KUALA LUMPUR: Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan sekitar Masjid India
sinonim sebagai kawasan membeli-belah di ibu negara, lebih-lebih lagi
ketika umat Islam menyambut Ramadan yang bermula hari ini dan seterusnya
Aidilfitri sebulan lagi.
Pengunjung dilihat sanggup meredah kesesakan lalu lintas di ibu
negara terutama pada hujung minggu untuk ke Jalan TAR bagi mendapatkan
apa yang diidamkan diri sendiri dan anggota keluarga.
Seorang kerani di sebuah syarikat swasta, Nur Nazihah Mazlan, 28,
berkata beliau lebih gemar membuat persiapan awal sebelum Ramadan
bermula kerana tidak sanggup bersesak dengan lautan manusia menjelang 1
Syawal.
"Saya suka berkunjung ke sini kerana terdapat baju dengan
fesyen terkini. Juga ada banyak pilihan barangan dan saya boleh dapatkan
apa yang diperlukan di satu tempat sahaja," katanya ketika ditemui
Bernama.
Antara produk 'wajib beli' yang mudah didapati di sekitar Jalan
TAR-Masjid India ialah kurma untuk berbuka puasa yang menyaksikan
penjual mampu mengaut pendapatan lumayan.
Peniaga kurma, Normala Abdullah, 40, berkata nilai jualan yang diraihnya boleh mencecah sehingga RM3,000 sehari.
"Pelbagai jenis kurma dijual termasuk jenis Safawi dan Mariami yang
mendapat sambutan ramai. Tetapi saya terpaksa kurangkan kuantiti kurma
yang dijual di gerai saya kerana ruang berniaga yang agak terhad,"
jelasnya.
Roslina Yusuf, 40, peniaga kain pelikat dan kain batik selama hampir
18 tahun di sekitar Jalan TAR, berkata beliau teruja dengan sambutan
menggalakkan daripada pembeli.
Menurutnya mereka bukan sahaja dari Kuala Lumpur dan Selangor,
tetapi ada yang datang dari negeri seperti Kedah dan Johor untuk membeli
barangannya secara pukal.
"Kebetulan ini merupakan minggu gaji masuk," katanya sambil menambah
sambutan menggalakkan pembeli juga dapat dilihat sejak pagi di
gerai-gerai lain. --
Bagi Hasibah Abdul Kadir, 43, dari Port Dickson, Negeri Sembilan,
beliau sanggup memandu jauh ke Jalan TAR sebagai persiapan menyambut
Ramadan dan Aidilfitri kerana kepelbagaian barangan yang ditawarkan pada
harga berpatutan.
"Kebiasaannya kami sekeluarga berkunjung ke sini untuk melihat
perhiasan rumah dan pakaian yang menyediakan banyak pilihan serta harga
yang murah," jelasnya.
Beliau bagaimanapun berharap peniaga memperbanyak pilihan pakaian
kanak-kanak kerana mendapati tumpuan lebih diberi kepada pakaian orang
dewasa.
Dalam pada itu, Penguasa Jabatan Penguatkuasaan, Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur (DBKL) Mohd Hariyadi Mohd Nor berkata tapak jualan lebih
luas kepada peniaga dan penjaja berlesen di Jalan Masjid India dicadang
diwujudkan dengan menutup sebahagian daripada kawasan letak kenderaan di
situ.
Menurutnya DBKL juga mengadakan kawalan di sekitar Jalan TAR dan
Jalan Masjid India sepanjang Ramadan melibatkan kira-kira 400 anggota
penguat kuasa DBKL.
No comments:
Post a Comment