“Saya amat gembira ketika ini. Saya bangga dan apa yang penting adalah kemenangan untuk pasukan,” kata pemain itu yang dianggap mampu muncul antara bintang pada edisi kali ini.
Sementara itu, pengurus pasukan, Didier Deschamps memuji sikap pemain yang tidak mudah luntur semangat selepas gagal menjaringkan gol walaupun kelihatan mampu menyumbat beberapa gol ketika menentang Honduras.
“Ia permulaan baik untuk kami. Ia satu perlawanan penting kerana Honduras bermain tahap tahap kualiti tinggi dan bertahan secara agresif. Apa pun sepakan penalti dan kad merah (ke atas Wilson Palacios) mengubah situasi permainan. Kami menyumbat tiga gol dan harus dapat menambahkan lagi,” katanya.
Benzema menjaringkan dua gol - satu menerusi sepakan penalti pada minit ke-45 dan kedua, rembatan dari sudut yang sukar pada minit ke-72.
Honduras bertambah perit apabila beraksi dengan bekalan 10 pemain selepas Palacios dilayangkan kad merah gara-gara mengasari Paul Pogba dan pengadil dari Brazil, Sandro Ricci menghadiahkan Perancis sepakan penalti disempurnakan oleh Benzema untuk gol pertama.
Perancis mendahului 2-0 pada minit ke-48 yang turut menyaksikan buat pertama kali teknologi garisan gol yang digunakan dalam edisi kali ini mengesahkan gol itu selepas rembatan Benzema terkena tiang kiri sebelum melantun depan gawang.
Bola itu kemudian terkena badan penjaga gol Honduras, Noel Valladares sebelum bergolek masuk. Penjaga gol itu cuba pantas menyelamatkan bola keluar tetapi pengadil memutuskan ia sebagai gol sendiri selepas melihat rakaman alat teknologi buat dari Jerman itu.
Kemenangan ini memberi semangat dan keyakinan baru untuk Perancis yang bakal berdepan Switzerland, Jumaat depan.
Sementara itu, pengurus Honduras, Luis Fernando Suarez berkata lawan bermain lebih baik daripada mereka.
“Kami harus menunjukkan peningkatan dan keputusan mungkin berbeza jika kami ada 11 pemain atas padang sehingga tamat permainan,” katanya.
No comments:
Post a Comment