan menubuhkan pelbagai agensi termasuklah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera. 

"Selain itu, kerajaan turut menyediakan pelbagai bantuan lain seperti bantuan kesihatan khususnya bantuan perubatan, bantuan pendidikan sekolah dan institusi pengajian tinggi (kepada anak bekas tentera), bantuan bencana alam, bantuan sara hidup dan perumahan khususnya kepada bekas tentera yang memiliki rumah yang daif," katanya. 

No comments:

Post a Comment