SELAMAT DATANG KE BLOG RENCAH KITA

Saturday, 28 June 2014

Festival Ramadan Putrajaya terap konsep wasatiyyah

Putrajaya: Festival Ramadan Putrajaya membuka tirai hari ini di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di dua lokasi iaitu kawasan Kiblat Walk, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj) di Presint 3.

Festival tahunan kali kedua anjuran PPj yang akan berlangsung sehingga 27 Julai itu akan diisi dengan gabungan kegiatan perniagaan, keagamaan, pameran dan hiburan berciri Islam bertepatan konsep Wasatiyyah yang mana umat Islam dituntut bersederhana dalam mengimarahkan Ramadan.
Usaha ini turut mendapat sokongan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dari segi jualan barangan sempena Aidilfitri serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), yang menyelaras program jualan terus dari kilang selain pengurusan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

PPj, dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan perbadanan itu akan mengedarkan buah kurma dan air zam-zam kepada pengunjung festival sepanjang Ramadan ini serta menaja program buka puasa untuk anak yatim di sekitar Putrajaya. Festival Ramadan tahun lalu, dikunjungi kira-kira 500,000 orang.

Bagi memeriahkan Festival Ramadan tahun ini, Pasar Ramadan Putrajaya dipindahkan dari lokasi asal di Presint 2 ke tapak bersebelahan Festival Ramadan Putrajaya.

PPj turut menyediakan Pasar Ramadan Mini di pekarangan Kompleks PPj dengan membuka 12 gerai menjual buah-buahan, kuih-muih tradisional, nasi beriani, nasi Arab, cendol sawit, burger bakar dan lain-lain juadah popular untuk berbuka puasa serta moreh.

Secara keseluruhan, PPj menyediakan 76 unit kios jualan di sepanjang Kiblat Walk dengan pelbagai jenis barangan bagi persiapan sambutan Aidilfitri termasuk pakaian, keperluan rumah, makanan dan kuih-muih.
Jualan terus dari kilang akan diadakan oleh KPDNKK di Dewan Persidangan Kompleks PPj sempena festival itu mulai 15 Julai hingga 24 Julai, dengan tema Jom Beli Barang Raya @ Putrajaya. Seramai 20 Peniaga di bawah MITI turut membuka gerai sepanjang program berkenaan.

Sementara itu, rangkaian pasaraya The Store, dengan kerjasama PPj, turut mengadakan jualan gudang di lobi Auditorium Cempaka Sari, Kompleks PPj sepanjang Ramadan ini.

Jualan buku berkaitan Islam akan diadakan di Lobi Dewan Persidangan, Kompleks PPj pada setiap hari bermula 30 Jun hingga 9 Julai ini, dengan kerjasama Synergy Ilmu Resources Sdn Bhd.

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pula akan menganjurkan majlis berbuka puasa percuma untuk 2,000 jemaah setiap hari selain solat Tarawih bersama Imam Samy Ahmed Abd Rahman El-Feky dari Mesir dan tazkirah selepas Tarawih bersama Mufti Ismail Musa Menk dari Zimbabwe.

Pada masa sama, pihak masjid melakukan agihan bubur lambuk, menyediakan kaunter bayaran zakat fitrah dan tadarus al-Quran pada setiap hari sepanjang Ramadan manakala Qiamullail diadakan setiap hujung minggu sepanjang Ramadan selain Khatam Quran Perdana pada 21 Julai ini.

Beberapa tokoh terkenal turut dijemput bagi menyampaikan ceramah agama pada hujung minggu sepanjang Ramadan ini, termasuk Ustaz Kazim Elias (bersempena Nuzul Quran), Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, Ustaz Haryanto Rizal Rokman, Ustaz Ahmad Shukri Yusoff, Ustaz Fauzi Mustaffa, Ustaz Ebit Liew dan Ustaz PU Salman.

Tidak ketinggalan, selawat dan qasidah bersama Al Mawlid, dendangan syair, gurindam serta puisi Islam dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) selain persembahan oleh artis serta kumpulan nasyid seperti Raihan, Al Farabi, Nowseeheart, Inteam, Hafiz Hamidon selain Saujana turut diadakan pada hujung minggu.

No comments:

Post a Comment