SELAMAT DATANG KE BLOG RENCAH KITA

Saturday, 28 June 2014

Festival Ramadan Putrajaya terap konsep wasatiyyah

Putrajaya: Festival Ramadan Putrajaya membuka tirai hari ini di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di dua lokasi iaitu kawasan Kiblat Walk, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj) di Presint 3.

Festival tahunan kali kedua anjuran PPj yang akan berlangsung sehingga 27 Julai itu akan diisi dengan gabungan kegiatan perniagaan, keagamaan, pameran dan hiburan berciri Islam bertepatan konsep Wasatiyyah yang mana umat Islam dituntut bersederhana dalam mengimarahkan Ramadan.
Usaha ini turut mendapat sokongan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dari segi jualan barangan sempena Aidilfitri serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), yang menyelaras program jualan terus dari kilang selain pengurusan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

PPj, dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan perbadanan itu akan mengedarkan buah kurma dan air zam-zam kepada pengunjung festival sepanjang Ramadan ini serta menaja program buka puasa untuk anak yatim di sekitar Putrajaya. Festival Ramadan tahun lalu, dikunjungi kira-kira 500,000 orang.

Bagi memeriahkan Festival Ramadan tahun ini, Pasar Ramadan Putrajaya dipindahkan dari lokasi asal di Presint 2 ke tapak bersebelahan Festival Ramadan Putrajaya.

PPj turut menyediakan Pasar Ramadan Mini di pekarangan Kompleks PPj dengan membuka 12 gerai menjual buah-buahan, kuih-muih tradisional, nasi beriani, nasi Arab, cendol sawit, burger bakar dan lain-lain juadah popular untuk berbuka puasa serta moreh.

Secara keseluruhan, PPj menyediakan 76 unit kios jualan di sepanjang Kiblat Walk dengan pelbagai jenis barangan bagi persiapan sambutan Aidilfitri termasuk pakaian, keperluan rumah, makanan dan kuih-muih.
Jualan terus dari kilang akan diadakan oleh KPDNKK di Dewan Persidangan Kompleks PPj sempena festival itu mulai 15 Julai hingga 24 Julai, dengan tema Jom Beli Barang Raya @ Putrajaya. Seramai 20 Peniaga di bawah MITI turut membuka gerai sepanjang program berkenaan.

Sementara itu, rangkaian pasaraya The Store, dengan kerjasama PPj, turut mengadakan jualan gudang di lobi Auditorium Cempaka Sari, Kompleks PPj sepanjang Ramadan ini.

Jualan buku berkaitan Islam akan diadakan di Lobi Dewan Persidangan, Kompleks PPj pada setiap hari bermula 30 Jun hingga 9 Julai ini, dengan kerjasama Synergy Ilmu Resources Sdn Bhd.

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pula akan menganjurkan majlis berbuka puasa percuma untuk 2,000 jemaah setiap hari selain solat Tarawih bersama Imam Samy Ahmed Abd Rahman El-Feky dari Mesir dan tazkirah selepas Tarawih bersama Mufti Ismail Musa Menk dari Zimbabwe.

Pada masa sama, pihak masjid melakukan agihan bubur lambuk, menyediakan kaunter bayaran zakat fitrah dan tadarus al-Quran pada setiap hari sepanjang Ramadan manakala Qiamullail diadakan setiap hujung minggu sepanjang Ramadan selain Khatam Quran Perdana pada 21 Julai ini.

Beberapa tokoh terkenal turut dijemput bagi menyampaikan ceramah agama pada hujung minggu sepanjang Ramadan ini, termasuk Ustaz Kazim Elias (bersempena Nuzul Quran), Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, Ustaz Haryanto Rizal Rokman, Ustaz Ahmad Shukri Yusoff, Ustaz Fauzi Mustaffa, Ustaz Ebit Liew dan Ustaz PU Salman.

Tidak ketinggalan, selawat dan qasidah bersama Al Mawlid, dendangan syair, gurindam serta puisi Islam dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) selain persembahan oleh artis serta kumpulan nasyid seperti Raihan, Al Farabi, Nowseeheart, Inteam, Hafiz Hamidon selain Saujana turut diadakan pada hujung minggu.

Jenazah masih wangi, elok

Mayat guru al-Quran dikebumi pada 2006 masih sempurna

Segamat: Jenazah seorang guru agama yang dikebumikan kira-kira tujuh tahun lalu ditemui dalam keadaan sempurna dan berbau wangi ketika kerja menggali tanah perkuburan di Kampung Batu Badak, di sini.

Jenazah Allahyarham Maheran Jaaffar, yang meninggal pada 2006 adalah antara 350 kubur yang digali semula untuk dipindahkan bagi memberi laluan kepada projek melebar Jalan Segamat-Ledang.
Selain itu, dua jenazah lagi turut ditemui dalam keadaan sempurna dan berbau wangi walaupun dikebumikan sejak berdekad lalu.

Anak sulung Maheran, Hamisah Kassim, 67, berkata beliau terkejut dan hiba apabila dimaklumkan jenazah ibunya dalam keadaan wangi dan masih sempurna, termasuk kain kapan yang masih utuh.

Pemindahan kubur

“Kubur emak adalah yang pertama digali untuk dipindahkan ke Tanah Perkuburan Wakaf di Kampung Tasek. Saya terharu diberitahu jenazah ibu masih elok dan wangi.

“Mungkin itu balasan yang diterima ibu kerana ketika hayatnya arwah mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran. Seingat saya, arwah sentiasa mengamalkan amalan berselawat, berzikir dan sering bersedekah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Hamisah berkata, arwah ibunya juga seorang yang bertanggungjawab menjaga empat lagi adik-beradiknya dan seorang yang pendiam.

Sementara itu, Penyelia Tanah Perkuburan Jabatan Agama Johor (JAJ), Jamaluddin Sapuan, berkata semua jenazah yang digali semula itu dikapankan dan dikebumikan semula di Tanah Wakaf Kampung Tasek.

“Seramai 15 penggali kubur di bawah JAJ memulakan kerja menggali sambil dilihat beberapa jabatan kerajaan, waris dan penduduk setempat.

“Penemuan jenazah yang masih sempurna dan berbau wangi tanda kekuasaan Allah SWT dan balasan yang baik kepada mereka yang melakukan suruhan Allah,” katanya.

Lelaki menyamar polis ditahan ketika berkhalwat

KOTA BHARU: Seorang lelaki bertindak menyamar sebagai anggota polis ketika ditahan sepasukan penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHAEIK) atas kesalahan berkhalwat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superitendan Idris Abd Rafar berkata suspek berusia 23 tahun itu ditahan pada 6.45 pagi semalam di sebuah rumah di Kampung Sireh di sini.
"Suspek mengatakan beliau adalah anggota polis dan bertindak menunjukkan kad kuasa berwarna putih berlambang polis yang dibalut plastik lut sinar yang tergantung pada lehernya.

"Suspek menyamar bagi mengelakkan dia ditahan atas kesalahan berkhalwat dengan seorang wanita," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Turut ditemui, sepasang gari dan dua walkie-talkie, dan suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine, katanya.

Idris berkata suspek ditahan reman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki barang-barang yang dibekalkan kepada pegawai polis.

Mangsa dirogol ketika tidur sebelah ibu

Tidak tahu lelaki pasangannya bapa kandung

Kuala Lumpur: Seorang mangsa rogol bawah umur memberitahu mahkamah, dia melakukan hubungan seks dengan bapa kandungnya dengan rela hati dan bukan dipaksa.

Mangsa yang kini berusia 16 tahun memberitahu Mahkamah Sesyen semalam, dia tidak mengetahui lelaki berusia 54 tahun dikenali sebagai ‘Mat Kedah’ itu ialah bapa kandungnya ketika melakukan perbuatan itu di atas tilam di dalam bilik tidurnya yang turut dihuni ibu kandungnya.
Hasil hubungan itu, mangsa yang kini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Rembau, Negeri Sembilan selama tiga tahun melahirkan seorang bayi perempuan yang kini berusia setahun tujuh bulan selepas disahkan mengandung pada Ogos 2010.

Pengakuan itu dibuat ketika keterangan impak mangsa (VIS) di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid sebelum menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan tujuh sebatan terhadap bapa kandungnya itu yang mengaku salah merogol gadis berusia 14 tahun di sebuah rumah di Kampung Muhibbah di sini, jam 1 pagi, pada penghujung Julai 2010.

Mangsa mengakui kesan kejadian itu menyebabkan dia berasa malu kerana penghuni lain di rumah perlindungan mengetahui dia mengandung anak luar nikah.

Ibu reda

Ketika ditanya Emelia apa tindakan ibunya apabila mengetahui dia mengandung hasil perbuatannya dengan tertuduh, mangsa memberitahu ibunya tidak berkata apa-apa dengan alasan perkara itu sudah terjadi.
“Saya melakukan perbuatan itu bukan sebab paksaan dia (tertuduh) tetapi dengan rela hati,” katanya.

Emelia sempat menasihatkan mangsa supaya menjaga anaknya dengan baik dan mengingatkan wanita itu supaya tidak mengulangi perbuatan berkenaan serta mencari rezeki halal untuk membesarkan anak itu yang kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama tiga tahun.

Sebelum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh yang kelihatan sugul sepanjang prosiding kes, Emelia menempelak lelaki yang mempunyai empat rekod jenayah termasuk rogol dan dadah.

Tertuduh memberitahu mahkamah dia tidak tahu mangsa adalah anak kandungnya malah pada awal prosiding kes memberitahu hubungan dengan mangsa atas dasar kawan.

Mengikut fakta kes, pengadu adalah bapa angkat mangsa bertindak membuat aduan polis selepas mendapati anak angkatnya itu mengandung enam bulan hasil perbuatan tertuduh kerana bimbang anak dikandungnya itu akan dijual dan mangsa dijadikan pelacur.

Pada sekitar Julai 2010, mangsa memanggil tertuduh dan ibu untuk tidur di atas tilam di dalam bilik tidurnya sebelum lelaki itu merogolnya pada jam 1 pagi tetapi dia hanya bertindak mendiamkan diri.

Pesawat MAS dalam perjalanan ke Langkawi disambar petir

ALOR SETAR: Sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang sedang dalam perjalanan ke Langkawi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambar petir di bahagian enjin, tengah hari tadi.

Pihak MAS dalam kenyataan yang diemelkan mengesahkan kejadian itu membabitkan pesawat MH1348, namun tiada kemalangan dan kerosakan berlaku.
Seorang penumpang mendakwa kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 11.50 pagi tadi.

Bagaimanapun, pesawat berkenaan berjaya mendarat dengan selamat dan berlepas pulang semula ke KLIA selepas itu.

Zizan pelawak bertaraf jutawan

Minggu lalu, riuh juga mengenai pelawak terkenal, Zizan Razak yang keluar daripada syarikat pengurusannya, Wire Fame Entertainment Sdn Bhd sebab bernaung di bawah pengurusan syarikat yang lebih besar iaitu Astro. Syarikat lama itu adalah syarikat beliau sendiri yang diwujudkan dengan rakan kongsinya, Marina Juki.

Kak Pora hairan sebab Zizan keluar daripada syarikatnya sendiri. Mungkin, dia tidak mahu lagi dibayangi dengan kekasihnya, Emma Maembong yang turut diurus Wire Fame. Namun, pemilik Wire Fame khabarnya masih lagi atas nama Zizan bersama Marina. Mungkin juga Zizan nak beralih angin dan balas jasa Astro yang mula menaikkan namanya menerusi program Raja Lawak dulu.

Gerrard jadi bahan lawak

Liverpool: Steven Gerrard (gambar) mungkin boleh mentertawakan diri sendiri selepas dijadikan bahan lawak 'gara-gara tergelincir' ketika kecundang kepada Chelsea pimpinan Jose Mourinho.

Peminat seluruh negara banyak membicarakan mengenai saat kapten Liverpool itu tergelincir sehingga membuka laluan kepada Demba Ba menjaringkan gol untuk Chelsea di Anfield, bulan lalu dengan kemenangan Blues itu merencatkan impian lama Gerrard menjulang trofi kejuaraan.
Manchester City kini hanya selangkah untuk meraih kejuaraan kedua dalam tempoh tiga tahun dengan satu mata berdepan West Ham, esok sudah cukup untuk meraih kejuaraan. Liverpool akan menentang Newcastle di Anfield pada hari yang sama.

Dan pada anugerah hujung tahun Liverpool, Gerrard berkata: “Mesej paling besar apabila anda menandatangani perjanjian bersama kelab ialah anda tidak boleh terlalu gembira apabila menang anugerah atau trofi dan jangan terlalu kecewa apabila satu daripadanya terlepas - hanya sedikit tergelincir.

Masa depan cerah

“Anda akan terus bertarung daripada satu perlawanan ke perlawanan seterusnya tetapi bagi saya, berdiri di sini saya sangat bangga terhadap rakan sepasukan dan memiliki keyakinan tinggi sekiranya kumpulan pemain ini masih kekal bersama, kami boleh menambah sesuatu pada musim panas nanti dan kelab mempunyai masa depan yang cerah.”

Liverpool juga menyaksikan kelebihan tiga gol dimiliki mereka terlepas begitu saja di Crystal Palace Isnin lalu apabila pasukan tuan rumah bangkit selepas ketinggalan 3-0 untuk keputusan seri yang semuanya melenyapkan harapan Gerrard.

Saya akan berada di sana: Suarez

Montevideo: Penyerang berbisa Uruguay, Luis Suarez berjanji menerusi laman sosial twitter kepada peminat dan rakan sepasukannya yang dia akan beraksi di Piala Dunia sekalipun selepas menjalani pembedahan lutut.

Bintang Liverpool dan pemain Terbaik Tahunan Liga Inggeris itu menjalani pembedahan di lutut kirinya untuk memulihkan kembali kecederaan di meniskus yang dihadapi ketika latihan skuad kebangsaan, pertengahan minggu lalu.
Situasi itu membuatkan pemain berusia 27 tahun ini berlumba untuk kembali cergas tepat pada masanya sebelum sepak mula temasya Piala Dunia yang hanya berbaki 17 hari saja lagi.

Yakin pulih

Suarez yakin pulih tepat pada masanya dengan memaparkan mesej dalam Bahasa Sepanyol dan Inggeris menerusi twitter terbarunya itu.

Impian saya masih kekal, saya akan berada di sana.

Mesej itu turut digandingkan bersama video promosi dirinya bersama beberapa pemain terbaik Argentina termasuk Lionel Messi.
Selain Suarez, Presiden Persatuan Bola Sepak Uruguay, Wilmar Valdez juga yakin bintang itu akan sempat pulih dan sekiranya proses pemulihan berjalan dengan lancar, dia dengan segera mampu untuk berlatih.

Bersama Liverpool, Suarez merekod prestasi terbaiknya di England dengan meledak 31 gol dan membantu The Reds untuk menamatkan saingan kedudukan kedua liga menyaksikan kejuaraan hanya ditentukan pada hari terakhir kejohanan.

Uruguay yang juga juara Copa America 2011 berharap untuk menggandingkan Suarez bersama bintang Paris Saint-Germain, Edinson Cavani di jentera serangan.

Di Brazil kelak, Uruguay diundi bersama England, Itali dan Costa Rica dalam Kumpulan D.

Lelaki rogol wanita hamil minta maaf

Bachok: Seorang wanita yang mengandung tujuh bulan dirogol lima lelaki bergilir-gilir di sebuah sawah padi di Kampung Kuau, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa yang berusia 21 tahun dikatakan ke rumah rakan perempuannya di Kampung Tangok, sebelum keluar membonceng motosikal bersama adik perempuan rakannya bagi membeli makanan.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Abdul Hamid Che Ahmad berkata, mangsa yang mempunyai seorang anak berusia lima tahun, mengandung anak kedua manakala suaminya bekerja di Kuala Lumpur.


Bonceng motosikal

Katanya, mangsa mendakwa dia dan adik rakannya sedang membonceng motosikal sebelum didatangi kekasih adik rakannya bersama dua lelaki.

“Adik rakan mangsa dipaksa membonceng motosikal bersama teman lelakinya, manakala mangsa dipaksa mengikuti dua lelaki itu ke sebuah wakaf di kawasan sawah padi Kampung Kuau,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bachok, di sini.
Katanya, mangsa kemudian ditinggalkan bersama dua lelaki itu dan cuba mahu menelefon seseorang untuk mengambilnya.

Abdul Hamid berkata, berang dengan tindakan mangsa, seorang daripada lelaki itu menelefon tiga lagi rakannya dan mereka merogol mangsa secara bergilir-gilir.


Suspek mohon maaf

“Mangsa kemudian dihantar ke rumah rakannya di Tangok oleh seorang suspek jam 4.30 pagi, malah suspek dikatakan sempat meminta maaf kepada mangsa,” katanya.

Abdul Hamid berkata, mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Tawang.

Katanya, polis kini sedang mengesan semua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

'Rasa seluar digunting, ditarik ketika tidur'

Askar wanita terselamat daripada jadi mangsa rogol lelaki ceroboh bilik

Kuching: Seorang anggota tentera wanita yang tiba-tiba tersedar daripada tidurnya selepas berasa seluar panjang dipakainya ditarik sesuatu, berjaya menyelamatkannya daripada menjadi mangsa rogol seorang lelaki tidak dikenali yang menceroboh masuk ke biliknya, awal pagi kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi di sebuah kuarters di kem tentera di Kota Sentosa, di sini, ketika mangsa yang berusia 23 tahun sedang tidur di biliknya. Bagaimanapun, mangsa bernasib baik kerana terjaga terlebih dulu selepas berasa ada seseorang menggunting sebelum menarik seluar panjang dipakainya.

Azwan nak kawin Nad

Pada jam 3.30 petang Rabu lalu, Juwie tanya kepada hero baharu yang cun Mohd Al-Azwan Kombos: “Bila nak kahwin dengan pelakon jelita Nad Zainal?”

Terus terang Azwan jawab: “Insya-Allah kalau ada jodoh, nak kahwin. Tetapi bila tarikhnya tak tahu.
“Azwan tidak berani nak buat kepastian, mungkin tahun ini atau akan datang, terserah kepada ketentuan Allah SWT.”

Azwan, 28, dan Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin, 23, sudah beberapa tahun bercinta.

MH370: Malaysia tunggu maklum balas Bangladesh

KUALA LUMPUR: Malaysia menunggu maklum balas daripada negara di Teluk Benggala, terutama Bangladesh mengenai perkembangan pemeriksaan berhubung dakwaan pesawat MH370 mungkin berakhir di sana sebelum memutuskan tindakan susulan dan aset yang perlu dihantar.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ini kerana sebarang pengalihan tumpuan operasi mencari ke lokasi lain boleh menyebabkan kelewatan selama 14 hari.
"Saya sedang menunggu maklum balas negara berkaitan khususnya Bangladesh...kita tidak menyimpang daripada prosedur operasi standard," katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata beliau bersetuju dengan pandangan Ketua JACC, Angus Houston, bahawa pesawat MH370 tidak berakhir di Teluk Benggala, sebaliknya di selatan Lautan Hindi.

"Tiga kapal bangladesh dan kapal bantuan berada di kawasan itu tetapi tidak menemui apa-apa," katanya.

Manfaat rahmat Ramadan: PM

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengajak umat Islam di negara ini memanfaatkan bulan Ramadan dengan memupuk semangat penyatuan dalam ibadat yang murni.
Beliau berkata, bulan Ramadan adalah bagi umat Islam memperteguhkan hubungan dengan Allah SWT dan hubungan silaturahim dengan anggota keluarga mahupun masyarakat.

“Alhamdulillah, kita mengungkapkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT, kita bertemu lagi dengan Ramadan al-Mubarak yang penuh kemuliaan ini. Sesungguhnya, kehadiran Ramadan 1435 Hijrah ini sentiasa kita nanti-nantikan. Inilah masanya, kita mengambil peluang yang sangat bernilai untuk menghayati kemanisan beribadah mengabdikan diri kepada Allah SWT,” katanya dalam perutusan sempena Ramadan yang dimuat naik di laman blognya www.1malaysia.com.my.

Anak pemuzik rock jadi pengacara program agama

Melangkah kaki ke dunia penyiaran menjadi dambaan ramai gadis seusianya. Bagi Raja Noor Anis Suefia Raja Arif Shah, 22, beliau mengakui rezeki dan tuah memang ditakdirkan untuknya.

Sebaik selesai menjalani latihan amali di televisyen Al-Hijrah, beliau terus disunting untuk menjadi pengacara program di stesen terbabit.
“Saya bermula dengan rancang Man Jadda Wajada pada 2013. Saya memulakan tugas sebagai pengacara dan tahun ini, saya diberikan kepercayaan mengemudi rancangan dalam slot Assalamualaikum, iaitu Evolusi Y,” katanya kepada HIP, baru-baru ini.

Lebih mesra disapa Suefi, beliau berkata, pesan bapanya juga sentiasa menjadi pegangan sebaik membuat keputusan menceburi dunia terbabit. Membesar dikelilingi adik-beradik perempuan, ia membuatkan mereka sering diingatkan oleh orang tua supaya sentiasa pandai menjaga diri.

“Bapa juga sentiasa pesan pada saya agar pandai membawa diri, terutamanya apabila memilih untuk menceburkan diri dalam penyiaran,” kata anak ketiga daripada empat beradik ini.

Pesan bapa selalu diingati

Pesanan itu pasti berasas dan berdasarkan pengalaman sendiri. Bapa Suefi ialah anak seni yang sudah bertahun-tahun bergelar pemuzik.
Bercerita lanjut, gadis yang murah dengan senyuman itu memberitahu, bapanya ialah pemain keyboard bagi kumpulan rock, NRG.

“Bapa saya memang selalu ingatkan supaya tahu niat sebenar apabila melakukan pekerjaan. Seperti dirinya yang memilih kerjaya dalam bidang seni untuk mencari rezeki, beliau selalu mengingatkan saya agar fokus dengan kerjaya, lebih-lebih lagi saya perempuan,” kata gadis dari Kuala Lumpur ini.

Suefi memberitahu, adik bongsunya ialah satu-satunya anggota keluarga yang menunjukkan minat dalam bidang muzik, mewarisi bakat bapa mereka.

“Kami semua sukakan hiburan dan tidak salah berhibur asalkan tahu batasannya. Saya sendiri meminati muzik jazz,” katanya.

Mengenai kerjaya pengacaraan, beliau memang meminati jalur agama untuk meneruskan cita-citanya dalam bidang itu.

“Masing-masing ada pilihan sendiri. Tidak salah bidang apa juga kita ceburi, asalkan kena dengan caranya,” tuturnya merendah diri.

Tertarik isu berkaitan agama

Lulusan Diploma Komunikasi dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) ini berkata, memang sejak awal beliau tertarik dengan program seperti Assalamualaikum yang mengetengahkan isu berkaitan agama dan gaya hidup.

“Sejak belajar saya memang menyimpan impian untuk terbabit dalam rancangan seperti ini, bukan saja sebagai pengacara tetapi juga wartawan siaran supaya dapat menggunakan ilmu yang saya pelajari,” katanya.

Berhubung cabaran sebagai personaliti yang dikenali umum, tambahan pula apabila menerusi rancangan bercorak keagamaan, Suefi tidak menganggapnya sebagai tekanan atau kekangan.

Beliau yang masih solo menegaskan, dirinya tetap manusia biasa dan bebas melakukan pelbagai aktiviti asalkan tidak bertentangan agama.

'Kami mahu kebumi Wati ikut syarak'

Batu Pahat: Biarpun hanya cebisan tulang atau sekadar abu, keluarga Datuk Sosilawati Lawiya tetap berharap dapat menyempurnakan pengebumian Allahyarhamah dengan sempurna, tanda kasih sayang abadi.

Adik jutawan kosmetik berkenaan, Rosnani Lawiya, 49, berkata besar harapan keluarganya supaya apa saja tinggalan jasad kakaknya, disemadikan di perkuburan sebagai tanda penghormatan.
“Inilah harapan kami... jika masih ada tinggalan Kak Wati, tak kiralah apa saja, cebisan tulang atau abu sekalipun, dapatlah dikembalikan kepada kami supaya disemadikan mengikut syarak.

“Walaupun kami sekeluarga bersyukur kerana semua penjenayah sudah dijatuhi hukuman setimpal, perasaan ralat masih ada selagi tinggalan Allahyarhamah tidak disemadikan secara sempurna.

“Sekurang-kurangnya ada pusara atau tanda supaya mudah kami sekeluarga memberi penghormatan terakhir terhadap segala jasa dan pengorbanannya yang besar kepada kami,” katanya kepada BH, di sini semalam.

Hukuman gantung

Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas bekas peguam, N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya selepas didapati bersalah membunuh Sosilawati dan tiga individu lain tiga tahun lalu.
Sebelum ini, tokoh agama yang juga penceramah dan pendakwah bebas, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz, dilaporkan berkata, jenazah mangsa pembunuhan masih boleh diurus dan disempurnakan pengebumiannya seperti jenazah biasa, walaupun yang tinggal hanya cebisan tulang dan abu mayat.

Abu Hassan dilaporkan berkata, walaupun keadaan mayat langsung tidak dikenali dan hanya tinggal tulang, semua tulang dan abu milik mangsa perlu dikumpul dan dibungkus dengan kain putih secara tertib dan disembahyang serta dikebumikan seperti biasa.

Sementara itu, suami Rosnani, Misjan Jamikun, berkata mereka akan berbincang dengan anak kakak iparnya itu di Kuala Lumpur bagi menyemadikan tinggalan jasad Allahyarhamah di kampung halamannya, di sini.

Erin kesal bapa ikut Fiza

BARU saja beberapa hari memulakan tugas di pejabat selepas bercuti panjang sempena Aidilfitri baru-baru ini, sudah berjela-jela cerita gosip yang berjaya Zubir kumpulkan, hanya menunggu saat dan ketika yang sesuai saja untuk dikongsi bersama pembaca yang sentiasa memberi sokongan.
Seperti kelazimannya, sebelum Zubir bercerita panjang lebar mengenai inti pati gosip minggu ini, biarlah Zubir mulakan dulu dengan kisah seorang pegawai perhubungan awam (PR) yang berlagak diva, perasan dirinya umpama aktor sehebat Brad Pitt! Walhal dirinya hanya PR di sebuah sektor korporat di ibu kota, jauh sekali PR atau pengurus kepada artis atau selebriti popular tanah air.

Segala-galanya bermula apabila Zubir dan teman wartawan hiburan mendapat undangan menghadiri tayangan khas filem muzikal pengembaraan pertama Malaysia, Magika, terbitan KRU Studios Sdn Bhd di e@Curve, Mutiara Damansara, Selangor pada 21 September lalu. Berdasarkan maklum balas dan komen daripada karyawan seni yang menonton filem berkenaan, insya-Allah Magika bakal mencatat kutipan box-office!

Sebaik selesai tayangan filem berkenaan, semua tetamu terutama pihak media massa diundang ke bilik khas untuk menghadiri sidang media membabitkan pengarah Magika, Edry Abdul Halim bersama barisan pelakon utamanya seperti Ziana Zain, Mawi, Diana Danielle, M Nasir, Ning Baizura, Vanidah Imran, Sharifah Aleya dan Sharifah Amani.

Namun, ketika pihak wartawan sibuk menemuramah artis terbabit, Zubir perhatikan gelagat seorang PR yang berjalan ke hulu ke hilir, mundar mandir di celah artis seolah-olah ingin mencuri perhatian tetamu yang hadir! Bersama pakaian ala-ala artis dan berjalan umpama model catwalk, kemunculannya ketika sidang media itu, menyakitkan banyak mata yang memandang! Bukan Zubir saja, tapi teman wartawan lain juga naik ‘rengsa’ dengan gelagat overnya itu!

Mamat ni bukannya ada kepentingan dalam sidang media berkenaan, tapi menyibuk saja menonjolkan diri untuk bersama artis. Dia ni asal saja ada artis, tiba-tiba nak menempel tumpang glamor! Itulah sebabnya Zubir panggil dia Brad Pitt Malaysia, perasan diri popular, walhal kehadiran diri anda pada sidang media itu tak pernah diperlukan! Hello kawan, dah dapat undangan menonton premier Magika pun dah cukup baik, tak perlu berlagak persis artis Hong Kong!
Tolonglah, tak perlu guna alasan dapat undangan ke sidang media premier Magika daripada si polan itu, si polan ini, hakikatnya anda hanya PR yang bukan syarikat hiburan dan bukannya kerjaya anda pada malam berkenaan ada kena mengena membantu artis mahupun pihak media, sebaliknya macam hendak menagih glamor semata-mata, jadi tak perlulah berlagak atau perasan hebat!

Baiklah, cukup cerita mengenai PR yang gila glamor itu. Sekarang Zubir ingin mengimbas kembali ingatan pembaca mengenai gosip bekas anggota Elite, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim atau Fiza, 29 yang didakwa berkawan rapat dengan jurukamera drama bersiri, Syahjihan dikenali sebagai Malek Marwi, 35. Hubungan Fiza dan Malek mendapat tentangan daripada anak Malek sendiri iaitu aktres cilik popular, Erin Malek, 16.

Gosip mengenainya pernah dipaparkan di ruangan ini menerusi artikel berjudul ‘Erin Malek berang bapa, Fiza berkawan rapat’ terbitan B*POP 5 September lalu. Menerusi kenyataan Erin sebelum ini, dia mendakwa bapanya berkawan dengan Fiza, namun Malek sudah pun meminta maaf di atas kesilapannya kerana mengabaikan perhatiannya terhadap keluarga, lebih-lebih lagi ke atas Erin yang memang rapat dengan dirinya.

Erin juga pernah memaklumkan kepada Zubir, ketika cuti sempena Aidilfitri baru-baru ini, dia sekeluarga termasuk Malek menghabiskan percutian di Phuket, Thailand kerana dia dan bapanya akan menjalani aktiviti selam skuba. Justeru, Zubir menganggap, keluarga berkenaan sudah kembali bahagia apabila Malek sudah pun melupakan Fiza untuk kembali bersama isterinya, Liza dan anak-anaknya.

Namun, tanggapan Zubir meleset sama sekali. Menurut cerita sumber yang rapat dengan keluarga berkenaan, sebaik saja pulang dari Phuket, Malek tiba-tiba menghilangkan diri dari rumah! Mulai 17 September lalu, Malek keluar rumah tanpa pengetahuan isteri dan anak-anaknya. Lebih menarik, kira-kira jam 1.50 petang, kelibat Fiza muncul di luar kediaman Malek di Pandan Mewah Height lalu menjemputnya pergi! Fiza dan Malek dilihat meninggalkan kawasan perumahan itu sekitar jam 2 petang.

Sehingga berita ini ditulis pada 22 September lalu, Malek tidak pulang ke rumah, tanpa mengirimkan sebarang khabar berita kepada keluarganya. Zubir difahamkan, Malek sengaja meninggalkan telefon bimbitnya di rumah agar dia tidak dihubungi. Sejak keluar dari rumah, keluarganya terputus hubungan dengan Malek. Menurut sumber, Malek dan Fiza khabarnya bercuti di Pulau Pinang dan Perlis sepanjang tempoh kehilangan jurukamera berkenaan.

“Erin tertekan apabila Malek tergamak keluar rumah meninggalkan keluarga. Fikirannya bertambah buntu apabila ada ura-ura ibu bapanya mungkin akan berpisah. Aku hairanlah, kenapa Malek dan Fiza masih berhubungan, sedangkan masing-masing ada keluarga sendiri. Fiza pula khabarnya sanggup meninggalkan anak-anaknya di rumah mentua, semata-mata ingin bersama Malek, dia bagi alasan shooting, tolonglah jangan main drama!,” cerita sumber berkenaan kepada Zubir, baru-baru ini.

Difahamkan, sebelum keluar rumah, Malek sempat meninggalkan sekeping nota, memaklumkan dia minta maaf dengan isteri kerana keluar rumah tanpa pengetahuan Liza, selain berkecil hati kerana mendakwa anak-anak seolah-olah tidak mempedulikannya lagi.

“Semua itu alasan Zubir! Yang pasti, Malek dan Fiza masih ada hubungan istimewa. Sekalipun kau pernah tulis kisah mereka di dalam ruangan gosip, namun kedua-duanya tidak pernah mengendahkannya, dia orang berdua ni memang keras hati! Kalau Malek nak kahwin dengan Fiza, mustahil kerana dia masih isteri Farriq,” tambah sumber berkenaan.

Zubir tak mahu komen lebih-lebih, insya-Allah pada masa akan datang, Zubir akan minta penjelasan daripada pakar agama apa hukumnya Fiza dan Malek boleh berbuat sesuka hati mereka!

ZUBIR: Bintang AF8 hebat mengata rakan wartawan yang pernah mengkritik perangai divanya sebelum ini, tapi apabila bertemu, siap cium tangan!

Yuna ulas baju ketat

Ada harga yang perlu dibayar penyanyi ini tatkala namapanya di puncak populariti. Tiada istilah privasi atau peribadi untuk anak seni bernama Yunalis Zarai atau lebih dikenali sebagai Yuna ini. Gerak-gerinya sentiasa diperhatikan.

Malah, apa saja yang dimuat naik di laman sosial seperti Instagram dan Facebook akan menjadi bahan bualan dalam sekelip mata.
Terbaharu, hanya kerana memuat naik sekeping foto menampakkan dirinya memakai baju hitam ketat paras pusat di laman Facebook, penyanyi yang mencipta nama di Amerika Syarikat (AS) ini dikecam pelayar laman sosial.

Padam gambar di laman sosial

Sebagai penyanyi berhijab, penampilan gadis tinggi lampai ini dikritik hebat menerusi ruangan komentar sehingga memaksa penyanyi Terukir Di Bintang itu memadam foto terbabit.

Remaja dirogol di rumah sendiri

MIRI: Seorang remaja berusia 14 tahun dirogol seorang lelaki tidak dikenali yang menceroboh kediamannya di Bandar Baru Permyjaya, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata kejadian berlaku jam 12.02 tengah malam ketika mangsa hanya tinggal berdua dengan adiknya yang berusia tujuh tahun.
Ibu bapa mangsa tidak ada di rumah kerana menziarahi saudara yang meninggal dunia, katanya kepada Bernama, di sini.

Menurut Gan remaja itu diserang seorang lelaki bertopeng yang mengacu pisau ke lehernya ketika memeriksa bunyi bising di bahagian belakang rumah.

"Lelaki itu kemudian membawa mangsa masuk ke bilik dan menutup muka mangsa dengan bantal sebelum merogolnya," kata Gan.

Beliau berkata suspek yang dipercayai memasuki rumah itu menerusi pintu dapur, kemudian melarikan diri dan mangsa menghubungi ibu bapanya untuk memaklumkan kejadian sebelum mereka membuat laporan polis.

Mahkamah putuskan pernikahan Sham Kamikaze dan isteri tidak sah

KUANG: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, memutuskan pernikahan antara bekas gitaris kumpulan Kamikaze, Shamril Mohd Salleh (Sham) dengan isterinya, Nurul Halimin Mohd Salleh pada 16 Januari 2012 di Masjid Padang Ibu, Pulau Pinang adalah tidak sah dan terbatal.

Berikutan itu, Hakim syarie, Kamarulzaman Ali memerintahkan pernikahan pasangan itu difarakkan (dibubarkan) serta-merta mulai hari ini (27 Jun) dan sijil pernikahan yang disahkan palsu oleh Pejabat Agama Islam Daerah Seberang Prai Tengah (SPT) dilupuskan.
Hakim Kamarulzaman memutuskan demikian selepas mendapati pernikahan itu dijalankan oleh wali hakim yang tidak sah, selain segala proses pernikahan diuruskan oleh pihak ketiga yang tidak bertauliah.

Beliau turut memutuskan anak pasangan itu, Aisy Dannial yang dilahirkan pada 21 Januari lalu adalah anak sah taraf dan boleh dinasabkan kepada Sham sebagai bapa kandung.

Kualiti udara baik di kebanyakan kawasan pagi ini

KUALA LUMPUR: Kebanyakan tempat di seluruh negara mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras baik setakat 10 pagi ini.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), 20 lokasi bagaimanapun merekodkan bacaan IPU sederhana termasuk Nilai (85), Pelabuhan Klang (80), Shah Alam (74), Petaling Jaya (71), Kemaman (70), Putrajaya (67) dan Cheras (63).
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai bahaya.

Orang ramai boleh merujuk portal www.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU di kawasan masing-masing.

Polis buka kertas siasatan kes wanita OKU dikurung 10 tahun

KOTA BHARU: Polis buka kertas siasatan kes wanita orang kelainan upaya (OKU), Nasitah Yahya, 44, yang dikurung selama 10 tahun mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim dalam sidang media di sini, sebentar tadi.

Jalan TAR, Masjid India antara syurga beli-belah bulan puasa

KUALA LUMPUR: Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan sekitar Masjid India sinonim sebagai kawasan membeli-belah di ibu negara, lebih-lebih lagi ketika umat Islam menyambut Ramadan yang bermula hari ini dan seterusnya Aidilfitri sebulan lagi.

Pengunjung dilihat sanggup meredah kesesakan lalu lintas di ibu negara terutama pada hujung minggu untuk ke Jalan TAR bagi mendapatkan apa yang diidamkan diri sendiri dan anggota keluarga.

Seorang kerani di sebuah syarikat swasta, Nur Nazihah Mazlan, 28, berkata beliau lebih gemar membuat persiapan awal sebelum Ramadan bermula kerana tidak sanggup bersesak dengan lautan manusia menjelang 1 Syawal.

"Saya suka berkunjung ke sini kerana terdapat baju dengan fesyen terkini. Juga ada banyak pilihan barangan dan saya boleh dapatkan apa yang diperlukan di satu tempat sahaja," katanya ketika ditemui Bernama.

Antara produk 'wajib beli' yang mudah didapati di sekitar Jalan TAR-Masjid India ialah kurma untuk berbuka puasa yang menyaksikan penjual mampu mengaut pendapatan lumayan.

Peniaga kurma, Normala Abdullah, 40, berkata nilai jualan yang diraihnya boleh mencecah sehingga RM3,000 sehari.

"Pelbagai jenis kurma dijual termasuk jenis Safawi dan Mariami yang mendapat sambutan ramai. Tetapi saya terpaksa kurangkan kuantiti kurma yang dijual di gerai saya kerana ruang berniaga yang agak terhad," jelasnya.
Roslina Yusuf, 40, peniaga kain pelikat dan kain batik selama hampir 18 tahun di sekitar Jalan TAR, berkata beliau teruja dengan sambutan menggalakkan daripada pembeli.

Menurutnya mereka bukan sahaja dari Kuala Lumpur dan Selangor, tetapi ada yang datang dari negeri seperti Kedah dan Johor untuk membeli barangannya secara pukal.

"Kebetulan ini merupakan minggu gaji masuk," katanya sambil menambah sambutan menggalakkan pembeli juga dapat dilihat sejak pagi di gerai-gerai lain. --

Bagi Hasibah Abdul Kadir, 43, dari Port Dickson, Negeri Sembilan, beliau sanggup memandu jauh ke Jalan TAR sebagai persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri kerana kepelbagaian barangan yang ditawarkan pada harga berpatutan.

"Kebiasaannya kami sekeluarga berkunjung ke sini untuk melihat perhiasan rumah dan pakaian yang menyediakan banyak pilihan serta harga yang murah," jelasnya.
Beliau bagaimanapun berharap peniaga memperbanyak pilihan pakaian kanak-kanak kerana mendapati tumpuan lebih diberi kepada pakaian orang dewasa.

Dalam pada itu, Penguasa Jabatan Penguatkuasaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Mohd Hariyadi Mohd Nor berkata tapak jualan lebih luas kepada peniaga dan penjaja berlesen di Jalan Masjid India dicadang diwujudkan dengan menutup sebahagian daripada kawasan letak kenderaan di situ.

Menurutnya DBKL juga mengadakan kawalan di sekitar Jalan TAR dan Jalan Masjid India sepanjang Ramadan melibatkan kira-kira 400 anggota penguat kuasa DBKL. 

Friday, 20 June 2014

Hodak mahu pemain fokus

Johor Bahru: Bojan Hodak mengingatkan pemainnya supaya tidak beraksi dalam keadaan tertekan apabila menyambut kunjungan Kelantan pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, malam ini.
Pertembungan itu sangat penting buat Johor Darul Ta'zim (JDT) yang perlu diterjemahkan dengan kemenangan selepas dipalit kekalahan 2-1 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Selasa lalu, bagi memastikan tangga teratas kekal dalam dakapan mereka.
Strategi lebih ampuh
Begitupun, Hodak terpaksa memikirkan strategi lebih ampuh selepas beberapa tonggak utama tidak dapat diturunkan pada perlawanan terakhir di laman sendiri termasuk Aidil Zafuan Abd Radzak yang digantung akibat kad merah pada aksi menentang ATM.
"Bukan saja kami kehilangan Aidil Zafuan, malah Mahali Jasuli yang mengalami kecederaan, manakala Daudsu Jamaluddin pula terpaksa diketepikan kerana penggantungan satu perlawanan serta penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan akibat demam.
"Ia jelas beri cabaran kepada saya untuk mengatur taktikal ampuh berdepan Kelantan yang tampak semakin konsisten dan memiliki kesebelasan mantap. Saya jangkakan pertembungan antara JDT dan Kelantan ibarat final,” katanya ketika ditemui di Padang Seri Gelam, dekat sini, semalam.
Dalam pada itu, Hodak juga sedang memikirkan pengganti Izham Tarmizi seandainya penjaga gol utama JDT itu tidak dapat diturunkan. Dia memiliki pilihan sama ada Norazlan Razali dan Muhammad Al-Hafiz Hamzah bagi mengisi tempat berkenaan.
Disamping tiga mata, jurulatih ini juga mahu memastikan rekod bersih JDT di laman sendiri tidak tercalar dan yakin `pemain ke-12’ iaitu penyokong skuad itu mampu menjadi pencetus kebangkitan untuk melakar kemenangan.
"Kita memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri dan kesempatan itu harus digunakan.Saya tidak mahu bergantung kepada keputusan pasukan lain kerana tumpuan lebih kepada JDT sendiri.

Ujian sebenar

Salvador: Walaupun Perancis kini menguasai takhta, pertembungan dengan Switzerland, awal pagi esok akan menjadi penentu pasukan mana yang benar-benar hebat dan lebih layak menerajui Kumpulan E.
Kedua-dua pasukan membuka langkah bergaya dalam perlawanan sulung, dengan Les Bleus membenam cabaran Honduras 3-0, manakala Switzerland mencuri kemenangan pada akhir permainan ke atas Ecuador, 2-1.
Apa pun, dengan Switzerland menghuni ranking keenam dunia, berbanding Perancis ke-17, pertemuan itu pasti menjadi ujian getir buat Les Bleus, umpama buku dengan ruas.
Ini kerana Les Blues perlu memperlihatkan kehebatan mereka, memandangkan pada perlawanan pertama bertemu Honduras, cabaran yang diterima tidak terlalu hebat. Tindakan kurang cerdik, Wilson Palacios, bukan saja membolehkan Les Bleus untuk mendapat tendangan penalti, malah sekali gus menamatkan cabaran perlawanan itu.
Hanya kemenangan yang berpihak kepada Switzerland atau Perancis, menyaksikan salah satu pasukan itu melayakkan diri ke pusingan kalah mati.

Piala Dunia: Jepun sia-siakan peluang raih mata penuh

NATAL: Greece yang terpaksa bermain dengan 10 orang mengikat Jepun apabila seri tanpa jaringan pada perlawanan Kumpulan C sebentar tadi sekali gus masih berpeluang untuk melayakkan diri ke pusingan 16 terakhir.

Kedua-dua pasukan meraih satu mata tetapi belum mencukupi untuk mengukuhkan kemaraan dari kumpulan berkenaan yang dikuasai Colombia dengan dua kemenangan.
Colombia sudah mengesahkan kemaraan ke peringkat 16 terakhir dalam Kumpulan C manakala Ivory Coast di tempat kedua dengan tiga mata.

Pemain tengah Greece dan kapten pasukan, Kostas Katsouranis diperintah keluar padang selepas minit ke-38 akibat dilayangkan kad kuning kedua yang menyebabkan pasukannya terpaksa bertahan pada sebahagian besar babak kedua perlawanan.

Mereka bertahan habis-habisan bagi menyekat serangan bertali arus Jepun tetapi skuad Negara Matahari Terbit itu ketiadaan penyudah terbaik walaupun menguasai permainan.

Piala Dunia: Gerrard menyesal kesilapan gol kedua Uruguay

SAO PAULO: Kapten England, Steven Gerrard menyesal di atas kesilapan olehnya yang membuka ruang kepada Uruguay merakamkan gol kemenangan, awal pagi tadi.

Pemain tengah berusia 34 tahun itu turut menyuarakan betapa faktor kekurangan pengalaman menyentap cabaran pasukan. Pada firasatnya mereka kini memerlukan satu keajaiban untuk terus kekal dalam perjuangan di Piala Dunia kali ini.
Gerrard tersalah agak ketika menanduk bola dari tengah sebelum ia disambar oleh Suarez - rakan sepasukannya di Liverpool - untuk merembat masuk gol kedua - sekali gus mengesahkan kemenangan 2-1 untuk Uruguay dalam saingan Kumpulan D.

“Saya cuba mencari ketepatan ketika menanduk dan saya gagal,” katanya yang beranggapan satu mata untuk England mungkin satu keputusan yang adil selepas menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki 15 minit ditamatkan.

Keputusan itu menyaksikan England gagal mengutip sebarang mata ketika Itali, Costa Rica dan Uruguay masing-masing sudah menghimpun tiga mata. Tapi andai Itali menewaskan Costa Rica dan Uruguay, England mungkin akan layak.

Apa pun, Gerrard berkata jaringan yang membocori gawang England adalah kehambaran benteng pasukan sendiri.

“Kami harus bertanggungjawab sebagai satu pasukan di atas kekalahan ini,” katanya.
Dia turut menambah tiada apa yang menghairankan kejayaan Suarez menjaringkan dua gol dalam perlawanan itu.

“Kami tahu. Ia bukan satu kejutan,” katanya. “Setiap pemain mengerti kemampuan Suarez. Dia memiliki dua peluang dan mengautnya dengan baik. Dia masih berbisa seperti dulu walaupun tidak beraksi lima minggu.”

Saya tak akan letak jawatan - Roy Hodgson

SAO PAULO: Pengendali England, Roy Hodgson menegaskan beliau tidak bercadang untuk meletakkan jawatan ekoran persembahan terburuk skuad negara itu dalam tempoh 56 tahun beraksi di Piala Dunia.

Sebaliknya, Hudgson yakin masih ada masa depan yang cerah buat skuad England kecualilah majikannya, Persatuan Bola Sepak England ingin berbuat sesuatu terhadap kedudukannya.
Awal pagi tadi, England tumpas buat kali kedua dalam kempen peringkat kumpulan Piala Dunia apabila dikecewakan 1-2 oleh Uruguay di Sao Paulo.

“Saya turut kecewa, namun saya tidak fikir saya perlu berundur, tidak," kata pengendali berusia 66 tahun itu kepada stesen penyiaran Britian, ITV.

Hodgson berkata, gol kemenangan Uruguay menerusi Luis Suarez yang juga gol keduanya pada perlawanan itu adalah satu 'kemusnahan' kepada England selepas
Wayne Rooney menyamakan kedudukan.

“Kami bercaya kami boleh melakukan yang terbaik selepas berusaha keras menyamakan kedudukan 1-1.
"Kami fikir kami boleh meneruskan perlawanan untuk sekurang-kurangnya seri namun gol kedua Suarez memusnahkan impian itu. Saya tidak tahu apa lagi untuk diucapkan ketika ini," katanya.

Tarikh lihat anak bulan Ramadan 27 Jun

KUALA LUMPUR: Tarikh dan masa melihat anak bulan Ramadan untuk menetapkan permulaan puasa ialah pada petang Jumaat, 27 Jun bersamaan 29 Syaaban.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan pada Jumaat berkata Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan Puasa melalui radio dan televisyen.
Menurut pejabat itu, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan akan melihat anak bulan Ramadan di Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Manjong, Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.
Lokasi lain ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu di Terengganu; Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putera Semerak, Kota Baharu di Kelantan.
Tempat lain pula ialah di Tanjong Lubang, Miri; Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah; Bukit Tanjung Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang; Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.

Muhyiddin gesa lebih banyak sekolah tubuh kelab menjenayahkan perang

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa lebih banyak sekolah di negara ini menubuhkan Criminalise War Club (CWC) (kelab menjenayahkan perang) untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelajar bahawa perang itu ialah jenayah terhadap kemanusiaan.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan berkata, pelajar perlu diberi kesedaran bahawa sebagai pemimpin masa depan, mereka perlu berani dan aktif dalam memenuhi agenda menjenayahkan perang melalui kegiatan dan program yang bermakna untuk menggalakkan keamanan dan keharmonian dalam negara.
"Peperangan mencabuli setiap hak seorang kanak-kanak seperti hak untuk bersama keluarga, hak kepada pendidikan, hak terhadap kesihatan, hak untuk dididik dan dilindungi. Kita bimbang bahawa jika peperangan tidak dianggap sebagai jenayah, lebih banyak kanak-kanak akan menjadi mangsa pada masa akan datang.
"Saya amat berharap lebih banyak sekolah akan melancarkan penubuhan CWC di seluruh negara," katanya dalam ucapan pelancaran CWC Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya di sini hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching.
Muhyiddin turut memberi penghargaan kepada pengasas dan Pengerusi CWC, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang menjayakan usaha mulia ini untuk melindungi para pelajar negara daripada peperangan, dengan penubuhan CWC.
Yang turut hadir ialah pemegang amanah Kuala Lumpur Foundation to Criminalise War, Tunku Datuk Dr Sofiah Jewa, dan Pengerusi Perdana Global Peace Foundation Tan Sri Norian Mai.
Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya menubuhkan CWC ketiga di negara ini. Dengan kebenaran Kementerian Pendidikan untuk menubuhkan CWC pada 19 Oktober 2012, CWC pertama dilancarkan di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban pada 11 April tahun lepas, diikuti dengan pelancaran kelab itu di Cempaka International School pada September.
CWC bertujuan untuk membina sebuah komuniti yang mempunyai pengetahuan mendalam, kesedaran dan pemahaman mengenai kesan peperangan, terutama terhadap wanita dan kanak-kanak.
Sementara itu, Siti Hasmah berkata pelajar sebagai pemimpin hari esok, perlu memahami sepenuhnya Piagam CWC bagi menyemarakkan lagi keamanan dan persahabatan baharu dengan semua, tanpa mengira kaum dan agama.
Beliau berkata Malaysia menikmati keamanan dan kestabilan yang membolehkan ia menjadi sebuah negara membangun. Bagaimanapun, pada masa sama, kanak-kanak tidak mengetahui impak konflik, bantahan dan rusuhan.
"Ini sebabnya mengapa kita mempunyai CWC, untuk mengajar mereka bahawa mereka perlu menjauhkan diri daripada peperangan dan pembunuhan dan konflik dalam sebarang bentuk.
"Saya gembira dengan penubuhan CWC di Sekolah Sultan Alam Shah kerana ia menunjukkan bahawa terdapat pihak yang memahami misi kita, apa yang kita cuba untuk capai dan mengapa pentingnya untuk mempunyai CWC di sekolah-sekolah di negara ini.
"Saya yakin bahawa Sekolah Sultan Alam Shah akan memainkan peranan utama bukan sahaja untuk mengerakkan sepenuhnya CWCnya sendiri tetapi membuka jalan bagi sekolah-sekolah lain mencontohinya," katanya.
Siti Hasmah juga mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin dan Kementerian Pendidikan yang membantu dalam menyusun sebuah buku panduan bagi tujuan menggerakkan kelab berkenaan.

Thursday, 19 June 2014

Selfie kerana peminat

Interaksi dengan peminat secara langsung dan kecanggihan aplikasi yang mampu mengubah penampilan menjadi lebih cantik serta tampan, mendorong selebriti tempatan merakamkan aksi selfie.
Ramai artis tempatan yang dihubungi HIP, mengakui sering melakukan selfie kerana menganggap ia kaedah paling mudah dan berkesan untuk berinteraksi dengan peminat.
Melalui reaksi diterima, amalan selfie menjadi satu keseronokan dan cara paling mudah menarik perhatian peminat bagi artis muda atau pendatang baharu dunia seni.
Namun, bagi artis senior, mereka lebih berhati-hati ketika merakamkan aksi selfie atau berkongsi maklumat di laman sosial bagi mengelak kontroversi atau tohmahan peminat.

Hukum mati kerana bunuh pegawai perancang keluarga

Beijing: China semalam menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang lelaki kerana membunuh dua pegawai perancang keluarga, lapor media, dalam kes yang menonjolkan ketegangan disebabkan had kelahiran negara itu.
Mahkamah di wilayah Guangxi mendapati He Shenguo bersalah menikam kedua-dua mangsa sehingga mati di bandar raya Dongxing, Julai lalu, menurut penyiar CCTV.
“Beliau menjadi bapa kepada anak keempat secara tidak sah,” lapor penyiar itu.
China mengehadkan pasangan cuma mempunyai seorang anak menurut peraturan yang diperkenalkan pada lewat tahun 1970-an.
Guna permit, denda
Pihak berkuasa menggunakan permit, denda dan dalam sesetengah kes memaksa pemandulan dan pengguguran saat akhir untuk menguatkuasa undang-undang, kadang-kadang secara kejam, terutama di kawasan miskin seperti Guangxi.
Beliau tidak membayar denda yang dikenakan terhadapnya kerana memiliki anak lebih, menurut laporan tahun lalu, sambil menambah bahawa beberapa orang cedera dalam serangan itu.
China berkata, peraturan itu, dikenali sebagai dasar satu anak, mengatasi masalah kekurangan makanan dan meletakkan asas bagi perkembangan ekonomi negara itu.
Pengkritik menegaskan peraturan berkenaan menyumbang kepada ketidakseimbangan jantina di China, dengan hampir 118 kanak-kanak lelaki dilahirkan untuk 100 perempuan pada 2012.
Parti Komunis November lalu berkata pasangan dibenarkan memiliki dua anak jika salah seorang ibu bapa adalah anak tunggal.
Pengkritik menyifatkan ia tidak cukup untuk menangani masalah demografik yang semakin meningkat di China, termasuk penduduk warga tua, kerana tidak ramai pasangan layak mendapat pengecualian itu.
Sebelum ini China melaksanakan polisi bertujuan mengurangkan populasi penduduk (yang kini berjumlah lebih 1.3 bilion orang).
Bagaimanapun, polisi satu anak ini dikecualikan di Hong Kong, Macau dan Tibet selain ke atas pasangan yang hidup di kawasan pedalaman dan pasangan dari kalangan etnik minoriti.
Pasangan yang tinggal di kawasan pedalaman diberi kelonggaran untuk memiliki anak kedua jika anak pertama adalah perempuan.

Sijil sakit untuk dijual

Beijing: Perbezaan waktu selama 11 jam antara China dan Brazil memberi peluang lumayan kepada beberapa peniaga yang cuba mencari keuntungan di China dengan menjual sijil sakit palsu kepada peminat bola sepak yang berjaga sepanjang malam untuk menonton Piala Dunia.
Satu carian di internet oleh AFP bagi ‘Beijing’ dan ‘khidmat sijil sakit’ menghasilkan 49,500 keputusan menerusi enjin pencarian Baidu kelmarin di mana penjual menyediakan salinan sijil sakit hospital dengan cap rasmi dan tandatangan doktor dalam ‘katalog produk’ mereka. Dokumen berkenaan mudah didapati di China di mana rasuah adalah biasa dan pelbagai jenis barangan palsu dijual.
Bagaimanapun platform internet dari pelanggan kepada pelanggan yang terbesar di negara itu, Taobao melarang pencarian ‘Piala Dunia’ dan ‘sijil sakit’ selepas kebanjiran tawaran sijil sakit itu sejak beberapa hari lalu, lapor Beijing Youth Daily minggu ini.
Amat dipercayai
Peniaga bagaimanapun meneruskan perniagaan mereka menerusi Sina Weibo yang sama seperti Twitter dan halaman rangkaian sosial lain.
“Piala Dunia kembali dan perbezaan masa yang besar boleh menjejaskan peminat bola sepak China menonton semua perlawanan. Saya dengan itu melancarkan khidmat penyediaan sijil sakit untuk memenuhi permintaan,” kata seorang pengguna di internet.

Piala Dunia: Hanya keajaiban mungkin bantu England layak pusingan kedua

SAO PAULO: Impian England dalam Piala Dunia boleh dikatakan berakhir selepas Luis Suarez menjadi wira Uruguay menewaskannya 2-1 di Sao Paulo, awal pagi tadi.
Penjaring utama Liverpool itu meledakkan dua gol di Stadium Corinthians Arena walaupun Wayne Rooney berjaya menjaringkan gol sulungnya dalam kancah Piala Dunia kali ini.
Keputusan itu menyaksikan England tidak mengumpul sebarang mata selepas tewas 1-2 kepada Itali dalam perlawanan pertama. Namun, England masih mempunyai harapan tipis untuk ke pusingan kalah mati - tetapi mengharapkan ehsan Itali.
England berharap Itali menang ketika berdepan Costa Rica malam ini dan Uruguay minggu depan. Jika berlaku sebaliknya, England tidak mampu menyaingi mata yang dipungut oleh Uruguay dan Costa Rica.
Bagaimanapun, England masih perlu menundukkan Costa Rica dengan jaringan gol yang besar di samping berharap menduduki tangga kedua dalam kumpulan D berdasarkan perbezaan gol.

JAKIM mahu kuasa penuh Akta Halal

Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yakin pemantauan dan penguatkuasaan pensijilan halal di negara ini akan lebih berkesan apabila agensi itu diberi kuasa penuh melalui Akta Halal yang bakal digubal tidak lama lagi.
Pengenalan akta itu nanti bukan bermakna Akta Perihal Dagangan yang ada kini tidak berkesan, sebaliknya ia memperkemaskan lagi peranan JAKIM dalam memantau dan menguatkuasakan undang-undang melalui enakmen baharu.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, berkata draf akta itu sudah digubal oleh jawatankuasa khas yang dilantik jabatan berkenaan sebelum dikemukakan kepada Kabinet.
Dapat sijil terlebih dulu “Akta Halal akan memastikan semua produk yang masuk negara ini mendapat pensijilan halal terlebih dulu, bukan saja makanan, produk farmasi atau kosmetik, tetapi diperluaskan lagi.
Sekarang kita hanya guna Akta Perihal Dagangan yang memperuntukkan denda sehingga RM5 juta jika sabit kesalahan, tapi melalui akta baharu nanti, dendanya lebih tinggi.

5 hari lulus permit kerja

Putrajaya: Proses kelulusan permit pekerjaan bagi pegawai dagang asing dipendekkan kepada lima hari bekerja bermula semalam, berbanding lebih sebulan sebelum ini, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri menjelaskan, proses itu dapat dipercepatkan melalui kewujudan Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat (ESD), Jabatan Imigresen, yang akan menjadi pusat sehenti untuk pegawai dagang berurusan secara atas talian.
“Melalui proses yang baharu diperkenalkan ini, pelabur dan perniagaan utama di negara ini akan menikmati kemudahan yang ditambah baik bagi urusan kelulusan permit pekerjaan. Sebelum ini, syarikat perlu menunggu lebih sebulan untuk mendapatkan kelulusan permit pekerjaan.
“Jabatan Imigresen komited untuk melaksanakan proses terbabit dalam tempoh lima hari bekerja bagi syarikat berdaftar dengan ESD,” katanya ketika merasmikan ESD, di sini semalam. Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; timbalannya, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif, Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), Johan Mahmood Merican.
ESD, yang bertujuan menarik dan mengekalkan bakat asing tertinggi di negara ini, menawarkan perkhidmatan bersepadu merangkumi keperluan pegawai dagang, termasuk Pas Pekerjaan, Tanggungan, Lawatan Sosial, Lawatan Profesional dan Residen- Bakat. Ia dilaksanakan melalui kerjasama antara KDN, Jabatan Imigresen dan TalentCorp.

Liat bayar PTPTN jejas pelajar baharu

Kuala Lumpur: Lebih 50,000 pelajar baharu di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) bagi sesi Julai, September dan Disember depan, berdepan kemungkinan tidak mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Difahamkan masalah itu berlaku berikutan kegagalan sebahagian besar peminjam membayar balik pinjaman sehingga agensi itu berdepan kekurangan dana yang teruk, sekali gus tidak dapat membuat pusingan semula untuk diagihkan kepada pelajar baharu.
Sumber PTPTN memberitahu,walaupun Kementerian Kewangan meluluskan dana RM4 bilion untuk tahun ini, namun ia hanya cukup untuk membiayai 75 peratus peminjam baharu dan peminjam sedia ada, manakala baki 25 peratus lagi tidak akan mendapat pinjaman.

Piala Dunia: Suarez kini dibuai mimpi indah

SAO PAULO: Luis Suarez kehilangan kata-kata terbaik apabila ditanya perasaannya selepas meledakkan dua gol membantu Uruguay menewaskan England 2-1 dalam saingan Kumpulan D, sebentar tadi.
“Saya pernah mimpi detik seperti ini,” katanya bintang Liverpool itu kepada TV Brazil.
“Saya sedang menikmati setiap saat memikirkan kejayaan penting ini selepas melalui segala kritikan selama ini.”
Suarez menjaringkan satu gol pada setiap babak permainan di Corinthians Arena hasil kelekaan pertahanan The Three Lions untuk membantu pasukan negaranya menghampiri tiket ke pusingan kedua.
Uruguay harus menewaskan Itali dalam perlawanan terakhir kumpulan untuk menjamin tiket itu.
Sementara itu, rakan sepasukannya, Edinson Cavani berkata mereka menyudahkan satu tugasan sempurna untuk mengutip tiga mata berharga ini.
“Setiap pemain melakukan tugasan dengan baik dan pasukan beraksi penuh sempurna. Kami bekerja keras dari minit pertama dan ini memberikan kami kemenangan,” katanya.

Nora bengang

Penyanyi kecewa Voices of Ummi jadi mangsa cetak rompak, kutipan kononnya disalurkan kepada badan amal
Jumaat lalu, penyanyi Nora Ariffin meluahkan rasa kecewa di laman Facebook (FB) mengenai album Voices Of Ummi yang menjadi mangsa cetak rompak.
Sebagai bukti, penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Di Persimpangan Dilema itu menyertakan gambar cakera padat (CD) cetak rompak di laman sosialnya.
Lebih mengecewakan, Nora mengesyaki pihak terbabit cuba melindungi kegiatan mereka atas alasan agama dan dakwah dalam melariskan album cetak rompak berkenaan.
“Saya terkejut sebaik dimaklumkan rakan kongsi mengenai kes terbabit. Mengikut ceritanya, beliau pergi bersolat di sebuah masjid di ibu kota. Kebetulan, ketika itu ada orang berniaga di situ.

Malaysia paling banyak cabaran laksana TPPA

Malaysia negara paling banyak mengharungi cabaran untuk mencapai persetujuan bersama dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) berbanding 11 negara lain.
Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata negara lain turut menghadapi cabaran tersendiri yang berbeza mengikut situasi masing-masing.
"Kita ada banyak isu untuk dibincangkan dalam perjanjian ini seperti kedudukan Bumiputera, perolehan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan," katanya sambil menegaskan semua cabaran itu bagi memastikan kepentingan negara tetap terpelihara.
"Namun, TPPA ini bukan kita sahaja yang ada masalah, negara lain seperti Amerika Syarikat juga ada masalah seperti dasar buruh, cuma yang berbeza ialah tahap kesukarannya dan Malaysia antara negara yang mempunyai paling banyak masalah," jelasnya.
Mustapa berkata demikian kepada media selepas menyampaikan taklimat mengenai program Sesi Capaian: Memahami Komuniti Ekonomi Asean (AEC), Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan TPPA di Putrajaya, semalam.
Beliau berkata, kerajaan telah menetapkan red line atau perkara yang tidak akan dikompromikan untuk dibincangkan dalam perjanjian berkenaan bagi menjaga kedaulatan negara, iaitu sistem raja berperlembagaan negara ini.
"Ketika mula terbabit dengan perjanjian TPPA ini, kita telah menetapkan bahawa tidak akan ada sebarang perubahan terhadap sistem perlembagaan kita," katanya.
Namun, Mustapa berkata, buat masa ini kerajaan masih melihat pembabitan Malaysia dalam perjanjian itu mampu memberi manfaat besar kepada negara, termasuk akses lebih mudah kepada pasaran global serta mampu menjadikan negara lebih kompetitif dan berdaya saing.
Malaysia menyertai perbincangan TPPA pada Oktober 2010, negara kesembilan dalam perbincangan itu yang sudah masuk hampir empat tahun, dengan penyertaan secara sukarela dalam perbincangan itu kini meliputi 12 negara.

klia2 MAHB SASAR 38 PERATUS USAHAWAN BUMIPUTERA

Jalin kerjasama dengan TERAJU tingkat penyertaan di premis peruncitan
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyasar untuk meningkatkan sehingga 38 peratus penyertaan usahawan Bumiputera di premis peruncitan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) menjelang akhir tahun ini, daripada 35 peratus ketika ini.
Langkah itu sebahagian daripada usaha pengendali klia2 itu menyahut saranan kerajaan supaya 20 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama mengambil bahagian dalam Pelan Pemeriksaan Ekonomi Bumiputera.

Lima sebab Sepanyol bungkus awal

RIO DE JANEIRO: Sepanyol muncul negara juara yang kelima terkeluar daripada saingan pusingan awal selepas tewas 2-0 kepada Chile di Maracana awal pagi tadi.

Berikut lima sebab mengapa juara Piala Dunia 2010 dan Euro 2012 itu gagal menyerlah kali ini.
Masih mengharapkan pemain lama

Selepas tewas 5-1 kepada Belanda, pengurusnya Vicente del Bosque terpaksa menggugurkan pemain bintang Xavi Hernandez serta Gerard Pique dan digantikan dengan Pedro Rodriguez dan Javi Martinez. Walaupun ia dilihat untuk memperkukuhkan pasukan, ia sepatutnya dilakukan lebih awal. Koke, pemain tengah Atletico Madrid, yang penuh bertenaga dan semangat pula lewat ditampilkan dalam pasukan.

Keputusan terus memberi kepercayaan kepada penjaga gol, Iker Casillas terbukti satu kesilapan. Tambahan pula, kapten pasukan yang hebat sebelum ini bukan lagi pemain tetap untuk kelabnya Real Madrid, tetapi Del Bosque sepatutnya mempunyai banyak pilihan lain walaupun penjaga gol kedua, Victor Valdes cedera.

Pertahanan yang longgar
Jika dia dipersalahkan, Casillas juga mungkin akan menyalahkan barisan pertahanan yang sepatutnya mengawal dan melindunginya setiap kali kubu mereka diserang. Lagipun, kejayaan Sepanyol pada 2010 dan Euro 2012 banyak bergantung kepada kehebatan pertahanannya mengekang asakan lawan.

Inspirasi Carles Puyol tiada kali ini. Gandingan pertahanan tengah, Pique and Sergio Ramos amat cemerlang beberapa tahun lalu, tetapi gagal menyerlah kali ini. Keputusan menurunkan Javi Martinez pula terbukti gagal ketika menentang Chile. Kegagalan mengekang kepelbagaian formasi Belanda dan Chile menyebabkan Sepanyol dibolosi tujuh gol hanya dalam dua perlawanan.

Pemilihan Diego Costa

Apabila Del Bosque memujuk Diego Costa mewakili negara angkatnya dan mengenepikan negara asal Brazil, amat jelas bahawa bintang Atletico Madrid itu akan menjadi pemain dalam kesebelasan utama. Bagaimanapun, Sepanyol tidak membantu penyerang tengah itu menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan itu.

Dia seorang pemain yang memerlukan ruang setiap kali mendapat bola untuk merobek gol lawan, tetapi malangnya dia kelihatan seperti ‘dungu’ ketika berdepan dengan pertahanan Chile. Dia tidak selesa dalam posisi itu sehingga rakyat Brazil sendiri bersorak memarahinya kerana memilih bermain untuk Sepanyol.

Gagal berubah daripada tiki-taka

Sepanyol tersilap langkah kerana terlalu mempercayai sistem itu yang amat berjaya dalam banyak kejohanan lalu. Corak permainan pasukan La Roja digerakkan seperti cara permainan Barcelona sehingga mencipta banyak kejayaan di bawah pengurus Pep Guardiola.

Namun, kejatuhan Barcelona dan bagaimana pasukan Bayern Munich kendalian Guardiola diratah oleh Real Madrid dalam separuh akhir Liga Juara-juara baru-baru ini, memberi isyarat bahawa era kehebatan tiki-taka telah pun berakhir.

Ia terbukti apabila rentak permainan Chile yang memberi tekanan kepada Sepanyol, menyebabkan pemainnya gagal membuat hantaran tepat dan tidak mampu mengawal bola seperti ia melekat di kaki yang selama ini menjadi kehebatan sebenar Sepanyol.

Bermain di Amerika Selatan

Pasukan Eropah memang sukar untuk menang Piala Dunia di benua Amerika dan ia tidak pernah berlaku. Kejatuhan Sepanyol sebenarnya telah bermula di Maracana setahun lalu apabila tewas 3-0 kepada Brazil dalam perlawanan akhir Piala Konfederasi dan kemerosotan berterusan ketika tewas kepada Chile.

Setiap pasukan Amerika Selatan dalam kempen kali ini mendapat sokongan daripada peminat dari benua itu. Kekalahan 5-1 kepada Belanda, menyebabkan Sepanyol memerlukan kemenangan ketika menentang Chile, tetapi penonton di Maracana menyokong Chile sehingga menyebabkan mereka seolah-olah bertarung sebagai tuan rumah.

PAC dakwa kaedah pengedaran diesel bersubsidi banyak kelemahan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendakwa kaedah pengedaran minyak diesel bersubsidi yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mempunyai banyak kelemahan yang boleh dieksploitasi.
Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata keadaan itu dilihat boleh membawa kepada banyak ketirisan sehingga berlaku penyalahgunaan diesel bersubsidi dan penyeludupan bahan itu.
"Sebagai contoh, sekarang mereka gunakan 'fleet card' yang diberikan kepada pengguna kategori tertentu yang boleh membeli diesel bersubsidi menggunakan kad itu di stesen-stesen petrol.
"Tetapi, kad ini mungkin boleh digunakan oleh sesiapa sahaja tanpa had dan ini menyebabkan pihak yang menggunakannya dapat menikmati diesel bersubsidi dengan lebih," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau mendengar taklimat Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah mengenai perancangan kedua-dua kementerian itu untuk mengatasi masalah penyalahgunaan dan penyeludupan diesel bersubsidi.
PAC memanggil kedua-dua kementerian itu berikutan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Mei lepas mengenai kes membabitkan pegawai penguat kuasa yang mempunyai jumlah wang yang banyak dalam akaun bank dipercayai hasil aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi.
Nur Jazlan berkata PAC bagaimanapun tidak berpuas hati dengan penjelasan Alias hari ini berhubung perancangan KPDNKK untuk menangani masalah itu dan bercadang memanggil semula ketua setiausaha itu bagi memberi penjelasan lanjut.
PAC juga mahu mendapatkan penjelasan terperinci daripada kementerian itu berhubung kaedah penggunaan teknologi maklumat (IT) dan data dalam menjalankan penguatkuasaan.
"Jika mereka guna cara lama untuk membuat pengawasan berdasarkan aduan orang ramai dan menggunakan ramai pegawai penguatkuasaan, ini akan melibatkan belanja yang besar bagi membayar gaji dan kos operasi.
"Tetapi, jika ada penggunaan IT dengan cara mengumpulkan data kementerian, mungkin ini boleh merekod transaksi dan seterusnya mempunyai maklumat yang besar untuk membuat penguatkuasaan," katanya.
Pada sesi taklimat itu, PAC juga turut diberitahu mengenai penggunaan sistem teknologi nano bagi memantau pengedaran diesel bersubsidi yang dilaksanakan KPDNKK selama empat tahun sebelum ia diberhentikan.
Nur Jazlan berkata KPDNKK menjelaskan sistem itu terpaksa dihentikan berikutan kegagalannya mengesan diesel bersubsidi selain memerlukan kos tinggi untuk dilaksanakan.

18 kawasan di sekitar KL alami gangguan bekalan air tidak berjadual

KUALA LUMPUR: Sejumlah 17,500 akaun pengguna Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) di 18 kawasan sekitar ibu kota mula mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Kenyataan Syabas hari ini menyebut gangguan bekalan air itu disebabkan penurunan paras air di kolam-kolam utama yang menerima bekalan air daripada Loji Rawatan Air Sungai Langat.
Ia berkata masalah itu timbul berikutan permintaan air yang tinggi yang telah melebihi kapasiti bekalan.
Kawasan yang terlibat adalah Jalan Lapangan Terbang Lama (TUDM), Sungai Besi, Chan Sow Lin, Wisma Putra, Belemy, Kerayung, Jalan Sanpeng, Dataran FNN, seluruh Taman Seputeh dan Bukit Seputeh.
Selain itu, kawasan lain adalah Jalan Syed Putra, Taman Segar, Pandan Perdana, Pandan Indah, Taman Kencana, Maju Jaya, Lembah Maju dan Taman Tayton View.
"Pengguna di kawasan yang tidak terjejas dengan gangguan bekalan air itu diminta sentiasa menggunakan air secara berhemah bagi mengelakkan pembaziran," katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian paip pecah atau bocor supaya menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas iaitu PUSPEL di talian bebas tol 1-800-88-5252.

Muhyiddin nafi letak jawatan

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan beliau akan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam masa terdekat.
Muhyiddin berkata, beliau tidak pernah membincangkan isu itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Berikutan itu Muhyiddin berkata beliau akan terus berkhidmat selaku Timbalan Perdana Menteri selagi Perdana Menteri mahu mengekalkannya.
Muhyiddin ditanya pemberita mengenai khabar angin kononnya beliau akan melepaskan jawatan itu dalam tempoh terdekat ini.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan upacara penutupan Persidangan Majlis Sains Asia Ke-14 di sini, sebentar tadi.

Masa depan...

Assalamualaikum.... nk tanya... dlm masa yang singkat apa yang perlu dilakukan untuk persiapan hari raya yg akn menjekma nanti.... mohon share idea...

Wednesday, 18 June 2014

TOP SCORE UPDATE(19/6/2014 8.00AM)

Piala Dunia: Peminat menangis tidak dapat tanda tangan Messi

BELO HORIZONTE : Pihak keselamatan Brazil, hari ini menahan seorang lelaki kerana menyelinap masuk ke kem latihan pasukan Argentina gara-gara terlalu ghairah mahu mendapatkan tanda tangan penyerang negara itu, Lionel Messi.

  Lelaki warga Brazil berusia 33 tahun itu dilihat melompat masuk ke padang ketika lebih 200 wartawan yang turut berada di lokasi sama sedang berkumpul untuk sidang akhbar pasukan itu di stadium Amerika berhampiran Belo Horizonte.
  Minggu lalu, lelaki sama itu juga dilihat menerima kemeja-T daripada Messi selepas tamat kem latihan.

Lelaki itu memberitahu polis dia mahu mendapatkan baju yang ditandatangani dan turut dilihat menangis selepas pasukan keselamatan membawanya keluar.

Piala Dunia: Croatia nyala impian belasah Cameroon 4-0

MANAUS: Croatia menyalakan harapan untuk layak ke pusingan kedua Piala Dunia selepas membelasah Cameroon 4-0 dalam saingan Kumpulan A, awal pagi ini.
Cabaran mereka turut dibantu dengan kepincangan pihak lawan yang bermain dengan bekalan 10 pemain selepas Alex Song dilayangkan kad merah pada lewat babak pertama yang menyaksikan wakil Afrika tersingkir awal kali ini.
Ivica Olic meletakkan Croatia di hadapan pada minit ke-11 dan Ivan Perisic menyambar bola hasil kesilapan penjaga gol Cameroon, Charles Itandje untuk meluru meledakkan gol kedua pada minit ke-48.
Mario Mandzukic yang tidak dikawal menanduk masuk gol ketiga pada minit ke-61 dan menambah gol keempat pada minit ke-73.
Cameroon yang hanya memenangi satu perlawanan selepas lima kali membuat kemunculan dalam Piala Dunia bertambah perit selepas terpaksa bermain dengan bekalan 10 pemain.
Alex dilayangkan kad merah gara-gara menyiku Mandzukic di belakang dan juga tanpa Samuel Eto'o yang tercedera.
Brazil dan Mexico masing-masing sudah mengutip empat mata dari Kumpulan A dan kemenangan bagi Croatia ke atas Mexico, Isnin ini boleh bantu mereka mara ke kelompok 16 terakhir pada edisi kali ini.

Piala Dunia: Sepanyol sambung badi juara bertahan

RIO DE JANEIRO: Sepanyol menjadi negara keempat menyambung badi selaku juara bertahan yang tersingkir awal dalam sejarah kejohanan Piala Dunia setakat ini.
Apa pun, skuad yang dikenali dengan jolokan La Roja itu juga unik apabila muncul juara bertahan pertama tewas pada dua perlawanan awal secara berturut-turut.
Sebelum itu, tuan rumah edisi kali ini, Brazil pernah menerima nasib sama pada tahun 1966, disusuli Perancis pada 2002 serta Itali pada 2006.
Kekalahan 2-0 La Roja kepada Chile awal pagi tadi bermakna Sepanyol sah tidak akan mara ke peringkat kalah mati bermula 29 Jun ini, biarpun masih berbaki satu lagi perlawanan menentang Australia, Selasa depan.
Pada 1962, Brazil memenangi piala bola sepak paling berprestij itu untuk kali kedua selepas mengalahkan Czechoslovakia 3-1 di pentas final, namun mereka gagal meneruskan rentak sama pada saingan seterusnya di England.
Kegagalan itu antara lain berpunca daripada kecederaan yang dialami dua tonggaknya ketika itu, Pele dan Garrincha. Brazil diundi bersama Hungary dan Portugal.
Nasib malang Brazil itu kemudian diwarisi pasukan Perancis yang sebelum itu menang menewaskan Brazil pada final Piala Dunia 1998, berlangsung di Paris.
Senegal yang membuat penampilan sulung ketika itu berjaya melakukan kejutan pada aksi pembukaan Piala Dunia 2002, menewaskan The Les Bleus itu dengan jaringan tipis, 1-0.
Diundi dalam Kumpulan A, Perancis juga gagal memperoleh tiga mata penting selepas sekadar mencatat keputusan seri, 0-0 menentang Uruguay.
Lebih parah apabila penyerangnya, Thierry Henry dibuang padang selepas menerima kad merah sebelum pasukan itu menamatkan kempen Piala Dunia 2002 dengan kekalahan 2-0 kepada Denmark.
Itali, yang menjuarai Piala Dunia 2006 berkunjung ke Afrika Selatan yang menjadi tuan rumah ketika itu untuk mempertahankan gelaran dimilikinya pada 2002.
Biarpun diundi bersama pasukan bukan pilihan iaitu Paraguay, New Zealand dan Slovakia, Azzurri terkandas di peringkat kumpulan.
Mereka hanya mencatatkan seri, 1-1 menentang Paraguay dan New Zealand, sebelum dikalahkan Slovakia dengan jaringan 3-2.

Jackie Chan undang Cusack, Brody berlakon filem epik

Bintang Hollywood, John Cusack dan Adrien Brody, masing masing bakal membintangi filem perang epik berjudul Dragon Blade, terbitan Jackie Chan. Filem terbabit dianggarkan bernilai sekitar RM210 juta.
Sudah pun menamatkan penggambarannya di Hengdian World Studio, filem itu akan memulakan penggambaran seterusnya di bandar bersejarah di China iaitu Dunhuang dan Padang Pasir Gobi.
Ia disahkan sendiri oleh Chan ketika wartawan menemuinya pada Festival Filem Antarabangsa Shanghai, baru-baru ini.
Filem arahan Daniel Lee itu ialah inspirasi daripada kisah sejarah kehilangan sekumpulan askar Rom yang mengembara ke China sekitar abad ke-48 sebelum Masihi.
“Saya benar-benar teruja untuk berada dalam filem yang akan dilakonkan oleh dua bintang paling dihormati hari ini. Ia memberi saya keyakinan selepas sekian lama kami memperuntukkan masa dan kewangan untuk membuat kajian di samping menghasilkan skrip.
“Ia adalah untuk membangunkan industri bertaraf dunia,” katanya.
Filem berkenaan turut dibintangi pelakon dari Korea Selatan, Choi Si-Won yang juga ahli kumpulan Super Junior.
Dalam filem berkenaan, Cusack akan memainkan watak sebagai Lucius, iaitu Jeneral yang menerajui sekumpulan 1,000 askar Rom menuju ke Dinasti Han di China.
Brody pula melakonkan watak Tiberius yang membunuh pegawai Rom dan mengejar Lucius bersama pasukannya. Manakala Chan melakonkan watak komander yang bekerjasama dengan Lucius bagi melindungi sempadan dan kedaulatan China.

PETRONAS pindahkan 28 pekerja ke Dubai

Kuala Lumpur: PETRONAS menukarkan 28 daripada 166 pekerjanya di Iraq ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) berikutan keadaan keselamatan di negara itu sekarang.
Dalam satu kenyataan semalam, syarikat minyak nasional itu berkata, daripada 28 pekerja itu 18 adalah warga Malaysia.
Bagaimanapun, seramai 95 pekerja yang dikategorikan sebagai kakitangan kritikal masih berada di Iraq untuk menguruskan operasi dan semuanya berada dalam keadaan selamat.
Dalam proses ditukar
“Pekerja yang masih tinggal sedang dalam proses untuk ditukarkan,” kata kenyataan itu.
PETRONAS berkata, syarikat berkenaan sedang memantau situasi berkenaan dengan teliti, serta sentiasa berhubungan dengan Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Malaysia di Jordan.
Sedia hadapi kemungkinan
Ia juga sudah mengenal pasti usaha mengurangkan kesannya dan bersedia mengambil segala langkah yang perlu sekiranya keadaan bertambah buruk.
PETRONAS mempunyai kepentingan dalam empat medan minyak di Iraq iaitu Garraf, Majnoon, Badra dan Halfaya di bahagian selatan dan timur Iraq.

SIAPA PULANG AWAL?

Aksi kedua Uruguay, England jadi penentu pasukan mana terpaksa ucap selamat tinggal
Sao Paulo: Sama ada Uruguay atau England, pasukan yang kalah ketika aksi di Arena de Sao Paulo, awal pagi esok, terpaksa mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada Brazil.
Ini kerana aksi kedua bagi Uruguay dan England dalam Kumpulan D itu menjadi penentu pasukan mana pulang awal kerana sebelum ini mereka tewas pada perlawanan pertama masing-masing.
Uruguay dimalukan Costa Rica 1-3, manakala England yang mempamerkan prestasi bagus, tewas kepada Itali 1-2, Ahad lalu.
Jurulatih England, Roy Hodgson memperjudikan nasibnya apabila tetap menyenarai Wayne Rooney yang masih ketandusan gol sebagai penyerang utama manakala jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez membuat perubahan dengan menurunkan empat pemain baru termasuk kemungkinan Luis Suarez pada perlawanan hidup mati itu.

ADVERTORIAL: Transformers kembali selamatkan bumi

Sudah empat tahun selepas kejadian ‘Transformers: Dark of the Moon’, di mana Bandaraya Chicago hampir musnah dalam pertarungan epik antara Optimus Prime, Megatron dan Sentinel Prime, keadaan bumi beransur pulih seperti sedia-kala.

Namun manusia tidak lagi mempercayai Transformers.
Di bawah arahan seorang pegawai kerajaan, Harold Attinger, pihak tentera ditugaskan untuk memusnahkan semua Transformers, baik Autobots mahupun Deceptions.
Ekoran itu, Autobots termasuk Optimus Prime dan Bumblebee telah mengambil langkah menyembunyikan diri.
Namun ‘kehilangan’ mereka dari mata dunia tidak lama apabila seorang mekanik, Cade Yeager membeli sebuah trak berkarat dengan tujuan menjual bahagiannya untuk mengumpul duit bagi membayar yuran kolej anaknya, Tessa.
Apabila mereka mendapati trak berkenaan sebenarnya ketua Autobot, Optimus Prime, tanpa disangka mereka mengundang kehadiran kerajaan, Autobots dan Decepticons ke dalam hidup mereka.
Pada masa yang sama, sekumpulan saintis di bawah kelolaan seorang ahli perniagaan telah mencipta Transformers mereka sendiri tetapi robot-robot ini telah berpaling menentang mereka.
Kini, Cade, Tessa serta teman lelakinya, Shane dan Optimus harus bergabung tenaga dengan Autubots yang tinggal dan bersemuka pihak Decepticons, tak lupa juga spesies Transformers baru, bagi menyelamatkan Bumi.
Masih mengekalkan Michael Bay di kerusi pengarah, ‘Transformers: Age of Extinction’ dibintangi barisan pelakon baru termasuk Mark Wahlberg, Stanley Tucci, Nicola Peltz, Kelsey Grammer, Jack Reynor, Sophia Myles dan Li Bingbing.
Watak-watak Transformers seperti Optimus Prime, Bumblebee, Ratchet dan Brains turut kembali. Siri terbaharu dalam francais Transformers ini juga melihat penampilan Dinobots.
Buat yang tidak tahu, Dinobots adalah sekumpulan Transformers, sebahagian dari puak Autobot.
‘Transformers: Age of Extinction’ akan berada di pawagam bermula 26 Jun ini.

YB DAP, 15 PENYOKONG UMNO KENA DAKWA

18 lagi turut didakwa hasut, ceroboh DUN Pulau Pinang
Putrajaya: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima dari DAP, Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji atau RSN Rayer, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abd Rahman dan dua individu lagi akan didakwa mengikut Akta Hasutan 1948, hari ini.
Selain itu, bekas Ketua UMNO Bayan Baru, Datuk Mohd Ridzwan Bakar dan 14 lagi termasuk seorang masih bebas akan didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang bagi kesalahan menceroboh masuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 21 Mei lalu.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, dalam kenyataannya semalam, berkata keputusan melakukan pendakwaan itu dibuat selepas mempertimbangkan undang-undang dan fakta berhubung kejadian terbabit serta keterangan yang ada.

Piala Dunia: Rooney dicabar bantu England atasi Uruguay

SAO PAULO : Penyerang Manchester United, Wayne Rooney harus bangkit menjelmakan prestasi sebenar apabila bertembung Uruguay, awal pagi esok bagi mengelakkan dirinya terus menjadi mangsa kritikan penyokong sendiri.
Ia berikutan kegagalan memastikan kemenangan skuad The Three Lions itu pada aksi pertama kempen Piala Dunia bagi Kumpulan D, selepas tewas kepada Itali 2-1 di Manaus, Sabtu lalu.
Kemenangan ke atas Uruguay pimpinan Luiz Suarez di Sao Paulo nanti penting bagi membuka peluang juara Piala Dunia 1966 itu untuk beraksi di pusingan kedua bermula 29 Jun ini.
Berdepan pasukan Amerika Selatan itu ternyata bukan mudah apa lagi dengan kelibat penyerang berbisa Uruguay itu yang bermain untuk Liverpool itu bakal diturunkan selepas dilaporkan sudah cergas sepenuhnya daripada kecederaan.
Biarpun dikritik, jurulatihnya, Hodgson Roy tetap optimis dengan keupayaan dimiliki Rooney dan memberi jaminan pemain berusia 28 tahun itu akan tetap diturunkan semula.
“Kami mempunyai perspektif yang sangat jelas mengenai apa yang Rooney mampu lakukan.
“Kami masih berharap sesuatu yang luar biasa daripada dia,” katanya ketika ditemubual BBC hari ini.

Piala Dunia: Tamparan buat Belanda tanpa van Persie temu Chile

PORTO ALEGRE: Selepas menjaringkan tiga gol untuk Belanda daripada dua perlawanan pertama Piala Dunia, Robin van Persie akan digantung satu perlawanan selepas mengutip kad kuning kedua ketika menewaskan Australia 3-2 dalam aksi Kumpulan B, awal pagi ini.
Ini bererti bintang Manchester United itu akan tersisih apabila pasukan bergelar Oranje itu menentang Chile pada 23 Jun ini yang bakal menentukan sama ada mereka bakal muncul juara kumpulan.
Tanpanya, nama Arjen Robben disebut-sebut sebagai calon pengganti terbaik kerana sudah menjelmakan aksi menakjubkan untuk Belanda setakat ini.
Namun, pada hakikatnya Belanda pasti bergelut tanpa sentuhan Van Persie - antara bintang yang tersohor dalam kancah Piala Dunia kali ini.
“Piala Dunia adalah kejohanan terhebat dalam dunia dengan semua pemain terbaik dan ia pasti sukar. Menentang Australia memang amat sukar sekali dan begitu juga perlawanan berikut,” kata Van Persie.
Dalam perlawanan itu, pemain tonggak Australia, Tim Cahill juga dilayangkan kad kuning kedua tapi ia tidak akan banyak mengubah nasib mereka kerana wakil Asia itu sudah tersingkir selepas menempah dua kekalahan berturut-turut.
Pemain berusia 34 tahun itu juga dilabel berjaya menjaringkan antara gol tercantik dalam sejarah Piala Dunia apabila rembatan menakjubkan pada babak pertama berjaya menyamakan kedudukan ketika menentang Belanda.
“Saya rasa tepat dalam rembatan dan saya meledak masuk dengan baik sekali,” katanya.

Bantu Gen- Y sertai pasaran modal

Bursa Malaysia mengharapkan bantuan pelabur komuniti bagi melonjakkan penyertaan Generasi Y (Gen-Y), golongan yang lahir pada 1980-an dan awal 1990-an, dalam pasaran modal.
"Kami mempunyai cabaran yang saya mahu dapatkan bantuan anda untuk membantu memulihkan (ini).
"Kebanyakan golongan belia, Gen-Y Malaysia, tidak menyertai pasaran, sama ada sebagai pelabur atau pilihan kerjaya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Tajuddin Atan dalam ucaptamanya pada Anugerah Perhubungan Pelabur (IR) Malaysia Ke-4, di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata, setakat ini bursa telah menyediakan beberapa inisiatif untuk membabitkan generasi muda dan mencetuskan minat mereka dalam pasaran modal.
Pada April tahun ini, ia memperkenalkan Bursa Marketplace, destinasi dalam talian dan komuniti bagi pelabur runcit untuk memperoleh maklumat tepat serta objektif tentang pasaran.
Bursa itu juga melancarkan Bursa Malaysia Fantasy Football Trader Challenge minggu lalu bagi membolehkan pelabur mengguna pemain Piala Dunia, untuk memahami dengan lebih baik penggunaan perkakas pelabur serta peniaga.
Tajuddin berkata, Malaysia memiliki bilangan kedua tertinggi peserta baharu menyertai bidang pekerjaan di dunia dalam kalangan pasaran global utama.
Beliau percaya hanya dengan penyertaan generasi muda, kemapanan jangka panjang pasaran dapat dicapai.
"Kami ingin mempelawa anda menjadi sebahagian daripada usaha ini untuk mendidik dan membangunkan pengetahuan Gen-Y beralih daripada menabung bagi masa depan, kepada melabur bagi masa depan," katanya.
Terdahulu, Tajuddin berkata, amalan terbaik IR boleh menyumbang kepada saham sesebuah syarikat mencapai nilai adil.
"Pengiktirafan yang akan diberikan kepada syarikat dan IR hari ini akan meningkatkan lagi kepentingan IR dalam operasi sesebuah syarikat," katanya.

MALAYSIA TANGGA KE-19 NEGARA PALING MESRA PELABUR

Mendahului negara maju lain apabila melonjak daripada kedudukan ke-24
MALAYSIA muncul antara 20 negara paling mesra pelabur di dunia bagi tempoh antara 2014 hingga 2018, demikian mengikut Ranking Persekitaran Perniagaan (BER) terkini yang dikeluarkan oleh unit penyelidikan majalah ekonomi antarabangsa, The Economist Intelligence Unit (EUI).
Laporan yang diterbitkan bulan lalu itu meletakkan Malaysia di kedudukan ke-19 daripada 82 negara sebagai tempat terbaik untuk menjalankan perniagaan.
Malaysia mendahului beberapa negara maju lain di dunia seperti United Kingdom, Perancis, Korea Selatan dan Jepun, mencatatkan peningkatan apabila melonjak lima tempat berbanding kedudukan ke-24 bagi tempoh 2009 hingga 2013.

Mueller bagaikan tak percaya

Pemain Terbaik: Jerman mudah belasah Portugal dalam aksi pembukaan Kumpulan G
Salvador: Thomas Mueller dan rakan sepasukannya yang lain seolah tidak percaya ketika melihat papan mata yang terpapar Jerman sedang mendahului Portugal 2-0 ketika permainan baru berlangsung 32 minit, awal pagi semalam.
Penyerang Jerman itu meledak hatrik termasuk satu daripadanya menerusi sepakan penalti untuk kemenangan 4-0 ke atas Portugal selain turut terbabit dalam insiden yang menyebabkan Pepe dilayangkan kad merah pada minit ke-37.
“Kami melihat ke atas (papan mata) dan berasa cukup teruja. Apa pun masih banyak perlawanan perlu diharungi dan ternyata cuaca cukup panas sepanjang perlawanan,” kata Mueller yang beraksi bersama Bayern Munich.
Pepe berang
Suasana menjadi lebih panas apabila Mueller mendakwa Pepe pada mulanya menampar mukanya ketika perebutan bola dan kemudian ketika dia terduduk, pemain pertahanan Portugal itu datang untuk ‘menanduk’ kepalanya lalu dilayangkan kad merah oleh pengadil.
Namun Pepe berang kerana menganggap Mueller sengaja ‘berlakon’ selepas dihantuk kepalanya.
“Saya mahu melihat semula insiden itu di televisyen. Saya hanya harap saya kelihatan okey. Saya rasa sakit selepas tamparan pertamanya itu tetapi apa berlaku selepas itu saya tak berapa ingat, sama ada kepala bertembung kepala atau tidak.
“Saya tidak berniat nak menipu. Saya pun tak pasti bagaimana saya keluar daripada insiden itu,” kata Mueller.
Pemenang Kasut Emas Piala Dunia 2010 itu turut mengakui langsung tidak berniat untuk mencetuskan perbalahan dengan Pepe dan insiden itu tidak akan membuatkannya gentar untuk berdepan mana-mana pemain pertahanan lawan selepas ini.
“Saya sudah berpengalaman dengan banyak perlawanan antarabangsa sepanjang empat tahun lalu dan saya bukan seorang yang akan cepat berasa takut,” jelas Mueller yang genap berusia 25 tahun pada 13 September ini.


Thomas Müller
Tarikh lahir: 13 September 1989
Asal: Weilheim, Jerman Barat
Tinggi: 1.86m
Posisi: Penyerang/pemain tengah
Kelab: Bayern Munich
Pasukan kebangsaan: Sejak 2010
Penampilan: 50 kali
Jaringan: 20