PUTRAJAYA - Sebanyak 75 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan di seluruh negara sejak Januari hingga 7 Jun lepas, meningkat 241 peratus berbanding 22 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes denggi yang dilaporkan dalam tempoh tersebut juga menunjukkan peningkatkan iaitu 38,411 kes, meningkat 252 peratus berbanding 10,910 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
Terbaru tiga kematian dilaporkan sepanjang minggu lepas iaitu seorang lelaki berusia 45 tahun dari Kuala Lumpur dan dua wanita masing-masing berumur 40 dan 53 tahun dari Selangor dan Kedah.
"Sejumlah 360 lokaliti wabak dilaporkan di 13 buah negeri dan daripada itu terdapat 55 lokaliti titik panas iaitu 49 lokaliti di Selangor, tiga di Negeri Sembilan, serta masing-masing satu di Kelantan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Noor Hisham berkata pada minggu ke-23 (1 Jun-7 Jun) sejumlah 1,586 kes telah dilaporkan dan menurun 10 peratus (169 kes) berbanding 1,755 yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.
Sempena musim cuti persekolahan yang akan berakhir pada minggu ini, beliau menyarankan kepada pihak pengurusan sekolah supaya memastikan kawasan persekitaran sekolah adalah bersih dan bebas daripada tempat pembiakan aedes.
"Ubat pembunuh jentik-jentik (abate) boleh digunakan di tempat-tempat yang berpotensi untuk pembiakan aedes seperti pam tandas, pasu bunga, kolam hiasan dan sebagainya.
"Semburan aerosol juga boleh dilakukan di dalam kelas sebelum sesi persekolahan bermula bagi membunuh nyamuk aedes dewasa," katanya.
No comments:
Post a Comment