Adik jutawan kosmetik berkenaan, Rosnani Lawiya, 49, berkata besar harapan keluarganya supaya apa saja tinggalan jasad kakaknya, disemadikan di perkuburan sebagai tanda penghormatan.
“Walaupun kami sekeluarga bersyukur kerana semua penjenayah sudah dijatuhi hukuman setimpal, perasaan ralat masih ada selagi tinggalan Allahyarhamah tidak disemadikan secara sempurna.
“Sekurang-kurangnya ada pusara atau tanda supaya mudah kami sekeluarga memberi penghormatan terakhir terhadap segala jasa dan pengorbanannya yang besar kepada kami,” katanya kepada BH, di sini semalam.
Hukuman gantung
Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas bekas peguam, N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya selepas didapati bersalah membunuh Sosilawati dan tiga individu lain tiga tahun lalu.
Sebelum ini, tokoh agama yang juga penceramah dan pendakwah bebas, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz, dilaporkan berkata, jenazah mangsa pembunuhan masih boleh diurus dan disempurnakan pengebumiannya seperti jenazah biasa, walaupun yang tinggal hanya cebisan tulang dan abu mayat.
Abu Hassan dilaporkan berkata, walaupun keadaan mayat langsung tidak dikenali dan hanya tinggal tulang, semua tulang dan abu milik mangsa perlu dikumpul dan dibungkus dengan kain putih secara tertib dan disembahyang serta dikebumikan seperti biasa.
Sementara itu, suami Rosnani, Misjan Jamikun, berkata mereka akan berbincang dengan anak kakak iparnya itu di Kuala Lumpur bagi menyemadikan tinggalan jasad Allahyarhamah di kampung halamannya, di sini.
No comments:
Post a Comment